Superhero: PPP ingin tumpaskan pembangkang di Sarawak?

Posted on November 7, 2011

0


Satu persoalan yang wajar dijawab Parti Progresif Penduduk (PPP) ketika berusaha menubuhkan lebih banyak cawangannya di Sarawak ialah “adakah PPP sungguh kukuh kedudukannya di Malaya”?

Tajuk Utusan Borneo bertarikh 31 Julai 2011 “PPP sekadar ingin bantu BN Sarawak: Parti takkan datang jika DAP, PKR, PAS tidak ganggu politik Sarawak” seolah-olah parti pimpinan Datuk Seri M Kayveas itu begitu gah di persada politik tanah air hinggakan ingin menyelamatkan Bumi Kenyalang dari jatuh ke tangan pembangkang.

Kononnya mereka ialah superhero, umpama Superman, Batman dan Spiderman yang mampu menyelamatkan Sarawak dari jatuh ke tangan pembangkang! Hahahaha.

Kayveas dan para pemimpin lain parti berkenaan wajar mencerminkan muka mereka sebelum menyimpan cita-cita besar untuk membantu empat parti komponen Barisan Nasional (BN) di Sarawak.

Sungguhpun dipercayai ada agenda atau faktor lain PPP masuk ke Sarawak, biarlah beri alasan yang munasabah, sekurang-kurangnya. Tetapi memang tidak ada pun alasan yang munasabah!

Sebelum Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-10 pada 16 April 2011, PPP berhenti sejenak, mungkin enggan menimbulkan kekecohan di kalangan parti-parti komponen BN di Sarawak – PBB, SUPP, SPDP dan PRS – ketika mengatur persediaan menghadapi pilihan raya.

Kayveas, pada 23 Julai 2011 dengan ‘rasmi’ mengumumkan keberadaan PPP, parti yang gagal menang sebarang kerusi pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2008, di Bumi Kenyalang yang masih dipegang kukuh oleh BN selepas Pilihan Raya Negeri April 2011.

Dalam sidang media di Kuching, beberapa bulan sebelum PRU 2008, Kayveas dengan nada agak bongkak, berkata SUPP wajar menang kerusi Bandar Kuching (dimenangi DAP menerusi Chong Chieng Jen) sebelum menegah kemasukan PPP ke Sarawak.

Beliau memberi maklum balas terhadap kenyataan Presiden SUPP merangkap Timbalan Ketua Menteri Sarawak pada ketika itu, Tan Sri Dr George Chan yang tidak setuju dengan tindakan PPP merancang melebarkan sayap ke Bumi Kenyalang pada ketika itu.

Tetapi selepas itu, menerusi PRU 2008, Kayveas menerima tamparan hebat selepas berkata bongkak. PPP tewas di semua kerusi yang ditandingi. Padan muka!

Kini, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) meluluskan penubuhan 13 cawangan PPP di Sarawak. Apakah yang cuba ditunjukkan PPP kepada pemimpin BN Negeri Sarawak?

Malahan PPP juga dikatakan sedia untuk bertanding sebagai calon Bebas di beberapa kerusi yang dimenangi parti-parti pembangkang pada PRU akan datang. Wah, sekali lagi enggan menoleh sejarah kekalahan parti itu pada PRU 2008 dan mengambil iktibar.

Tindakan PPP ‘menceroboh’ masuk ke Sarawak sudah pasti mendapat perhatian pimpinan BN Negeri Sarawak.

Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud pula menyerahkan kepada rakyat sama ada menerima kemasukan PPP. Maknanya, jika PPP meraih ramai ahli, ia relevan di negeri ini.

Setiausaha Agung BN Negeri Sarawak Datuk Dr Stephen Rundi turut berkata, PBB tidak pernah menghalang kehadiran PPP.

Naib Presiden Kanan PBBB Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan pula mempersoalkan apa tujuan PPP di Sarawak sedangkan rakyat Sarawak yang menyokong BN mempunyai empat parti komponen untuk disertai.

Paling wajar bagi PPP ialah cermin diri sendiri dan merenung kembali sejarah PRU 2008 sebelum ‘menghulurkan bantuan’ kepada BN Negeri Sarawak dalam meraih kemenangan pada PRU akan datang. Usah nanti, ibarat ketam mengajar anaknya berjalan lurus.

Biarkan Sarawak dengan pasukan BN sendiri yang lebih memahami kehendak rakyat Bumi Kenyalang.

Posted in: Politik, Sarawak