Usah malu sokong BN.

Posted on November 8, 2011

0


Seorang teman bertanya kepada saya, ketika menikmati kopi di sebuah kedai pada Ahad lepas, mengapa ramai orang muda sekarang umpama malu mengakui mereka merupakan penyokong Barisan Nasional (BN).

Saya tergamam dan tidak tahu apakah jawapan paling sesuai. Lantas, dalam perjalanan pulang ke rumah, saya berfikir dan cuba mengimbas kembali persoalan teman saya.

Mungkin ada logik perasaan malu itu muncul apabila enggan dikutuk dan dicaci rakan-rakan di ruang Internet dan bukan enggan mengakui peranan serta sumbangan BN selama ini telah memberi nikmat dalam hidup mereka.

Tetapi mereka yang menyokong BN ‘menikus’ kerana takut ‘diserang’ beramai-ramai oleh golongan propembangkang.

Mereka ini banyak menguasai media internet bagi menarik kuasa undi belia berpendidikan dan celik teknologi maklumat.

Dengan adanya Facebook, dalam membincangkan hal berkaitan politik, paling lantang ialah pengkritik BN.

BN mungkin tewas di tangan parti pembangkang dari aspek penguasaan dan sokongan di Internet.

Tetapi sekurang-kurangnya, pembangkang dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-10 pada April 2011, masih gagal menguasai keseluruhan minda belia apabila membentuk kerajaan negeri diketuai Tan Sri Abdul Taib Mahmud, Ketua Menteri Sarawak.

Dalam konteks BN di Sarawak, sudah banyak pembangunan dan kemajuan yang dibawa hasil usaha kerajaan negeri BN dan ia tidak dapat dinafikan mana-mana pihak, termasuk pembangkang.

Rakyat Sarawak yang terdiri daripada pelbagai suku kaum dapat menilai kemajuan dan pembangunan yang sudah dan akan dilaksanakan BN di Bumi Kenyalang. Landskap Sarawak bakal berubah dengan kesungguhan Taib melaksanakan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE).

Pelan jangka panjang Sarawak itu memberi fokus kepada penggunaan secara optimum kekayaan sumber tenaga asli di negeri ini menerusi pembangunan industri berasaskan tenaga, bakal melonjakkan lagi ekonomi Sarawak dan menyediakan lambakan peluang pekerjaan.

Nah, itu yang perlu dibanggakan oleh penyokong BN, sama ada berada dalam ruang lingkup perbincangan di alam siber atau realiti.

Saya percaya, jika wujud sentimen ‘tidak malu sokong BN’, ia akan disusuli dengan kebangkitan suara BN di Internet hingga boleh menenggelamkan atau terus menimbulkan rasa takut di kalangan pembangkang.

Usah biarkan pembangkang menguasai alam siber.