Akan malapkah sambutan kemerdekaan?

Posted on November 7, 2011

0


Nampak gaya tahun ini lebih ‘malap’ sambutan kita terhadap seruan mengibar Jalur Gemilang apabila ia kebetulan serentak dengan umat Islam menjalani fardu Ramadan dan seterusnya disusuli Aidilfitri.

Lebih malap apabila kita pada tahun-tahun sebelum ini pun ternyata ‘malas’ untuk mengibar bendera tanah air tempat kita bernaung. Ini satu sindrom yang dikhuatiri akan terus diwarisi oleh anak-anak muda. Generasi muda dikatakan memandang mudah tentang sejarah kemerdekaan negara. Bagaimana kesukaran hidup tanpa kemerdekaan dicapai.

Apatah lagi tahun ini umat Islam sibuk membuat persiapan menjelang munculnya 1 Syawal. Rasanya tidak salah jika kita mengutamakan kedua-duanya – menyemarakkan sambutan kemerdekaan negara dan meraih pahala sepanjang Ramadan.

Mengibar bendera Jalur Gemilang menunjukkan kita bangga dengan negara – walaupun ada di antara kita mendakwa “tidak semestinya tidak mengibarkan Jalur Gemilang, seseorang itu tidak mencintai negaranya”.

Berita Harian menyiarkan artikel yang mungkin mampu memberi kebangkitan semangat nasionalisme dan patriotik di kalangan kita.

Artikel itu berbunyi:

Agak mengejutkan apabila setiap tahun kerajaan terpaksa menganjurkan kempen kibar Jalur Gemilang dan juga sayangi Malaysia terutama menjelang Ogos yang menandakan bulan kemerdekaan negara kita.
 
Tahun ini dengan tema Transformasi Berjaya Rakyat Sejahtera sekali lagi kita mengadakan kempen kibar Jalur Gemilang. Malah adakalanya kita melihat seolah-olah kerajaan terpaksa merayu dan memaksa rakyat menyahut kempen berkenaan.

Misalnya, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim baru-baru ini mahukan rakyat menyahut kempen Kibar Jalur Gemilang dengan sepenuh hati tanpa mengira ideologi politik dan budaya mereka.

Lebih menyedihkan apabila saban tahun kerajaan terpaksa membelanjakan sejumlah besar wang untuk mengedarkan Jalur Gemilang dan pelekat kenderaan percuma kepada pelbagai lapisan rakyat.

Persoalannya ialah kenapa kerajaan terpaksa berbuat demikian setiap tahun? Di mana tahap kesedaran dan keinsafan dalam kalangan rakyat kita?

Apa perlu dipaksa, dipujuk dan dirayu untuk mengibarkan Jalur Gemilang mahupun menyayangi negara sendiri? Mahal sangatkah sehelai Jalur Gemilang sehinggakan terpaksa tunggu pemberian percuma?

Fenomena ini cukup pelik dan menghairankan. Ia berlaku dan berulang setiap tahun. Sampai bila kita hendak biarkan budaya tidak menghormati dan menghargai negara sendiri ini berleluasa dan merebak menjadi virus yang berbahaya dalam kalangan masyarakat kita?

Justeru, kita perlu membuat sesuatu dengan mengambil langkah-langkah yang sewajarnya agar perkara sebegini tidak berulang lagi pada tahun-tahun yang akan datang.
Sewajarnya setiap seorang daripada kita sedar dan tahu untuk menghargai kemerdekaan yang sedang kita nikmati ini.

Kita perlu buktikan yang kita menghargainya dan seterusnya akan bangkit mempertahankannya hingga ke akhir hayat kita. Oleh yang demikian, setiap rakyat Malaysia wajar berasa malu dan segan apabila kita diminta dan dirayu untuk mengibarkan Jalur Gemilang kerana sepatutnya kita tidak perlu disuruh untuk berbuat demikian.

Kalau tidak sepanjang tahun sekalipun, sekurang-kurangnya setiap tahun pada Ogos kita wajib mengibarkan Jalur Gemilang baik di rumah, pejabat mahupun di kenderaan masing-masing. Tak perlulah ada orang lain mengingatkan kita mengenai perkara berkenaan.
 
Maka dalam hal ini apa yang jelas ialah sambutan dingin terhadap kempen itu sekali lagi membuktikan rakyat kita masih belum cukup insaf, sedar dan prihatin. Buktinya bilangan bangunan mahupun kenderaan yang mengibarkan Jalur Gemilang masih sedikit dan belum memberangsangkan.

Sewajarnya sambutan kemerdekaan kali ke-54 tahun ini sekali lagi kita merayakan dengan penuh keinsafan dan kesyukuran kerana Ogos tahun ini masih jatuh pada Ramadan yang mulia seperti tahun lepas.

Ternyata nilai penghayatan rakyat kita yang rendah terus mengecewakan dan menghampakan.

 
Ia sekali gus terus membuktikan kata-kata keramat yang sering kedengaran iaitu apalah sangat yang ada pada sehelai bendera. Apakah kita sebagai rakyat yang bertanggungjawab, yang mahukan negara ini terus kekal merdeka dan dihormati oleh orang lain mahu biarkan kata-kata ini menjadi suatu realiti?
 
Sama-samalah kita fikirkan sejenak. Kita tidak mahu generasi terdahulu yang begitu bersusah payah dan berkerja keras berjuang untuk mencapai kemerdekaan menuduh kita generasi sekarang sebagai rakyat yang tidak mengenang jasa dan budi mereka apatah lagi menghargai kemerdekaan yang diwariskan kepada kita.
 
Tema tahun ini iaitu ‘Transformasi Berjaya Rakyat Sejahtera’ cukup sinonim dengan hasrat dan slogan Perdana Menteri kita iaitu ‘1Malaysia Rakyat Didahulukan dan Pencapaian Diutamakan’, namun sejauh mana kita menghayati tema dan erti kemerdekaan yang kita kecapi selama ini.