Tong gas…berkarat tapi mahal.

Posted on November 8, 2011

0


Isu ini bukan satu perkara baru. Cuma mungkin media baru sahaja terhidu. Biasalah, apabila media cetak atau elektronik buka cerita, semua mata terbeliak.

Pada Januari 2011, seorang teman merungut apabila sukar mencari kedai yang sanggup menjual silinder gas berisi. Hampir semua kedai berkenaan ditanya dan satu pun enggan menjual. Dia berasa hairan.

Antara alasan tauke kedai ialah “ini tong orang lain”, “tidak boleh jual lagi” dan “tunggu stok baru sampai”.

Cuma ada dua buah kedai yang sanggup menjual tong gas, tetapi dengan harga yang sungguh tidak logik – RM200 untuk satu tong gas yang lazimnya berkarat.

Bayangkan jika sebuah keluarga kurang mampu dari aspek kewangan dan berpindah ke kawasan baru yang terletak jauh dari kawasan asalnya. Hendak dibawa tong gas dari tempat asal adalah kurang mungkin kerana terlalu jauh.

Terpaksa mereka membeli tong gas di kawasan baru dengan harga yang tinggi. RM200 bagi mereka dari keluarga susah amat besar nilainya. Banyak barang yang boleh dibeli dengan wang sebanyak itu.

Tetapi apa boleh buat, mahal pun harganya mereka mesti membelinya. Tidak ada tong gas ertinya dapur tidak berasap. Tidak berasap bukan kerana tidak ada makanan untuk dimasak tetapi kerana tidak ada gas memasak!

Satu ketika dahulu, awal tahun 2008, harga tong gas yang berisi LPG hanya RM70 – RM80.

Hendak menyalahkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan tentang kenaikan ini memang tidak wajar. Mereka cuma diperuntukkan kuasa undang- undang untuk mengawal harga cecair di dalamnya.

Laporan akhbar pada Mei 2011 mengatakan terdapat bukti untuk mengaitkan kenaikan harga tong gas dengan kegiatan penyeludupan ke luar negara.

Penyeludup dikatakan membeli tong gas dalam kuantiti yang banyak dengan harga RM80 seunit satu ketika dahulu. Kemudian menjualnya dengan harga berlipat kali ganda di negara luar. Itu dinamakan untung menerusi perniagaan haram!

Apabila kegiatan itu diketahui, pihak pembekal terpaksa menaikkan harga agar mereka yang terbabit tidak dapat membeli tong gas sewenang-wenangnya.

Hakikatnya, pengguna yang benar-benar memerlukannya turut menjadi mangsa apabila terpaksa membeli dengan harga tinggi.

Justeru, agensi dan jabatan kerajaan perlu mengetatkan kawalan sempadan bagi mengelakkan wujud manipulasi oleh penyeludup.