Kejar kerja SCORE, bukan kerajaan.

Posted on November 21, 2011

0


KORIDOR Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) memerlukan tenaga kerja mahir yang ramai dan keperluan ini mungkin tidak dapat dipenuhi jika mentaliti pelajar pada masa ini masih mengharapkan kerja sebagai kakitangan kerajaan.

Apa yang menyebabkan belia memilih kerja di sektor awam adalah kerana jaminan karier yang lebih baik berbanding swasta. Bukan semata-mata kerana gaji. Juga banyak kemudahan yang diberikan majikan kepada kakitangan kerajaan yang sukar untuk ditandingi oleh majikan swasta.Tetapi jika semua mentaliti hanya ingin menunggu kerja kerajaan, sektor ekonomi tidak dapat berkembang ke tahap lebih tinggi kerana terpaksa memberi tumpuan terhadap urusan mencari pekerja. Malahan, kekosongan di sektor awam juga tidak mampu untuk menampung jumlah pencari pekerjaan yang terdiri daripada lulusan diploma dan sarjana muda, dan ini belum lagi masuk lepasan SPM dan STPM.

Gaji yang lebih bagus disediakan syarikat-syarikat swasta yang terbabit dalam SCORE diyakini Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan. Bahkan, pekerja-pekerja terbabit mempunyai prospek karier yang cerah tidak kurang hebatnya berbanding kerajaan.

Justeru, bagi mengatasi dilema yang mungkin bakal dihadapi Sarawak, Awang Tengah meminta Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan membantu memberi penjelasan kepada para belia. Persepsi yang kurang tepat mengenai situasi kerja dalam SCORE wajar diperbetulkan.

Menurutnya, kewujudan institusi teknikal di Sarawak pada masa sekarang membolehkan golongan belia memilih kursus yang diminati dan seterusnya menggunakan kemahiran tersebut untuk mendapatkan kerja di SCORE.

Persediaan SCORE turut merangkumi aspek penyediaan tenaga kerja mahir di kalangan generasi muda tempatan dan untuk itu kerajaan menubuhkan U-SCORE. Ia merupakan konsortium institusi pengajian tinggi di Sarawak dan diketuai Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

U-SCORE ditugaskan untuk mengenalpasti dan merancang kursus-kursus dan latihan teknikal yang diperlukan industri-industri wujud dalam SCORE.SCORE dilancarkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (kini Tun) pada 11 Februari 2008 di Bintulu.

Ia dikatakan bakal mempercepatkan pembangunan Wilayah Tengah Sarawak. Projek yang meliputi kawasan antara Similajau di Bintulu dan Tanjung Manis, Mukah seluas 70,708 kilometer persegi tertumpu kepada industri berteraskan tenaga.

Projek mega berkenaan dijangka melonjakkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Sarawak sebanyak lima kali ganda atau tujuh peratus pada tahun 2030 berbanding 4.9 peratus pada 2006.

Pada 2006 KDNK sebenar adalah sebanyak RM23 bilion dan dijangka meningkat kepada RM118 bilion pada 2030 dengan pelaksanaan SCORE.

Selain itu, sebanyak 1.6 juta pekerjaan akan wujud berbanding 0.9 juta pekerjaan pada 2006 dan populasi meningkat kepada 4.6 juta orang daripada 2.4 juta orang.

Antara projek tumpuan dalam SCORE ialah pembinaan loji pelebur aluminium utama dunia. Cahya Mata Sarawak (CMS) dan Rio Tinto membentuk Sarawak Aluminium Company (SALCO) yang bakal membuka lembaran baru dalam industri di wilayah tengah.

SCORE mempunyai lima kawasan pertumbuhan utama iaitu Tanjung Manis, Mukah, Samalaju, Baram dan Tunoh.

Kawasan-kawasan tersebut dipilih dengan matlamat memberi tumpuan terhadap kemasukan pelaburan di Koridor berkenaan. Kawasan pertumbuhan tersebut juga merupakan elemen utama dalam rangka strategik pembangunan.

Mukah akan dibangunkan menjadi Bandar Raya Bestari, malah sebagai nadi utama Koridor, manakala Tanjung Manis sebagai Bandar Raya Pelabuhan Industri dan Hab Halal dan Samalaju sebagai Pusat Industri Berat, yang mana Baram dan Tunoh memberi tumpuan terhadap industri pelancongan dan berasaskan sumber.

Ketua Menteri Sarawak Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dalam merangka SCORE mahu wilayah tengah Sarawak tidak lagi ketinggalan dalam aspek pembangunan.

Matlamat beliau ialah mempercepatkan pembangunan di Bintulu, Mukah dan Sibu. Sudah pasti matlamat itu turut merangkumi penyediaan pekerjaan kepada belia Sarawak.