Sarawak sudah 1Malaysia

Posted on November 8, 2011

0


MUNGKIN seolah-olah terlalu bongkak apabila dikatakan Sarawak tidak perlu program penyatuan kaum seperti Gagasan 1Malaysia. Tetapi ini satu hakikat yang berlaku di Bumi Kenyalang.

Rakyat pelbagai suku kaum – berbilang agama, lain-lain adat-resam dan bermacam bahasa – tetapi mampu hidup harmoni. Tidak ada prasangka buruk terhadap kumpulan lain, juga tidak ada kumpulan yang mendakwa mereka adalah penduduk asal Borneo. Semua berasal dari satu rumpun pada ketika dahulu.

HARMONI...pelbagai kaum hidup dalam penuh perpaduan.

Hubungan harmoni dalam kalangan lebih 20 kumpulan etnik di Sarawak merupakan sesuatu yang semula jadi dan bukannya luar biasa.

Malahan keharmonian kaum di Sarawak diikat kemas dengan tali kekeluargaan menerusi perkahwinan campur. Iban kahwin Melayu, Melayu kahwin Cina, Bidayuh kahwin Iban, Melayu kahwin Melanau, Kelabit kahwin Iban, Kayan kahwin Kenyah, dan macam-macam lagi.

Semangat persaudaraan yang begitu menebal di dalam sanubari setiap penduduk Sarawak membolehkannya dijadikan satu model perpaduan. Model perpaduan yang amat diidamkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak menerusi Gagasan 1Malaysia.

Najib menyifatkan Sarawak sebagai contoh amalan budaya hidup ‘Perpaduan Melalui
Kepelbagaian’. Rakyat Sarawak adalah contoh apa yang dimaksudkan dengan ‘Perpaduan Melalui Kepelbagaian’.

Rakyat Malaysia di semenanjung wajar mempelajari dan menerapkan semangat perpaduan yang dipraktikkan oleh Sarawak. Ini disarankan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, dan sudah pasti ia menjadi kebanggaan Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

Sukar untuk dinafikan, perpaduan di Sarawak merupakan hasil yang diusahakan dan dikekalkan oleh Abdul Taib sejak menjadi Ketua Menteri. Beliau disegani oleh pemimpin-pemimpin politik yang berjaya menyatupadukan warga Sarawak meskipun beliau berbangsa Melayu-Melanau.

Kepelbagaian agama, bangsa dan budaya masyarakat Sarawak sama sekali tidak menghalang perpaduan yang sedia terbentuk di kalangan masyarakat negeri ini selama ini.

Semua golongan masyarakat terbukti mampu memupuk persefahaman dan mengeratkan kerjasama antara satu sama lain walaupun terdapat perbezaan pendapat dan latar belakang agama, bangsa dan budaya.

Perpaduan yang terjalin sejak sekian lama amatlah bertepatan dengan aspirasi 1Malaysia. Gagasan 1Malaysia telah lama diamalkan di Sarawak dengan rakyatnya yang berbilang kaum dan agama telah hidup bersatu padu sejak dahulu lagi.

Dalam terus menjaga perpaduan yang sedang dikecapi ini, wajar kestabilan dan kemakmuran sedia ada dikekalkan termasuk menolak segala idealogi politik dari luar yang ingin meruntuhkan perpaduan rakyat Sarawak.

Ada juga orang luar hairan bagaimana orang Sarawak yang berlainan agama dapat tinggal sebumbung! Seorang profesor antropologi, Dr Wan Zawawi, amat berminat untuk menjalankan kajian tentang situasi ini. Beliau ingin tahu apakah yang tersemat di dalam sanubari masing-masing hingga membolehkan mereka tinggal sebumbung!

Amalan berkunjung ke rumah rakan-rakan dan saudara-mara ketika musim perayaan sebegini juga dikatakan merupakan faktor penyumbang dalam pengekalan perpaduan.

Kunjungan teman-teman yang berbangsa dan lain agama amat bermakna dalam rumah terbuka.

Apa yang wajar dilakukan oleh rakyat Sarawak ialah memperkemaskan semangat perpaduan dan tidak bongkak dengan pencapaian sekarang. Ia wajar dikekalkan demi mencorak masa depan Sarawak lebih unggul dari aspek ekonomi.

Prestasi ekonomi yang memberangsangkan amat mustahak dalam memastikan pembangunan secara total dilaksanakan di Bumi Kenyalang. Keadaan huru-hara dan tidak wujud perpaduan kaum, akan mengganggu usaha kerajaan membangunkan negeri.

Itulah sebab perpaduan kaum penting dan, syabas Sarawak memiliki aset berharga itu.