Empangan Bakun ibarat ‘magnet’ terhadap pembangunan Sarawak.

Posted on March 29, 2012

0


BIARPUN awal pembinaannya pada 1996, projek Empangan Hidro Elektrik Bakun di Sungai Balui, Sarawak mendapat tentangan hebat pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) dan aktivis alam sekitar, projek itu tetap diteruskan demi pembangunan mapan ekonomi Sarawak.

Malah empangan yang menelan kos berbilion dan menghasilkan 2,400 mega watt (MW) tenaga elektrik sehari apabila beroperasi sepenuhnya  kelak, bakal melonjak ekonomi Sarawak ekoran rundingan penjualan tenaga kepada industri-industri berintensifkan tenaga. 

Tenaga elektrik dihasilkan empangan itu akan disalurkan ke Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) di bahagian tengah Sarawak. 

Jarak empangan itu dari bandar Bintulu pengeluar gas cecair utama di negara ini, menggunakan jalan darat kira-kira 185km dari bandar raya Miri, telaga pengeluar minyak pula kira-kira 300km manakala dari Long Segaham kawasan penempatan penduduk paling dekat di bahagian hilirnya hanya 50minit melalui jalan air menggunakan bot laju.

Empangan itu dibina menggunakan Concrete Face Rockfield Dam (CFRD) yang mempunyai ketinggian 205 meter, adalah kedua terbesar di Asia selepas empangan Shibiyanu China (223 meter).

Empangan itu dikatakan kukuh binaannya. Ia akan mengumpul air dari kawasan tadahan seluas 14,750km persegi atau seluas Kelantan yang mengambil keluasan 11 peratus Sarawak.

Seperti juga pembinaan empangan besar lain di dunia, Empangan Bakun tidak terlepas daripada serangan, baik dari aspek rasional untuk memajukan tenaga hidro mahupun dari aspek pembinaan empangan itu sendiri.      

Pembinaan Empangan Bakun turut dikaitkan dengan kerosakan alam sekitar, terutama hutan, sungai, tanah dan hidupan liar.

Empangan Bakun, yang enam kali ganda lebih besar daripada Empangan Kenyir juga pernah didakwa golongan antiempangan atau antihidroelektrik akan menjejaskan lebih 800 spesies tumbuhan, termasuk 67 spesies yang dilindungi, 104 spesies ikan, 229 mamalia dan 43 spesies burung dilindungi, memusnahkan 50 juta meter padu pelbagai jenis kayu balak dan menjejaskan lebih 10,000 penduduk di sekitarnya.

Apa pun langkah sebenar membina Empangan Bakun sejajar dasar lima sumber tenaga negara – gas, minyak, hidro, arang batu dan tenaga diperbaharui - berbanding strategi empat sumber tenaga sebelum ini (tidak termasuk tenaga diperbaharui).

Dengan takungan seluas 69,400 hektar dan sempadan kira-kira 2,000 kilometer, Empangan Hidro Elektrik Bakun mampu menjana 2,400  megawatt (MW) tenaga elektrik sehari.

Ia merupakan antara ‘modal’ utama untuk membawa masuk pelabur ke Sarawak untuk membina pelbagai industri di SCORE. Dengan industri-industri itu kelak, ekonomi Sarawak bakal melonjak lebih tinggi, sekali gus membawa kesejahteraan dan kemakmuran di kalangan rakyat.