Penubuhan Tujuh Klan penuh prasangka buruk.

Posted on November 8, 2011

0


Ingatkan orang Bumiputera sahaja yang mudah melenting dan menyimpan prasangka buruk. Rupa-rupanya orang Cina pun begitu. Mungkin ini adalah garapan terbaik hasil perpaduan masyarakat majmuk di negara ini.

Ini cerita tentang penubuhan Persekutuan Persatuan Tujuh Klan yang turut diajukan persoalan kewujudannya oleh para pengamal media di Sarawak seperti terpampang di dada beberapa akhbar pada 2 Sept. 2011.

Malahan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud menolak pemikiran negatif sedemikian yang terus mengaitkan persekutuan berkenaan dengan politik apabila melihat pembabitan Penasihat Hal Ehwal Belia Sarawak Larry Sng dalam persekutuan itu.

Larry merupakan bekas ADUN Pelagus, tetapi tidak dicalonkan semula pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-10 pada 16 April 2011. Larry dibuang dari Parti Rakyat Sarawak (PRS) setelah wujud perebutan kuasa pucuk pimpinan parti tersebut dengan presidennya, Tan Sri Dr James Jemut Masing.

Persekutuan tersebut diterajui pengerusi penganjurnya, Chai Then Sian, manakala Larry merupakan penasihat. Tujuh persatuan klan kaum Cina itu ialah Foochow, Kwong Wai Siew, Hainan, Hakka, Chiang Chuan, Heng Hua dan Teochew.

Chai Then Sian

Buruk sangka kerana ada ahli politik kedai kopi yang mengaitkan penubuhan persekutuan berkenaan dengan peranannya untuk menggantikan SUPP – sebuah parti yang kian kurang mendapat sokongan di kalangan orang Cina, terbukti pada pilihan raya 16 April 2011.

Dari kedai kopi ia turut menjangkiti portal-portal berita. Lantas cerita itu disampaikan oleh para pengamal media kepada Ketua Menteri Sarawak pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di Pusat Konvensyen Borneo Kuching baru-baru ini.

Setakat ini, Persekutuan Persatuan Tujuh Klan belum menyatakan matlamat penubuhan, tetapi menariknya sudah ada suara sumbang yang muncul dengan kenyataan berbaur curiga. Prejudis!

Jika pun benar persekutuan itu mempunyai agenda politik, adakah ia bercanggah dengan undang-undang negara? Adakah ia satu kesalahan dari aspek budaya?

Begitu juga halnya dengan usaha membantu meraih semula sokongan dari kalangan orang Cina apabila sudah terbukti SUPP memerlukan pertolongan terutama merampas semula kerusi-kerusi pilihan raya yang hilang dirampas DAP dan PKR.

Chai Then Sian (dipetik dari The Star, 2 September 2011) menafikan penubuhan persekutuan adalah untuk menggantikan peranan SUPP dalam BN.

Malahan jauh sama sekali cuba bersaing dengan persatuan-persatuan Cina yang lain dalam memperjuangkan kebajikan kaum Cina.

Dari kacamata orang biasa, SUPP kian lesu, tidak bermaya dan memerlukan bantuan untuk pulih. Siapa yang tidak kecewa apabila parti politik tertua di Bumi Kenyalang itu tewas di 13 daripada 19 kerusi dipertandingkan pada 16 April 2011.

Dari SUPP, kini cuma ada dua wakil rakyat berketurunan Tionghua dalam Dewan Undangan Negeri Sarawak.

Abdul Taib sebelum ini pernah dilaporkan enggan melihat kaum tersebut tidak memiliki perwakilan di dalam kabinet negeri kerana mahukan keseimbangan dalam kerajaan dan membuktikan kemajmukan politik.

Justeru, apa jua usaha untuk memastikan penglibatan kaum Cina dalam kerajaan wajar menerima sokongan padu. Mungkin juga itu ialah matlamat akhir Persekutuan Persatuan Tujuh Klan – siapa tahu.

Ini ialah laporan Utusan Sarawak, 3 September 2011.

KUCHING, Jumaat – Kemunculan Persekutuan Persatuan Tujuh Klan tidak harus digeruni memandangkan ia sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang tiada kaitan politik, saran Ketua Pegawai Eksekutif Angkatan Zaman Mansang (Azam) Datu Aloysius Dris.

Sebaliknya badan yang baru saja diluluskan pendaftarannya oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) pada 18 Ogos lalu harus dilihat sebagai wadah bagi menyuarakan kepentingan kaum Cina di negeri ini dan sebagai rakan pelengkap kepada badan-badan sedia ada seperti Persatuan Cina Bersatu (UCA) dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP).

Aloysius hairan kenapa bantahan keras sudah terlalu awal dilakukan terhadap kewujudan Persekutuan Persatuan Tujuh Klan sebelum pun badan itu membuktikan hala tujunya.

Kepada pengkritik, beliau menasihatkan agar berusaha melihat kebijaksanaan Ketua Menteri Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud yang tiada bantahan terhadap badan persekutuan baru itu kerana beliau benar-benar ingin melihat usaha memperkukuhkan penyertaan kaum Cina dalam Barisan Nasional (BN) supaya semangat 1Malaysia benar-benar menjadi kenyataan.

Aloysius memberi contoh, bagi kaum Melanau, walaupun mereka ada Persatuan Melanau diwujudkan dalam hampir setiap bahagian di negeri ini namun mereka bersatu di bawah satu bumbung Persekutuan Persatuan Melanau Sarawak.

Selain itu juga ada wujud Lembaga Amanah Kaum Melanau Sarawak dan badan-badan itu bergerak dalam entiti sebagai sebuah badan bukan kerajaan dan tiada kaitan politik.