ISA, hak imigresen Sarawak dan politik pembangkang.

Posted on November 8, 2011

0


DALAM satu kelas subjek politik di universiti para pelajarnya diberikan satu situasi mudah oleh pensyarah. Setiap orang pelajarnya dikehendaki memilih sama ada mengekalkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 atau menghapuskannya.

Ia merupakan antara perkara yang perlu dipilihnya jika menjadi Perdana Menteri Malaysia. Satu akta yang boleh memberi kuasa kepada Perdana Menteri menyekat anasir penentang dalam politik – itulah tafsiran dan anggapan ramai pihak sehingga mendesak saban tahun agar undang-undang itu dimansuhkan.

Keputusan pemilihan dalam kelas itu menunjukkan majoriti pelajar enggan menghapuskan ISA.

Sebelum itu mereka diberi penerangan mudah oleh pensyarah mereka bahawa betapa mustahaknya ISA dalam menjaga kepentingan politik seseorang Perdana Menteri dan partinya.

Hakikatnya tidak ramai yang enggan satu daripada alat penjaga politik mereka hilang. Begitu juga dengan ahli-ahli politik di sebelah parti pemerintah di negara ini yang kurang yakin tanpa alat tersebut.

Tidak ramai politikus yang berani bertindak seperti Datuk Seri Najib Tun Razak. Dia lenyapkan ISA dalam kamus undang-undang negara. Dia akan menempuh tentangan dalam politik tanpa satu daripada peralatan penting dalam menangani kemaraan musuh- musuhnya.

ISA memang layak dilabelkan sebagai satu undang-undang kejam dan tidak bertamadun dari aspek hak asasi manusia. Ia cuma sesuai untuk menyekat anasir-anasir komunis di negara ini pada satu ketika dahulu.

Ramai pihak yang menyifatkan tindakan berani Najib itu sebagai satu cara untuk meraih populariti di kalangan rakyat terutama apabila dikatakan pilihan raya semakin hampir.

Apa jua tafsiran, anggapan, pendapat dan analisis tentang perkembangan bersejarah ini, tidak perlu disentuh mendalam.

Pilihan Raya Umum ke-13 kelak merupakan yang pertama bagi Najib sebagai Perdana Menteri selepas mengambilalih tampuk pemerintahan daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Dalam banyak-banyak cakap kosong di kedai kopi, adalah satu perkara yang menarik perhatian apabila ada beberapa ahli politik kedai kopi ini memiliki buah pemikiran yang sukar untuk diterima. Dia bertanya dengan rakan-rakan yang duduk semeja, “mengapa tidak hapuskan juga hak imigresen Sarawak yang termaktub dalam Perjanjian 18/20 Perkara ketika pembentukan Persekutuan Malaysia?” Kesimpulan mudah mengenai dia ialah tidak memahami apa itu Malaysia. Persekutuan Malaysia dibentuk secara bersama oleh Tanah Melayu, Sarawak, Sabah dan Singapura (keluar persekutuan 1965) dengan mengekalkan hak Sarawak dan Sabah dalam beberapa perkara, termasuk hal ehwal imigresen.

Dengan kata mudah, orang Sabah dan Semenanjung Malaysia perlu memiliki pasport sebelum masuk ke Sarawak. Itu perjanjian dan ia perlu dihormati.

Perjanjian itu wajar diiktiraf sama seperti warganegara Malaysia berketurunan Cina dan India menghormati hak kaum-kaum Melayu dan Bumiputera seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Tidak dinafikan memang ada rakan-rakan dari Semenanjung Malaysia merungut apabila masih wujud sekatan di kalangan warganegara Malaysia untuk bergerak bebas dalam negara sendiri. Tetapi undang-undang wajar dipatuhi meskipun ia kadang-kadang membebankan.

Timbulnya idea kurang bernas si penutur di kedai kopi tadi kerana dia merasakan undang-undang kewilayahan itu didakwa dieksploitasi oleh ahli politik Sarawak.

Apabila diminta oleh seorang rakannya untuk membuktikan apakah dakwaan itu benar dan konkrit, dia gagal. Tidak ada satu undang-undang yang menafikan hak Sarawak berbuat demikian.

Malahan tidak ada bukti kukuh untuk mengaitkan ia dijadikan sebagai alat politik kerajaan.

Kurang wajar untuk mengaitkan keberanian Najib melupuskan ISA dengan hak imigresen yang diberikan kepada Sarawak sedangkan ia adalah satu syarat wajar dihormati ketika Malaysia dibentuk.

Wujud kecelaruan dalam perkara ini berpunca daripada ahli politik pembangkang yang sering mengaitkan semua situasi atau permasalahan dengan politik. Sedangkan kerajaan negeri Sarawak melaksanakan undang-undang tersebut tanpa wujud percanggahan dengan perlembagaan negara.

Memang mudah untuk mengaitkan sesuatu kes larangan masuk ke Sarawak dengan agenda politik apabila seseorang yang terbabit itu merupakan ahli politik pembangkang. Ia boleh dikatakan sebagai kebetulan.

Ada di kalangan individu yang disekat masuk kerana dipercayai menjalankan aktiviti menjurus kepada hasutan terhadap kaum Penan, anti pembalakan dan isu alam sekitar.

Lantas wujud persepsi di kalangan ahli-ahli politik pembangkang bahawa pemimpin kerajaan negeri Sarawak menyalahgunakan hak imigresen tersebut. Berbanding percaya cakap politik pembangkang dan undang-undang, adalah lebih baik memilih keyakinan terhadap undang-undang yang digubal oleh mereka yang berpandangan jauh dalam sesuatu hal.

Justeru, wajar ditanam dalam pemikiran bahawa kerajaan negeri Sarawak lebih arif dalam menilai siapa yang boleh masuk atau tidak demi menjaga ketenteraman dan perpaduan suku kaum rakyat Malaysia di Sarawak.