Pendidikan Penan ke arah kemajuan.

Posted on November 8, 2011

0


Berita dan gambar dia pernah menjadi muka depan akhbar-akhbar tempatan di Sarawak pada Ogos 2003 apabila dia menjadi graduan kedua Unimas dari kaum Penan.

Pencapaian Ezra Uda dalam bidang pelajaran yang pada ketika itu berumur 25 tahun mungkin tidak sebesar kejayaan dikecapi Temenggong Datuk Hasan Sui, tetapi wajar dijadikan contoh kepada anak-anak muda kaum tersebut.

UBAH NASIB...Ezra (kanan sekali) wajar dijadikan contoh oleh anak-anak muda Penan untuk berjaya.

 

Hasan merupakan ikon kegigihan kaum Penan yang membawa kepada kejayaan dalam penanaman kelapa sawit.

Pun begitu, Ezra berhak untuk gah dengan pencapaiannya dalam pendidikan tertiari yang kini membolehkannya bekerja sebagai pegawai kerajaan di sebuah jabatan kerajaan negeri.

Dia wajar gah memandangkan tidak ramai anak-anak muda Penan mempunyai kesedaran terhadap pendidikan seumpamanya.

Kemunduran dan kemiskinan yang selama ini membelenggu masyarakat Penan, telah membangkitkan semangat Ezra Uda untuk memperoleh segulung ijazah agar dapat membuktikan bahawa kaum terpencil di Miri itu boleh maju seperti masyarakat lain di Sarawak.

Akhbar-akhbar tempatan Sarawak pada ketika itu melaporkan Ezra berkata kejayaan itu akan menjadi pendorong kepada orang Penan lain agar lebih ramai berjaya menyambung pelajaran ke universiti pada masa akan datang.

Dia mengakui pendidikan amat penting ke arah mengangkat martabat kaum Penan.

Semundur mana pun sesuatu kaum itu, ia dapat dipulihkan dengan pendidikan yang memerlukan kesedaran konsisten di kalangan anak-anak muda. Kerajaan juga sedar kunci terhadap pembangunan Penan ialah dengan perubahan pemikiran terhadap pelajaran.

Kaum Penan berpotensi menjadi suku kaum yang maju jika komitmen penuh diberi terhadap usaha meningkatkan pencapaian mereka dalam bidang pelajaran.

Justeru, tumpuan wajar diberi terhadap usaha menyediakan kemudahan pelajaran kepada kanak-kanak masyarakat itu di kawasan terpencil, sama seperti yang dilakukan bagi kanak-kanak di bandar.

Kerajaan perlu terus memberi geran bagi memenuhi keperluan asas di penempatan mereka, tetapi cara paling baik bagi mempercepatkan pembangunan masyarakat itu tetap juga melalui pelajaran yang berhak mereka nikmati sejak usia seawal mungkin.

Kaum yang sering dieksploitasi oleh beberapa NGO barat dalam usaha memburukkan kerajaan perlu dibawa ke dalam arus perdana pembangunan negara bagi mencegah kumpulan tidak bertanggungjawab, dari dalam dan luar negara, memberi gambaran negatif tentang mereka.

Setuju atau tidak, ada pendapat mengatakan keciciran dalam pendidikan awal di peringkat prasekolah dilihat menjadi penghalang terbesar kepada kemajuan pelajaran anak-anak kaum Penan.

Kebanyakan anak-anak kaum Penan khususnya di pedalaman Baram tidak pernah menjejakkan kaki ke pusat-pusat pendidikan awal.

Justeru, ia menyebabkan golongan tersebut ketinggalan berbanding rakan sebaya mereka dari kaum lain apabila memasuki tahun satu.

Bayangkan, bagaimana sukarnya untuk anak-anak ini mahu menyesuaikan diri semasa memasuki darjah satu tanpa sebarang pendedahan di peringkat awal.

Masuk darjah satu, mereka baru belajar mengenal abjad dan nombor, sedangkan rakan-rakan mereka sudah mengenal perkara asas itu seawal usia tiga tahun.

Kesukaran itu dilihat menjadi bebanan kepada anak-anak pribumi itu untuk meneruskan persekolahan mereka hingga ke peringkat lebih tinggi.

Tidak hairan jika ramai yang terkandas dan enggan meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Ada pihak luar beranggapan keciciran pelajar di kalangan Penan berpunca dari kehidupan berpindah randah mereka atau masih nomad.

Ada laporan pada tahun lepas mengatakan hanya tinggal dua kumpulan Penan sahaja yang masih mengamalkan cara hidup berpindah-randah dalam hutan. Kaum ini mempunyai populasi kira-kira 15,000.

Kumpulan terbabit ialah Penan Megoh yang masih terdapat di kawasan sekitar Bario dan Long Seridan serta Penan Adang yang tinggal di sekitar kawasan Batu Lawi. Selain Ulu Baram, kaum Penan juga tinggal di kawasan sekitar Ulu Belaga.