Bekalan elektrik, jalan raya penanda aras pembangunan di Sarawak.

Posted on November 21, 2011

0


ARTIKEL berita itu nampak kecil, tetapi sebenarnya ia membawa pengertian besar kepada penduduk di luar bandar Sarawak yang belum mendapat bekalan elektrik 24 jam.

Kita faham bahawa kerajaan berusaha untuk mengatasi masalah bekalan elektrik yang dihadapi penduduk luar bandar terutama di pedalaman.

Artikel berita yang dimuatkan dalam akhbar The Star bertarikh 26 September 2011, diharap membawa keceriaan di raut wajah warga luar bandar yang amat berharap mereka akan menikmati bekalan elektrik dari grid negeri, bukannya dari generator yang memerlukan mereka berbelanja besar untuk membeli bahan api.

Dalam berita itu, kerajaan negeri Sarawak dikatakan menyasar menambah liputan bekalan elektrik kepada 95 peratus di kalangan isi rumah luar bandar. Ia merupakan inisiatif kerajaan di bawah Program Transformasi Kerajaan (GTP) Infrastruktur Asas Luar Bandar (RBI) NKRA.

Menteri Kemudahan Awam Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dipetik sebagai berkata sasaran itu merupakan lonjakan besar dari aspek liputan berbanding sekarang 66 peratus.

Awang Tengah

Ke arah mencapai sasaran itu, sebanyak 1,144 projek sedang dilaksanakan dengan amaun RM1.7 bilion di seluruh negeri Sarawak. Ini menunjukkan betapa kerajaan komited dalam melaksanakan pembangunan kemudahan asas.

Biarpun lambat tetapi rakyat, terutama mereka yang terbabit, faham kerajaan menghadapi pelbagai kekangan dalam pelaksanaan kerja-kerja menyediakan bekalan elektrik. Antara masalah yang selalu dikatakan oleh kerajaan ialah kekurangan peruntukan dan kekangan struktur geografi.

Bekalan elektrik 24 jam merupakan satu komponen penting dalam mengukur tahap kemajuan. Dahulu, ketika zaman gua batu, elektrik langsung tidak ada kepentingan dalam rutin harian. Tetapi ia kini umpama bahan keperluan utama.

Anak-anak belajar pada waktu malam misalnya memerlukan cahaya yang terang untuk membaca buku dan menulis. Untuk yang lebih ‘advance’ komputer memerlukan tenaga elektrik yang konsisten. Komputer dan internet pada masa kini umpama alat bantu belajar bagi setiap pelajar.

Di situ terletakknya serba sedikit kepentingan adanya bekalan elektrik 24 jam.

Bukan itu sahaja, sekarang dengan wujudnya usaha kerajaan yang ingin mengadakan dan memajukan sektor industri desa, bekalan elektrik amat penting sebagai pemangkin kejayaannya.

Dalam melaksanakan projek bekalan elektrik di luar bandar, kerajaan juga wajar melihat kepentingan jaringan jalan raya. Sesebuah kawasan penempatan ibarat terputus hubungan dengan dunia luar jika tidak ada jalan raya bersambung dengan pekan atau bandar.

Jalan raya merupakan nadi pengangkutan utama pada masa sekarang. Dahulu mungkin sungai dijadikan pengangkut pelbagai hasil tani ke pekan. Sekarang kewujudan jalan raya dapat menyingkatkan masa dan memberikan opsyen yang lebih menjimatkan.

Adanya jalan raya, para petani, penternak dan peladang dapat memasarkan hasil masing-masing dengan kuantiti lebih banyak apabila menggunakan lori. Justeru, pendapatan di kalangan golongan ini dapat digandakan.

Sarawak kini mempunyai jalan raya yang hampir lengkap bagi menghubungkan pesisir pantai. Ia menghubungkan wilayah utara ke selatan. Lebih dari itu, ia dapat membangunkan kawasan-kawasan di sepanjang jalan raya yang sebelum ini terbiar.

Sementara itu, tidak dinafikan ada beberapa kawasan di negeri Sarawak sukar untuk dibekalkan dengan air bersih. Antaranya ialah Pulau Bruit yang lebih dikenali oleh orang lama sebagai Tanjung Sirik.

Difahamkan kerajaan perlu mengeluarkan peruntukan besar untuk kerja-kerja membekalkan air bersih untuk kegunaan penduduk di kampung-kampung nelayan di situ.

Dalam hal ini, penduduk Pulau Bruit wajar diberikan penjelasan oleh kerajaan di sebalik kelewatan pelaksanaan projek bekalan air bersih.

Itulah serba-sedikit cerita tentang pelaksanaan projek-projek kemudahan asas di negeri Sarawak. Meskipun masih ada kawasan yang tidak ada elektrik 24 jam, tidak dihubungkan dengan jalan raya, dan bekalan air bersih, tetapi percayalah sudah banyak penempatan di luar bandar memiliki tiga komponen utama pembangunan.