Jasa Penghulu Imban dalam menentang komunis wajar dikenang.

Posted on March 5, 2012

0


TIDAK ramai anak muda di Sarawak tahu siapa Penghulu Imban Medan yang dibunuh komunis 40 tahun lalu. Tidak tahu sebab kurang pendedahan tentang hero dan wira anak Bumi Kenyalang dipaparkan di media-media massa.

Pengorbanan wira Iban kelahiran Batang Oya itu yang dibunuh kejam pengganas komunis di rumah panjangnya, Rumah Balang Alau pada 25 Februari 1972 terus menjadi inspirasi dan contoh nasionalis kepada generasi muda kerana sanggup berkorban nyawa demi keselamatan anak-anak buahnya.

Penghulu Imban Medan

Imban dilantik sebagai ketua kaum menggantikan Penghulu Untol yang sebelum itu mengambil alih jawatan daripada mendiang bapa Imban, Penghulu Medan Uli.

Ancaman komunis pada 1970-an menyebabkan penduduk di sekitar Ulu Oya dan Pakoh ketakutan.

Ketika itu, pengganas komunis menggelarkan diri mereka sebagai tentera Oya Mukah Tatau (OMT).

Akhbar Utusan Borneo baru-baru ini memaparkan kisah perjuangan Imban dan menurut laporan tersebut, tindakan komunis bersembunyi di Ulu Pakoh setelah bertempur di Kanowit menyebabkan penduduk rumah panjang di kawasan terbabit resah.

Imban kemudiannya mengambil keputusan untuk membuat laporan polis di Sibu setelah mendengar aduan Tuai Rumah Ambik Jelanggai dan Sebindang. Berdasarkan laporan tersebut, pasukan mata gelap berjaya mengangkap seorang komunis.

Insiden berlaku pada malam 25 Februari 1972, apabila komunis menyerang rumah panjangnya. Kira-kira pada jam 11 malam, dua komunis menarik lengan Imban ke ruai.

Imban dikatakan kebal dan beberapa kali komunis cuba menembak tetapi senapang tidak memuntahkan peluru.

Seorang daripada mereka menembak Imban tetapi dia tidak lut peluru. Lantas dihentaknya kepala Imban menggunakan senapang menyebabkan dia pengsan dan tangkal yang disembunyikan di badan Imban dirampas.

Selepas itu mereka menembak Imban hingga mati. Ketika kejadian dia berumur 78 tahun.

Komunis gembira kerana berjaya menewaskan Imban yang enggan tunduk dengan telunjuk komunis.

Komunis menembaknya kerana ramai pengikutnya merupakan pengakap sempadan, unit paramilitari negeri, yang bertanggungjawab atas beberapa kejayaan serbuan dan pertempuran dengan pengganas.

Mereka mengancam orang kampung yang lemah agar menyokong perjuangan mereka dan pada masa yang sama bangkit menentang kerajaan.

Katanya pengganas yang sedang marah mengancam untuk menyerang pengikut dan ketika itu pemimpin berumur 78 tahun itu sanggup menggadai nyawanya bagi menyelamatkan pengikutnya.

Dalam kenangan...Gambar menunjukkan Penghulu Imban bersama cucu-cucunya. - Sumber, Borneo Post Online.

Mayat Imban kemudiannya dikebumikan di Nanga Pakoh.

Selepas pengganas komunis menyerang Rumah Balang, penduduk rumah panjang di Ulu Oya ditempatkan semula di Nanga Sekuau pada Ogos 1972.

Sebagai peringatan terhadap pengorbanan Imban, satu upacara khas pengkebumian semula rangka mendiang pada 26 Februari 2012.

Kini mendiang disemadikan semula di monumen khas di skim penempatan semula Nanga Sekuau kira-kira 45 kilometer bandar Sibu.

Penghulu Imban, ketua masyarakat Iban kawasan Batang Oya dibunuh dengan kejam oleh pengganas komunis di rumah panjangnya Nanga Pakoh pada 26 Feb, 1972.

About these ads
Posted in: Patriotisme, Sosial