2013 Tahun Melawat Sarawak? Lonjak bilangan pelancong.

Posted on January 30, 2012

0


KEINDAHAN alam semulajadi, kebudayaan penduduk setempat dan aktiviti lasak merupakan aset Sarawak dalam meletakkan posisinya yang tersendiri dalam pesada pelancongan.

Pelancongan merupakan penggerak ekonomi negeri dan berikutan perkembangan industri tersebut yang memberangsangkan, kerajaan memperuntukkan kewangan bagi menyediakan pelbagai infrastruktur di kawasan pelancongan.

Keindahan semulajadi di Sarawak merangkumi Gua Niah, Gua Mulu, Taman Negara Similajau dan banyak lagi tempat menarik untuk dilawati oleh pelancong yang gemar menghayati ciptaan Tuhan.

ASET PELANCONGAN ... Sarawak bertuah mempunyai Gua Niah yang menyimpan sejarah kehidupan manusia terawal di Sarawak.

Sarawak memang terkenal dengan pelbagai kebudayaan yang terhasil daripada kepelbagaian suku kaum. Kaum Iban ada budaya dan adat resam mereka sendiri, Bidayuh hidup dengan adat berbeza, Melanau lain kisahnya, Kejaman lain, Kayan juga berbeza, dan Kelabit tidak sama.

Jika begitu, berkunjunglah ke Kampung Budaya Sarawak yang terletak kira-kira 40 kilometer dari Bandar Raya Kuching.

Kemajuan industri pelancongan juga dapat dinilai kasar menerusi kewujudan hotel di sesebuah kawasan. Jika hotel bertaraf bintang dan hotel bajet banyak, sudah pasti ramai orang luar datang ke situ dan menginap.

Menerusi rombakan kabinet negeri Sarawak yang dilakukan Ketua Menteri, Pehin Sri Abdul Taib Mahmud pada tahun lepas, Datuk Amar Abang Johari Abang Openg dilantik semula sebagai Menteri Pelancongan.

Abang Johari ialah orang yang begitu teruja apabila menceritakan tentang potensi pelancongan ketika berucap di khalayak ramai. Beliau sarat dengan idea yang bernas demi membangunkan industri itu.

KHAZANAH ALAM ... Taman Negara Mulu yang menggamit hati para pengunjung.

Sarawak menyasarkan ketibaan 3.6 juta pelancong pada tahun 2012 berbanding 3.2 juta pada tahun 2011. Majoriti pelancong yang datang ke Sarawak ialah dari negara jiran seperti Singapura, Brunei, Indonesia, China, India, Australia dan dari Semenanjung.

Pada tahun 2013, Abang Johari tidak menolak kemungkinan akan mengadakan Tahun Melawat Sarawak 2013.

Penganjuran program untuk menarik kehadiran pelancong itu dianggap sesuai kerana bertepatan dengan sambutan jubli emas pembentukan Malaysia, tahun depan.

Tahun depan dipilih kerana sesuai dengan sambutan 50 tahun penyertaan Sarawak dalam Malaysia, yakni banyak acara menarik yang dirancang dan menuntut pembabitan semua pihak untuk memastikan program mencapai matlamatnya.

Pelaksanaan program seperti itu juga menurutnya memerlukan sokongan dan kerjasama pihak swasta, terutama syarikat-syarikat yang terbabit dalam industri berkenaan seperti agensi pelancongan dan perhotelan.

“Program besar seperti ini tidak harus diserahkan kepada kerajaan sahaja, sebab itu kita akan mengajak pihak industri terbabit sama menjayakannya,” kata Abang Johari.

Pada penghujungnya, jika program ini jadi dianjurkan, adalah diharapkan ia mendapat sambutan di kalangan pelawat, yakni kita menyaksikan pertambahan drastik dalam kemasukan pelawat ke negeri ini.

Dan yang lebih mustahak sebelum ia diadakan, sistem penerbangan ke Sarawak juga wajar diperbaiki.

About these ads
Posted in: Ekonomi, Pelancongan