‘Datuk’, DAP bernada sinis.

Posted on November 21, 2011

0


Tidak ada ucapan tahniah, malahan kata-kata bernada sinis diberikan Pengerusi DAP Sarawak Wong Ho Leng apabila beberapa wakil rakyat BN dianugerahkan darjah-darjah kebesaran negeri sempena sambutan Hari Jadi Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng ke-90 pada hujung minggu lepas.

Mungkin tidak ada isu lain lebih berfaedah untuk diketengahkan dalam media alternatif, lantas Ho Leng yang juga ADUN Bukit Assek dan Anggota Parlimen Sibu, seolah-olah tidak menghargai sumbangan ahli politik BN.

Dalam laporan portal Free Malaysia Today (FMT), Ho Leng dikatakan mempersoalkan munasabah di sebalik penganugerahan ‘Datuk’ kepada ahli politik BN. Adakah beliau iri hati sebab ahli politik DAP tidak ada yang dianugerah darjah kebesaran?

Kadang-kadang kita maklum isu remeh temeh seperti ini tidak wajar dibangkitkan oleh mana-mana pihak. Ia adalah budibicara Tun Salahuddin dalam memberikan anugerah kepada sesiapa yang dirasakan layak.

Adakah tindakan mempersoalkan kewibawaan Tun Salahuddin juga dilihat oleh pembangkang sebagai umpan untuk meraih sokongan di kalangan rakyat, terutama ketika ura-ura pilhan raya umum akan diadakan pada suku pertama tahun depan? Jika itulah jawapannya, DAP boleh dianggap sebagai tandus isu.

Antara ahli politik BN yang menerima darjah kebesaran pada 24 September 2011 ialah Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak Mohd Asfia Awang Nassar (Datuk Amar), ADUN Muara Tuang Mohammad Ali Mahmud (Dato Sri),  Menteri di Pejabat Ketua Menteri Fatimah Abdullah (Datuk), Menteri Muda Sylvester Entri Muran (Datuk), Menteri Muda Naroden Majais (Datuk), Menteri Muda Mong Dagang (Datuk) dan ADUN Tarat Roland Sagah (Datuk).

Ho Leng dalam FMT dipetik berkata: “Melihat kepada ahli politik yang diberi anugerah, saya tertanya-tanya apakah nilai darjah kebesaran sekarang.

“Saya berjumpa dan mengenali mereka di Dewan Undangan Negeri sejak beberapa tahun. Mereka cuma berkhidmat dengan tuan politik mereka, bercakap bagi pihaknya”.

Menurut beliau, lebih ramai dari kalangan bukan ahli politik layak menerima darjah kebesaran seumpama itu.

Menerusi petikan itu sungguh jelas menggambarkan pemikiran politik pembangkang agak sempit. Bukankah mereka yang menerima anugerah itu memiliki sumbangan kepada rakyat menerusi pelbagai usaha untuk membangunkan kawasan masing-masing dan seluruh negeri Sarawak?

Adakah DAP lebih yang layak menerima gelaran ‘Datuk’ sebab mereka gemar menunjukka aksi-aksi menuding ke arah jalan berlopak, longkang tersumbat dan longgokan sampah?

Lebih berjasa lagi apabila aksi-aksi mereka disiarkan di akhbar-akhbar.

Persoalan yang turut timbul susulan kata-kata sinis Ho Leng itu ialah “hanya itukah kemampuan pembangkang dalam cuba menjadi hero di hati rakyat?”

Ho Leng dan geng-geng pembangkangnya dari DAP dan PKR akan mengkritik lagi apabila Ketua Menteri Sarawak Pehin Sri Abdul Taib Mahmud mengumumkan barisan kabinet baru yang dijangka dilakukan pada 28 September 2011.

Jika tidak ada kritikan, ia bermakna kabinet itu amat sempurna dari penilaian mereka. Tetapi yang pasti mereka akan mengakui kabinet bayangan dibentuk mereka lebih efektif dalam merencanakan pembangunan.

Apa boleh buat, mereka sahaja yang betul.