Fahami SCORE sebelum salah erti.

Posted on November 21, 2011

0


RAMAI yang sudah ‘lejuk’ atau bosan apabila seseorang membuka mulut tentang Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE). Mungkin sebab perkataan “SCORE” sudah biasa terngiang-ngiang di telinga sejak beberapa tahun kebelakangan ini terutama mulai tahun 2008.

Tetapi tahukah mereka tentang apa itu SCORE dan fahamkah mereka apa yang cuba dirancang kerajaan negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri Sarawak Pehin Sri Abdul Taib Mahmud? Rancangan ini akan mengubah corak hidup mereka, sebab itu belia pada masa ini wajar menghayati SCORE.

Apakah peranan dan sumbangan mereka terhadap kejayaan projek pembangunan ini? Berjaya atau gagal SCORE mungkin boleh dikaitkan dengan kegagalan belia Sarawak menghayati sepenuhnya projek ekonomi gergasi ini dalam proses Malaysia menuju negara berpendapatan tinggi.

Menuju era moden menerusi SCORE

Sumbangan belia tempatan amat mustahak. Tenaga kerja daripada golongan ini merupakan penggerak dan nadi kejayaan SCORE. Wujudnya idea dalam membawa masuk industri ke kawasan SCORE tetapi jika tanpa tenaga mahir ia seolah-olah tiada makna. Siapa yang akan menjadi jurutera, jurukimpal dan lain-lain pekerjaan.

Apa yang mula merisaukan kini apabila ada beberapa pihak dalam nada sini berkata “mana dia SCORE?”.

Mereka dalam kategori demikian mungkin berfikir secara sempit. Mereka juga berfikir pelaksanaan SCORE umpama projek pembinaan bangunan yakni saban hari menampakkan proses fizikal seperti bertambah naik atau besar.

SCORE bukan begitu meskipun ia membabitkan pembangunan fizikal. SCORE boleh dikatakan sebagai pembangunan holisitik kerajaan.

Sarawak kini dalam perancangan memasuki lembaran baru berkaitan struktur pembangunan ekonomi global memfokuskan kepada industri berat, bioteknologi dan pelancongan sejajar dengan pembangunan SCORE.

Abdul Taib memberitahu persiapan yang lengkap dan rapi perlu dilakukan agar segala usaha untuk memastikan kejayaan dalam sektor ekonomi baru itu berjalan lancar.

Sektor pelaburan merupakan aspek penting kerana ia dapat membentuk struktur yang boleh menarik kemasukan pelaburan asing seterusnya meningkatkan ekonomi negeri.

Berikut ialah serba-sedikit maklumat berkaitan SCORE.

• Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak (Score) telah dilancarkan oleh bekas Perdana Menteri Tun (dahulu Datuk Seri) Abdullah Ahmad Badawi pada 11 Feb 2008 di Bintulu.
• Score adalah koridor pembangunan kelima dilancarkan Perdana Menteri selepas Wilayah Pembangunan Iskandar di Johor, Wilayah Ekonomi Koridor Utara, Wilayah Ekonomi Pantai Timur dan Koridor Pembangunan Sabah.
• Score terletak di wilayah tengah Sarawak merentasi kawasan sepanjang 320 kilometer dan meliputi kawasan seluas 70,000 kilometer persegi dengan kepadatan penduduk 607,800 orang.
•Perkara utama yang akan dibangunkan ialah energy resources (28.000 MW), yang terdiri daripada tenaga air (20.000 MW), arang batu (5.000 MW), dan lain-lain (3,000 MW).
• Ini akan membolehkan Sarawak medapatkan harga yang kompetitif bagi sumber tenaga, dan menggalakkan pelaburan di loji elektrik dan-intensif industri tenaga yang akan bertindak sebagai pencetus untuk pembangunan industri di koridor berkenaan.

Kepentingan SCORE

• Impak pembangunan yang dicetuskan oleh Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak (SCORE), seperti peluang pekerjaan, perniagaan dan permintaan perkhidmatan yang meningkat dengan pertambahan populasi boleh menjadikan Sarawak sebagai negeri maju dan antara yang terkaya di Malaysia.
• Kerancakan pembangunan SCORE seperti pemilihan Samalaju sebagai pusat industri berat akan menyokong pertumbuhan aktiviti hijau di Miri yang berada di landasan tepat sebagai penyedia produk tenaga hijau, pelancongan berteraskan alam sekitar dan rekreasi, selain menjadi pusat perubatan dan pendidikan popular di Asia.
• Ini akan dirancakkan lagi dengan projek pembangunan di daerah-daerah kecil yang lain di seluruh Sarawak, yang juga bakal menjadikan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) sebagai hub penerbangan serantau ekoran kerjasama yang dijanjikan oleh syarikat penerbangan tambang murah Air Asia.
• Dijangkakan pendapatan perkapita rakyat Sarawak mampu meningkat sebanyak tiga kali ganda menjelang tahun 2020 dan lima kali ganda pada tahun 2030.
• Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Sarawak dijangka meningkat lima kali ganda iaitu RM118 bilion dalam tempoh 20 tahun akan datang dengan dirangsang oleh pelaksanaan projek-projek empangan hidroelektrik serta penerokaan sumber tenaga secara mesra alam.
• Kerajaan negeri juga turut memberi penekanan terhadap keperluan melahirkan modal insan yang berdaya saing serta memiliki kemahiran tinggi dalam industri berteknologi tinggi di Sarawak bagi menampung keperluan tenaga kerja di SCORE.
• Kerajaan telah giat meningkatkan kadar penembusan teknologi maklumat (IT) di sekolah-sekolah di kawasan luar bandar di samping memperkasakan keupayaan institusi pengajian tinggi (IPT) di negeri ini dalam membekalkan sumber tenaga kerja mahir dan separa mahir.
• Sarawak telah mempunyai enam IPT berstatus universiti malah mempunyai 70 pusat latihan dan kemahiran dalam usaha untuk menampung 1.5 juta peluang pekerjaan yang ditawarkan dalam pelbagai industri di wilayah SCORE.
• Kekuatan SCORE adalah sumber tenaga yang memang sudah siap tersedia di sekeliling parameternya. Sumber inilah yang dirasakan sangat strategik – sekali gus menjadi pelengkap kepada banyak industri yang dibangunkan di sekelilingnya nanti.
• Melalui SCORE, Sarawak sudah pun menerima banyak pertanyaan dan pelaburan daripada pelbagai syarikat antarabangsa seperti Tokuyama, Asia Zincox Resources, Rio Tinto, Acacia Cellulose International dan banyak lagi. Ini semua menzahirkan peluang jangka panjang untuk warga Sarawak.

Kesimpulan

• SCORE merupakan teras dan landasan utama merangsang pertumbuhan ekonomi Sarawak ke tahap optimum selari dengan hasrat kerajaan Pusat untuk menjadikan Malaysia sebagai negara ekonomi berpendapatan tinggi.
• Disamping itu, amalan pembangunan yang dilaksanakan oleh kerajaan adalah berpandukan prinsip sustainable development (pembangunan lestari) seperti yang dilakukan terhadap Miri yang dicadangkan kekal sebagai kawasan hijau dengan mengelak sebarang projek besar dibuat di utara Sarawak.
• Miri dipilih kerana ia berada di landasan betul untuk muncul sebagai salah satu tempat yang bebas pencemaran dalam perancangan polisi pembangunan, ditambah pengiktirafan Taman Negara Mulu sebagai salah satu Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Bangsa- bangsa Bersatu (PBB).