Telefon dulu dan telefon sekarang.

Posted on December 25, 2011

0


Siapa tidak bangga kalau berjalan di tangan ada telefon bimbit atau telefon selular. Mana tidaknya bangga jika dalam 100 orang cuma ada kira-kira lima orang ada telefon bimbit.

Itu cerita 15 ke 20 tahun lepas. Tidak sama lagi dengan sekarang. Hampir semua orang di Sarawak memilikinya. Jika dalam bilik mesyuarat ada sahaja nada dering telefon seseorang berbunyi, begitu juga ketika mesyuarat JKKK di kampung-kampung. Maksud saya telefon bimbit juga digunakan oleh orang tua di kampung dan juga orang korporat di bandar.

Ada yang baru berada di Tahun Enam sekolah rendah sudah dibelikan ibu bapa telefon. Alasannya agar senang si anak berhubung dengan ibu bapa jika ada apa-apa yang dimahukan, atau ibu bapa senang memantau pergerakan anak-anak. Ada juga di kalangan murid dan pelajar menyalahgunakannya untuk tujuan yang boleh mendatangkan keruntuhan moral. Justeru, ada larangan agar golongan pelajar tidak dibenarkan membawa telefon selular masuk ke sekolah. Maksud saya, penggunaan telefon bimbit kini tidak lagi terbatas dengan orang dewasa yang bekerjaya atau hidup mewah.

Dahulu menjelang malam atau apabila sudah malam atau menghampiri larut malam, ramailah anak-anak muda lelaki terutamanya bergayut di pondok telefon awam yang disediakan Telekom. Bergayut kerana berbual berjam-jam dengan pasangan masing-masing menggunakan telefon awam! Sanggup mengumpul banyak duit syiling agar dapat bergayut lebih lama. Pondok telefon awam di kampung, di pekan dan di kampus-kampus universiti penuh dengan gelagat orang bergayut. Sehingga situasi ini merimaskan orang yang ingin membuat panggilan lebih mustahak berbanding mengucapkan ayat-ayat cinta! Meluat dan geram! Itu dulu. Sekarang telefon bimbit telah secara tidak langsung membasmi suasan keramaian di pondok telefon awam. Sekarang pasangan bercinta menggunakan SMS dan sekali-sekala bercakap menerusi telefon. Maksud saya, telefon bimbit memudahkan orang bercinta dan penting sekali tidak mengganggu orang yang ingin membuat panggilan lebih mustahak.

Dahulu orang yang memiliki telefon bimbit sudah cukup bangga jika ia dilengkapi kamera dan ada yang menunjuk-nunjuk dengan mengambil gambar. Tidak kisahlah, itu hak mereka. Gambar itu kemudiannya boleh dikirimkan kepada yang dituju menggunakan khidmat MMS (multimedia messaging service). Itu dahulu, maksud saya, sekarang orang guna telefon canggih. Ada yang mampu sanggup bertukar telefon hampir tiga bulan sekali dek ingin sentiasa mengikuti perkembangan teknologi telefon bimbit. Sekarang orang boleh mengirim mel elektronik, buka Facebook, Twitter, merakam video dan melayari Internet cuma dengan menggunakan telefon bimbit. Sekarang ada iPhone, Blackberry dan Samsung, berbanding dahulu orang cuma menyebut Nokia dan Ericsson.

Sebenarnya saya ingin menggambarkan tentang kemajuan kita di Sarawak, khususnya – kita tidak ketinggalan dalam zaman teknologi. Kita sentiasa berada dalam lingkungan mereka yang mengikuti peredaran zaman. Apa sahaja peralatan komunikasi yang ada di negara-negara maju, kita juga memilikinya.

Perhubungan dan komunikasi amat penting dalam menyebarkan maklumat. Meskipun cerita-cerita di atas tidak menyentuh sangat mengenai bagaimana kemajuan komunikasi membantu dalam pembangunan ekonomi, tetapi saya percaya kita semua setuju ia adalah komponen utama dalam mencapai kemajuan.

Perkembangan teknologi komunikasi di Sarawak yang paling ketara ialah liputan telefon selular. Banyak kampung-kampung sudah ada liputan, sama ada Maxis, Celcom atau DiGi. Syukur apabila kita bukan berada dalam negara-negara yang tersekat perkembangan teknologi komunikasi.

About these ads