Pesta Kuih Bulan, cermin perpaduan kaum di Sarawak.

Posted on November 8, 2011

0


Sebut Pesta Kuih Bulan, mungkin di benak fikiran pelancong hanya tergambar deretan gerai-gerai yang memperdagangkan kuih bulan pelbagai jenis. Bukan begitu, ia anggapan salah jika anda berada di Sarawak.

Ia satu acara yang wajar dikekalkan dalam usaha mengukuhkan perpaduan antara pelbagai kaum di Bumi Kenyalang. Simboliknya, antara lain, ia memaparkan pertembungan dua budaya sejak zaman pramerdeka. Melayu di seberang sungai, manakala pedagang Cina mendiami di sebelah tebing lain Sungai Sarawak.

Tidak pernah ada sejarah mencatatkan wujud pertengkaran besar antara dua kaum ini. Saling sama memerlukan mungkin menjadi satu ikatan tulus sejak zaman berzaman. Bumi Kenyalang bukan milik sesuatu kaum semata-mata.

Pesta Kuih Bulan Antara Budaya yang kini (11 September 2011) sedang diadakan di Lebuh Carpenter atau Lebuh Cina di Kuching ketika ini merupakan satu lagi contoh terbaik menggambarkan keserasian dalam hidup kaum majmuk di Sarawak.

Dalam meraikan bulan kemerdekaan atau pembentukan Persekutuan Malaysia dalam Ogos dan September ini, memang wajar semangat perpaduan diperkukuhkan meskipun ia bukan satu masalah di Sarawak. Lebih 20 suku kaum, tetapi hidup kekal harmoni.

Ketibaan Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Abang Muhammad Salahuddin bagi merasmikan pesta tersebut disambut dengan dua budaya berbeza – tarian singa dan paluan kompang. Sungguh unik dan para pelancong asing gemar menyaksikan aktiviti sebegini.

BUDAYA CINA: Tarian singa di Pesta Kuih Bulan

Malahan, pesta tahunan itu dipengerusikan bersama oleh Dr Abdul Rahman Junaidi (wakil Melayu) dan Datuk Lily Yong (Cina).

Dr Abdul Rahman berkata keunikan itu berlaku apabila pesta yang merupakan acara kepada kaum Cina dianjurkan oleh pemimpin masyarakat yang berbilang kaum.

“Selain di sini, antara Pesta Kuih Bulan yang terbesar diadakan adalah di Melaka dan Pulau Pinang, yang merupakan acara tahunan dan kedua-dua pesta itu dianjurkan oleh kerajaan.

“Berbeza dengan kita di Kuching, yang dianjurkan oleh pemimpin masyarakat seperti kapitan, penghulu, ketua kampung dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK),” katanya dipetik menerusi Utusan Borneo, 11 September 2011.

Penganjuran pesta itu khusus untuk semua rakyat dan tidak ada kaitan dengan politik.

Pesta yang diadakan bermula pada 9 hingga 12 September itu menghimpunkan kira-kira 80 buah gerai dan kebanyakannya adalah makanan sementara 20 daripadanya khas untuk pertubuhan bukan kerajaan seperti JKKK dan persatuan Cina.

Artikel ini turut dipaparkan oleh Utusan Borneo.

Utusan Borneo

11 September 2011

KUCHING: Pada kebiasaannya ‘tuak’ yang merupakan minuman masyarakat Dayak, khasnya kaum Iban, disediakan pada sambutan Hari Gawai Dayak.

Namun, menariknya pada kali ini, ia turut menjadi salah satu minuman yang disediakan pada Pesta Kuih Bulan Antara Budaya Sarawak 2011 yang diadakan di Carpenter Street di sini.

Gerai tuak berkenaan membarisi makanan dan minuman kaum Dayak pada pesta itu yang kebanyakannya berasaskan makanan Cina.

Peniaganya, Kennedy Braoh ketika ditemui berkata, tahun ini bukan merupakan kali pertama beliau menyertai acara itu. “Saya selalu menyertai acara ini setiap tahun dan menjual produk yang sama iaitu tuak, yang amat memberangsangkan sambutannya,” katanya ketika ditemui Utusan Borneo di sini, malam kelmarin.

Beliau memberitahu tuak hasil buatan sendiri itu mendapat sambutan khasnya daripada warga asing yang ingin mencuba minuman tempatan itu.

“Selain warga asing, kaum Cina, Iban dan Bidayuh turut membeli minuman ini,” kata lelaki yang berasal dari Debak, Betong itu.

 Kennedy berkata, beliau menjual purata 24 botol pada satu malam pada harga RM15 sebotol.

“Jika dilihat pada tahun-tahun sebelum ini, semua jualan kita habis dijual untuk setiap malam,” jelasnya. Selain Kennedy, seorang pemain sape yang berusia 20-an turut menjadi perhatian terutamanya para pelancongan asing dan tempatan.

Ezra Tekola, pemuda Kenyah berusia 20 tahun itu telah bermain sape sejak berusia 12 tahun.

Suasana malam itu juga dimeriahkan lagi dengan persembahan gendang Melayu dan nopeng yang menjadikan pesta penuh kebudayaan.