Sagu, umai dan sesar unjur wajah Melanau. Burung walit?

Posted on March 20, 2012

0


SAGU yang popular sekali ialah Sagu Medong. Rasanya ada lemak dan masin sedikit – sesuai untuk dijadikan juadah minum petang bersama dengan ikan bilis, kacang atau sesar unjur.

Sagu Medong – sebuah kampung di daerah Dalat dalam Bahagian Mukah – kini menjadi sebutan ramai terutama penduduk Bumi Kenyalang yang menggemarinya.

Harga sekilogram antara RM13 – RM15 (ikut harga dijual di pekan Dalat). Ia diperbuat daripada lemantak (sago starch), hampas padi, kelapa dan garam sedikit.

Lazimnya makanan tradisional suku kaum Melanau ini dibuat di rumah yang dipanggil belanga dan ia merupakan industri desa yang diusahakan sejak turun-temurun oleh kaum ibu.

Sagu.

Dahulu ketika sistem barter masih diamalkan, orang Melanau dari kawasan hulu atau tengah sungai akan bertukar sagu dengan orang Melanau di kawasan muara sungai atau pesisir pantai. Mereka bertukar-tukar sagu dan ikan masin.

Orang Melanau di kawasan berkenaan berkebun rumbia atau turut dikenali sebagai pokok sagu yang menghasilkan tepung lemantak selepas melalui proses-proses khas.

Penduduk yang terdiri daripada kaum Melanau di pesisir pantai atau muara sungai pula mahir menangkap ikan – pekerjaan tradisi sejak turun temurun dan belia Melanau terkenal dengan kehandalan dalam bidang bersangkut paut dengan laut.

Latar belakang mereka sebagai nelayan dan sering memperoleh ikan segar maka sejenis hidangan tradisi tercipta yakni umai.

Umai

Tidak perlu diperkenalkan lagi untuk orang Malaysia – memang sudah rata-rata yang menggemari ikan meminati rasa umai yang diperbuat daripada ikan segar. Sama ada ikan pirang, bawal atau tenggiri, ia terpulang dengan selera masing-masing.

Restoran besar dan hotel-hotel terkenal turut menyajikan resepi warisan kaum Melanau ini sebagai antara hidangan utama mereka kepada para pelanggan. Ada yang menggelar umai sebagai sushi Melanau kerana kita makan ikan mentah yang digaulkan bersama jus lemon atau limau (dahulu asam payak), ditambah dengan hirisan bawang besar dan sedikit perasa tambahan.

Boleh dimakan bersama nasi dan sagu.

Di kawasan penempatan Melanau terutama di muara Batang Rejang dan muara Batang Lassa, industri desa membuat sesar unjur (udang kecil salai) giat diusahakan ketika musim banyak payak (udang kecil) didaratkan oleh nelayan. Lazimnya pada bulan Mac.

Sesar unjur (udang kecil salai)

Harganya agak mahal memandangkan proses pembuatan yang rumit.

Dua tahun lepas harga sekilogram dijual di kawasan muara Batang Lassa (Daro) ialah RM45 dan kini ia mencecah RM55. Lumayan tetapi memerlukan sedikit usaha untuk mengupas kulit udang – bukannya sedikit tetapi berkilo-kilo.

Ia sedap dimakan begitu sahaja atau dimakan beserta dengan sagu dan kacang.

Tiga produk di atas merupakan keluaran industri desa di Bahagian Mukah sejak tradisi. Ia amat sinonim dengan orang Melanau.

Saya tertarik apabila terbaca artikel dalam Berita Harian bertarikh 20 Mac 2012 – memaparkan industri sarang burung walit yang kian berkembang di bahagian tersebut.

Sarang burung walit

Artikel itu dipetik bahawa terdapat kira-kira 400 rumah burung walit dibina di bahagian berkenaan.

“Industri itu kini dilihat semakin berkembang dengan rumah burung walit boleh dilihat bukan saja sepanjang jalan di Mukah terutama menghala ke Dalat, Igan, Matu dan Daro, malah juga sepanjang sungai di Oya, Igan dan Sungai Mukah itu sendiri,” lapor Berita Harian.

Harga sarang burung walit di pasaran kini mencecah antara RM3,500 hingga RM4,500 sekilogram mengikut gred dan hasilnya boleh dituai sepanjang hayat, selagi rumah burung itu berdiri teguh.

Sebab itu tidak hairan ia seakan-akan nafas baru dalam perkembangan kegiatan ekonomi Melanau di Bahagian Mukah. Ia boleh dikatakan lebih berdaya maju berbanding sagu, umai dan sesar unjur.

Sarang burung walit mendapat permintaan tinggi dari negara seperti China, Hong Kong, Taiwan, Singapura dan Jepun.

Semoga perkembangan aktiviti baru ekonomi di Bahagian Mukah memantapkan lagi usaha meningkatkan taraf penduduk di kawasan berkenaan tanpa mengabaikan kawasan lain di negeri Sarawak.