Awas perangkap hutang, belanja raya biar berpada.

Posted on November 8, 2011

0


Kesesakan lalulintas terutama di kawasan Satok, Giant Tabuan Jaya dan E-mart Matang Jaya di Kuching berlarutan sejak beberapa hari lepas berikutan persiapan umat Islam menyambut Hari Raya Aidilfitri. Cari tempat letak kereta pun susah sebab terlalu ramai orang berbelanja pada satu- satu masa.

Dari sudut positif, ia menunjukkan kedudukan ekonomi rakyat Malaysia, terutama Sarawak atau lebih khususnya Kuching adalah baik. Kekukuhan ekonomi keluarga satu hal.

Satu persoalan lain pula ialah adakah wang dibelanjakan itu berdasarkan kemampuan pendapatan? Atau berbelanja besar semata-mata untuk meraikan perayaan setahun sekali itu?

Jika hingga berhutang atau meminjam wang semata-mata bertujuan menunjuk-nunjuk, adalah tidak wajar demikian. Jangan sampai meminjam wang daripada Ah Long hanya demi memastikan tidak ketinggalan dalam persiapan raya dan bersaing dengan golongan yang mampu kewangan.

Sudah tiga hari diperhatikan kedai-kedai perabot beroperasi hingga tengah malam. Para pekerjanya pula sibuk dengan kerja-kerja memunggah kerusi, meja, almari dan lain-lain perabot rumah ke dalam lori untuk dihantar ke rumah pelanggan.

Kedai barangan elektronik juga tidak ketinggalan. Banyak tauke-tauke yang mengadakan jualan kanopi yang dikatakan menawarkan harga murah terhadap perkakasa elektronik seperti televisyen, pemain DVD, set teater rumah, mesin basuh dan lain-lain.

Benarkah ada promosi atau sengaja meletakkan harga tinggi di papan tanda kemudian meletakkan tanda harga baru sesudah diskaun cuma untuk menarik pelanggan? Sedangkan realitinya harga barangan tersebut memang serendah itu pada hari-hari biasa.

Tulisan ini sekadar untuk menokok-tambah artikel berita yang disiarkan Utusan Borneo pada 28 Ogos 2011.

Utusan Borneo melaporkan:

sumber:
http://www.theborneopost.com/2011/08/28/ramai-berhutang-demi-raya/

Ramai berhutang demi raya: Amalan berhutang daripada pemberi pinjaman wang meningkat menjelang Aidilfitri.

KUCHING: Keghairahan menyambut Hari Raya Aidilfitri menyebabkan berlaku peningkatan amalan berhutang daripada pemberi pinjaman wang berlesen dalam kalangan umat Islam.

Maklumat diperolehi daripada syarikat pinjaman di sekitar bandar raya ini menunjukkan ramai orang Islam memohon pinjaman bagi menampung perbelanjaan dalam membuat persiapan Aidilfitri.

Seperti biasa, apabila tiba Hari Raya, ada sesetengah golongan yang berlumba-lumba untuk membeli-belah sehingga ada yang sanggup berhutang disebabkan rambang mata melihat barangan yang dijual seperti kata pepatah ‘biar papa asal bergaya’.

Rata-rata mereka yang memilih untuk meminjam daripada premis peminjam wang berlesen berbanding meminjam daripada bank kerana beranggapan prosesnya adalah lebih mudah dan cepat.

Namun demikian, sama ada sedar atau tidak, mungkin pinjaman mudah dan cepat untuk diperolehi tetapi kesengsaraannya akan bermula apabila tiba masanya untuk membuat bayaran balik.

Ini kerana, faedah yang dikenakan ke atas pinjaman adalah agak melampau dan kaedah bayaran balik yang merugikan peminjam.

Menurut pekerja di sebuah tempat peminjam wang berlesen, untuk memohon pinjaman, seseorang itu hanya perlu mengemukakan penyata gaji terkini tiga bulan, kad bank dan buku akaun.

Daripada pengalaman seorang peminjam yang enggan namanya disiarkan, menurutnya, daripada RM1,000 yang dipinjam hanya RM800 yang diberi.

“Setiap bulan,saya perlu membayar RM200 (faedah) tidak termasuk jumlah induk yang dipinjam dan ini ber-lanjutan sehingga saya dapat melangsaikan RM1,000 se-kali gus.

“Ini sangat membebankan,” katanya sambil berpesan kepada orang ramai supaya tidak mengikut jejak langkahnya agar tidak dibebani hutang.

Dalam mendapatkan pandangan orang ramai berhubung isu tersebut, Harun Dillah yang merupakan seorang guru berkata, mereka yang berbelanja secara melampau sehingga sanggup berhutang seolah-olah tidak memahami tujuan sebenar berpuasa dan menyambut Aidilfitri.

“Ini bukan satu budaya kerana setahu saya pada zaman dahulu, tiada orang yang berbuat demikian (berbelanja secara melampau).

“Lainlah sekiranya ia merupakan amalan orang kita (orang Islam) sejak dari dahulu lagi,” katanya.

Tambahnya, adalah tidak salah membeli-belah untuk anak-anak sekali setahun tetapi janganlah sanggup berhutang semata-mata mahu bergaya.

Justeru, dia menasihati orang ramai agar tidak ber-belanja secara berlebihan terutama pada Hari Raya tahun ini yang jatuh pada awal bulan.

“Banyak hari lagi sebelum mendapat gaji pada bulan berikutnya, jika perbelanjaan tidak dikawal apa yang mahu digunakan selepas beraya nanti,” jelasnya.

Menurut seorang lagi yang ditemui Roni Hipni, dia membeli barang untuk persiapan Hari Raya secara berperingkat.

Katanya, dia berbuat demikian untuk mengelakkan dirinya membelanjakan wang yang banyak pada satu-satu masa.

“Perbelanjaan saya untuk persiapan Hari Raya pada tahun ini adalah seperti biasa dan saya sudah membeli barang awal sebelum tiba Ramadan,” katanya.

p/s. Penulis menyusun sepuluh jari tanda memohon maaf jika tersilap kata-kata. Tulisan ini sekadar ingin menegur mana yang dirasakan kurang wajar.

*** Ini ialah berita susulan yang diketengahkan oleh The Borneo Post pada 29 Ogos 2011.

 

Posted in: Ekonomi, Masalah Umum