HFMD: Tumpuan terus diberi terhadap usaha mencegah penularan.

Posted on March 18, 2012

0


IMBASAN di pintu masuk kawasan sekolah pada Isnin sebaik sekolah dibuka selepas cuti seminggu dan pada Ahad ibu bapa dinasihatkan yang anak mereka dijangkiti penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) agar mengasingkan anak-anak yang lain di rumah.

Pengasingan di rumah itu adalah untuk meningkatkan cara pencegahan HFMD agar terus tidak merebak di Sarawak yang kini merupakan negeri tertinggi kes penyakit itu, demikian menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Seri Dr Hasan Abdul Rahman dipetik menerusi Bernama pada Ahad.

Jumlah kes baru HFMD untuk tempoh antara  11 Mac dan 17 Mac di negeri itu ialah 460 kes. Ia merupakan penurunan berbanding 757 kes dicatatkan antara 4 Mac dan 10 Mac.

Setakat Sabtu, Sarawak mencatatkan kes paling tinggi di Malaysia iaitu 3,144 kes.

Umumnya penyakit itu berlaku di kalangan kanak-kanak berumur 10 tahun ke bawah dengan majoriti kes yang merebak ketika ini melibatkan kanak-kanak berumur lima tahun ke bawah.

Pada tahun 1997, HFMD meragut 29 nyawa.

Bagaimanapun, tidak ada kes serius dan membawa maut dicatatkan di Sarawak pada tahun ini.

Kematian selalunya berlaku ke atas kanak-kanak yang mengalami kehilangan air di dalam badan ekoran penyakit tersebut.

Dalam mengekang penyakit itu, orang ramai berterusan dinasihatkan oleh Jabatan Kesihatan agar mengutamakan kebersihan tangan.

Fakta Penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD)

Siapakah yang berisiko tinggi?

HFMD boleh berlaku di kalangan semua peringkat usia dan golongan tetapi kanak-kanak yang berusia sekitar 2 minggu hingga sepuluh tahun berisiko untuk dijangkiti.

Apakah gejala-gejalanya?

* Demam yang berterusan dua hingga tiga hari, diikuti dengan sakit tekak dan hidung berair. Lecur atau lepuh timbul di dalam mulut dan pecah atau ‘meletup’ dengan meninggalkan lima hingga sepuluh ulser yang cukup menyakitkan. Selalunya ia terjadi pada lidah, gusi dan di bahagian dalam pipi.

* Di waktu yang sama gelembung kecil kemerah-merahan seperti ruam timbul pada telapak tangan dan tapak kaki. Ruam ini juga timbul pada punggung dan sekeliling bahagian yang dibaluti lampin.

* Kanak-kanak mungkin hilang selera makan dan kadangkala mengalami muntah-muntah dan cirit-birit.

* Lesu, lemah dan tidak bermaya.

Bagaimanakah penyakit ini disebarkan?

HFMD sebenarnya mudah merebak dan berjangkit, lazimnya melalui sentuhan langsung dengan lelehan daripada hidung, air liur, najis dan cecair daripada gelembung atau lepuh.

Ia juga boleh disebarkan melalui sentuhan seperti tersentuh mainan, buku, pinggan mangkuk, pakaian, cadar dan apa juga yang digunakan oleh pesakit.

Tempoh pengeraman (iaitu masa yang diambil dari kali pertama disentuh sehingga gejalanya timbul) lazimnya mengambil masa tiga hingga lima hari.

Mereka yang dijangkiti penyakit ini mudah menyebarkannya semasa mereka menghidapnya.

Adakah penyakit ini serius?

Kebanyakan pesakit akan mudah sembuh dalam tempoh tujuh hingga sepuluh hari. Bagaimanapun, kadangkala berlaku juga komplikasi seperti miakarditis (radang jantung), meningitis dan ensefalitis (radang otak), terutamanya di kalangan kanak-kanak.

Langkah-langkah pencegahan

* Tinggalkan anak-anak yang menghidap penyakit ini di rumah dan asingkannya daripada anak-anak yang lain.

* Elakkan daripada berkongsi mainan, buku-buku, pakaian dan peralatan yang digunakan pesakit.

* Cuci apa juga yang digunakan oleh pesakit di tempat yang berasingan dan bersihkanlah permukaan yang diduduki oleh pesakit dengan menggunakan bahan penyah penyakit atau disinfektan.

* Peralatan atau barang-barang yang digunakan pesakit hendaklah dibasuh dengan bahan pencuci yang berkesan dan merebuskannya sahaja.

* Lantai rumah hendaklah dicuci dengan menggunakan klorin bagi memastikan ia dalam keadaan yang bersih dan terkawal.

* Amalkan tabiat menjaga kebersihan seperti membasuh tangan sebelum dan selepas ke tandas, sebelum atau selepas menyediakan makanan dan bertukar lampin.

Apakah yang patut dilakukan jika mengesyaki anak menghidap HFMD?

Segeralah berjumpa doktor jika merasakan anak anda menghidap penyakit tersebut. Jangan panik. Komplikasi amat jarang berlaku dan kebanyakan kanak-kanak sembuh tanpa ada sebarang komplikasi.

Penjagaan anak-anak yang menghidap HFMD

* Jika anak itu mengalami demam, dedahkan badannya dan jangan membalutnya dengan selimut. Biarkan suhu badannya menurun. Ambil suhu badan setiap empat jam sekali dan jika suhu badannya naik sehingga 39û Celsius bawalah dia ke hospital dengan seberapa segera.

* Anak yang menghidap penyakit ini boleh mandi setiap hari.

* Jika dia tidak dapat makan, suaplah makanan yang mudah hadam seperti bubur dan sup jernih. Pastikan anak itu mendapat cecair yang mencukupi. Elakkan makanan berminyak atau tenusu seperti susu lembu, mentega dan keju.

* Elakkan anak daripada menggaru atau menggosok ruam-ruam yang timbul. Cegah pesakit daripada memecahkan gelembung-gelembung atau lepuh. Pastikan ruam dan gelembung berada dalam keadaan bersih dan kering sentiasa. Jangan sekali-kali menampal plaster atau menabur serbuk mahupun bedak serbuk di atasnya.

* Kanak-kanak tadika, bersekolah mahupun di pusat asuhan yang menghidap penyakit ini hendaklah berehat sekurang-kurangnya selama seminggu di rumah.

* Jika kanak-kanak yang menghidap penyakit ini menjadi lesu atau mengalami kesukaran untuk bernafas, bawalah dia ke bahagian kecemasan di mana-mana hospital yang berdekatan dengan rumah.

About these ads
Posted in: Kesihatan, Sarawak