JPUNS, PBB dan pembangunan ekonomi Sarawak.

Posted on November 8, 2011

0


Agak lama sudah tidak terbaca berita mengenai Jawatankuasa Penaja Umno Negeri Sarawak (JPUNS) di dada akhbar. Mungkin sudah berputus asa dengan kehendak rakyat yang tidak gemar dengan kehadiran parti Umno di Bumi Kenyalang atau pemimpin-pemimpinnya sedang mengatur strategi baru.

Pejabatnya di Matang Jaya (belakang kedai perabot Court) masih menggantung papan tanda yang menunjukkan perkataan JPUNS masih beroperasi di bangunan kedai itu.

 

Pejabat JPUNS di Matang Jaya

 

Pengerusi Penaja JPUNS, Affendi Jeman juga sudah lama tidak memberi kenyataan akhbar. Ketiadaan mereka juga disedari apabila kurang kedengaran suara Affendi yang beria-ia membawa masuk Umno ke Sarawak.

Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak pada perhimpunan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) 2010 menegaskan Umno tidak akan melebarkan sayap ke Sarawak. Najib yang juga Presiden Umno yakin dengan kemampuan parti-parti komponen BN negeri Sarawak melaksanakan tadbir urus yang baik.

Bukan tidak boleh masuk tetapi sekarang ini (PBB) masih kuat, dan ia dibuktikan dengan kemenangan 100 peratus di kawasan ditandinginya pada Pilihan Raya Negeri Sarawak April 2011. Ini menggambarkan Sarawak mempunyai parti tulang belakang kerajaan yang amat kukuh dengan bersandarkan sokongan majoriti rakyatnya.

Apalah guna menukar parti jika semata-mata atas dasar ingin berubah. Jika ia masih kukuh sokongannya, sama-samalah kita sebagai penyokong Barisan Nasional (BN) memperkukuhkannya dan memperkemaskan jentera pilihan raya.

Affendi, dalam menyokong hujah membawa masuk Umno ke Sarawak, acapkali memberitahu rakyat Sarawak yang mahukan parti itu melebarkan sayapnya ke Bumi Kenyalang.

Bukan kita anti-Umno tetapi ditegaskan biarlah Sarawak ditadbir urus oleh parti asal dari negeri ini sendiri selagi masih kukuh.

PBB yang dipimpin Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud atau lebih dikenali dengan gelaran Pehin Sri di kalangan warga Kenyalang mempunyai rekod lampau yang cemerlang dalam melaksanakan tadbir urus negeri.

Sungguhpun demikian, PBB disokong dan dibantu oleh parti-parti komponen BN terdiri daripada Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP), Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP) dan Parti Rakyat Sarawak (PRS).

Semangat kerjasama berpasukan di kalangan pemimpin-pemimpin parti komponen ini merupakan ramuan terbaik dalam menghasilkan pentadbiran kerajaan negeri yang berkesan. Malahan kesannya dapat disaksikan menerusi kepesatan pembangunan, meskipun diakui kawasan luar bandar terutama pedalaman masih berhadapan kekurangan kemudahan asas.

Kesepaduan dalam pemerintahan Sarawak juga dapat dinilai dengan pandangan jauh pembangunan ekonomi dan sosial menerusi rancangan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE). SCORE dikatakan akan melonjakkan ekonomi negeri apabila industri-industri moden berintensif tenaga beroperasi sepenuhnya.

Kejayaan pelaksanaan SCORE yang bertumpu di wilayah tengah Sarawak kelak merupakan satu manifestasi daya pemikiran tajam di bawah pimpinan Tan Sri Abdul Taib Mahmud dan disokong kerajaan Persekutuan.

Malahan konsep baru pembangunan tanah dengan pembukaan ladang kelapa sawit dikatakan bakal membawa perubahan positif taraf hidup di kalangan orang luar bandar jika mereka mampu menghayati dan memahami aspirasi kerajaan.

Kejayaan sedikit demi sedikit dalam pembukaan ladang sawit bagaimanapun dicemburui oleh pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan dan luar negara. Mereka mencemuh usaha membangunkan sosio-ekonomi dan melemparkan pelbagai tuduhan seperti merampas tanah NCR.

Justeru, berdasarkan rancangan dan pelaksanaan pembangunan sosio-ekonomi berterusan oleh kerajaan negeri Sarawak diterajui PBB, wajarkah JPUNS terus menerus menerus mendesak ingin masuk ke Bumi Kenyalang?

Masihkah Affendi Jeman akan menggunakan alasan JPUNS kini memiliki keahlian seramai 70,000 orang di seluruh negeri?