SPDP 5, Pilihan Raya Umum dan pembangkang.

Posted on November 8, 2011

0


Saya tidak berminat untuk mengetahui apakah alasan di sebalik kegagalan mereka yang digelar kumpulan berlima dalam SPDP menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi parti, tetapi lebih gemar mengetahui apakah penghujung krisis tersebut.

Juga saya tidak pernah timbul perasaan hendak tahu adakah krisis ini tercetus akibat ‘politik’ kepartian.

Peter Nansian Nguse, Dr Tiki Lafe, Sylvester Entri Muran, Paulus Palu Gumbang, Rosey Yunus yang ‘membentuk’ kumpulan berlima dalam parti pimpinan William Mawan Ikom lebih mengetahui apa yang tersirat di sebalik tindakan mereka. Begitu juga Mawan dan ahli-ahli Majlis Tertinggi SPDP, mereka pasti lebih tahu isi hati mereka.

Cuma saya gemar menanti apakah bentuk hukuman terhadap wakil rakyat terbabit apabila laporan Jawatankuasa Disiplin SPDP siap dalam tempoh 30 hari selepas mereka dirujuk ke jawatankuasa terbabit pada 13 September 2011.

Apakah impak hukuman tersebut terhadap perpaduan di kalangan pemimpin-pemimpin parti yang kedua termuda dari kalangan empat parti komponen dalam BN negeri Sarawak kelak? Adakah ia turut membawa kepada perpecahan dalaman parti dari pucuk pimpinan hingga ke peringkat akar umbi.

Nansian merupakan ADUN Tasik Biru, Dr Tiki ialah Anggota Parlimen Mas Gading, Sylvester ialah ADUN Marudi, Paulus ADUN Batu Danau dan Rosey ADUN Bekenu.

Saya juga tidak berapa suka untuk menuding jari mencari kesalahan mana-mana pihak dalam hal ini. (Siapalah saya untuk berbuat demikian).

Apa yang lebih bermakna, semua pihak wajar memikirkan adakah kepentingan peribadi mengatasi kepentingan parti. Perpaduan dan kekuatan BN bermula dengan hubungan harmoni di kalangan ahli-ahli dan para pemimpin sesebuah parti komponen.

Dalam memikirkan persoalan kepentingan parti atau peribadi, mereka yang berada dalam SPDP wajar merenung kembali sejarah penubuhan parti mereka.

SPDP diluluskan pendaftarannya oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan pada 8 November 2002.

Penubuhan parti itu adalah berikutan pembatalan pendaftaran Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) seminggu sebelum tarikh kelulusan diberikan oleh ROS kepada SPDP.

SNAP, parti komponen BN selama 41 tahun, telah dibatalkan pendaftarannya berikutan kegagalannya untuk menyelesaikan pertikaian dalaman parti yang berlarutan sejak April 2002. Kini SNAP telah aktif semula sebagai parti politik bukan komponen BN selepas mahkamah memutuskan pembatalan parti tersebut oleh ROS adalah tidak sah.

Parti itu juga gagal memberi maklum balas kepada surat tunjuk sebab yang dikeluarkan oleh ROS.

Berikutan krisis kepimpinan itu, SNAP terbahagi kepada dua kumpulan dengan kumpulan yang diketuai Mawan memohon mendaftarkan SPDP manakala kumpulan (mendiang) Datuk Amar James Wong mahu merayu kepada Menteri Dalam Negeri berhubung tindakan membatalkan pendaftaran SNAP.

Kesimpulannya, SPDP bermula dengan kehancuran sebuah parti induk – SNAP. Adakah krisis wakil rakyat berlima ini akan mengundang penubuhan parti baru juga? Oh tidak! Berapa banyak parti politik orang Sarawak hendak sertai?

Apakah wajar perpecahan di kalangan pemimpin SPDP muncul ketika pilihan raya umum dikatakan semakin hampir? Sebaik-baiknya biarlah dicari jalan penyelesaian kerana dikhuatiri ia bakal mengundang kesan buruk pada pilihan raya umum kelak. Prestasi SPDP ialah prestasi BN.

Kita enggan mendengar komen yang mengatakan perbuatan sabotaj di kalangan ahli-ahli dan para pemimpin SPDP sendiri menjadi punca kekalahan (andai) calon-calon pilihan raya SPDP kelak.

SPDP mempunyai empat kerusi Parlimen iaitu Bintulu disandang Tiong King Sing, Saratok, Jelaing Mersat, Jacob Dungau Sagan di Baram, dan Dr Tiki di Mas Gading.

Tiong, Jelaing dan Dungau telah diberi mandat untuk bertanding semula pada pilihan raya kelak oleh pucuk pimpinan SPDP. Dr Tiki masih samar-samar berikutan keengganannya menghadiri tujuh mesyuarat Majlis Tertinggi sejak 2009.

Sarawak masih dianggap sebagai kubu kuat BN. Parlimen di Sarawak dipecahkan kepada 31 kawasan. Pada Pilihan Raya Umum 2008, BN yang dianggotai PBB, SUPP, SPDP dan PRS menang di 30 kerusi dan DAP menang di Parlimen Bandar Kuching.

Apakah kedudukan Sarawak sebagai kubu kuat BN akan tergugat jika dinilai berdasarkan prestasi Pilihan Raya Negeri Sarawak April 2011? Ya benar BN masih menang di Sarawak dan seterusnya membentuk kerajaan negeri yang baru, tetapi SUPP kalah teruk, SPDP hilang dua kerusi, PRS tewas satu kerusi, manakala PBB menang di semua kerusi.

Pesanan untuk SPDP, jangan biarkan pembangkang – DAP, SNAP dan PKR – mengintai kelemahan dalam usaha mereka meraih kemenangan pada pilihan raya umum kelak.