Pinggir bandar tidak kenal DAP, apa lagi luar bandar.

Posted on November 21, 2011

0


CUBAAN untuk menakluk kawasan luar bandar wajar dilupakan DAP apabila usaha awal mereka menampakkan ciri-ciri kegagalan setelah tidak ada seorang pun yang menyertai seminar anjuran Majlis Rundingan Dayak (MRD) di Siburan.

DAP cuba menggunakan MRD sebagai kuda tunggangan mereka untuk mencapai matlamat tersebut. Bukan sekadar malu kerana tidak ada orang hadir, malahan taktik itu dicium pemimpin PKR sebagai cuba bertindak gelojoh dalam usaha meletakkan calon di kawasan pinggir bandar dan luar bandar pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 kelak.

DAP mungkin cuba menunjukkan keupayaan mereka dari aspek politik menerusi kemenangan di kerusi-kerusi Bumiputera di luar bandar dan pinggir bandar. Apabila ia berjaya, PKR akan mudah dikuasai oleh DAP dan membuat apa jua polisi jika mereka berupaya membentuk kerajaan.

Seorang pemimpin BN Sarawak, Abdul Karim Rahman Hamzah dipetik menerusi The Borneo Post Online berkata, DAP mengamalkan politik kauvanis. Justeru, Bumiputera yang sedar tentang ideologi politik perkauman itu enggan menghadiri seminar berkenaan.

Ketiadaan sambutan terhadap seminar itu jelas menunjukkan penolakan terhadap DAP. Ia menunjukkan kematangan pemikiran terhadap politik yang ditunjukkan orang di kawasan tersebut. Kawasan Siburan dikuasai oleh BN menerusi Parlimen Mambong dan DUN Bengoh.

Ia merupakan kawasan majoriti pengundi Bidayuh. DAP juga tidak keterlaluan jika dikatakan ‘perasan boleh menang’ di kawasan Bidayuh kerana kelihatan secara kasar kaum tersebut mahukan perubahan. Tetapi penilaian mereka silap memandangkan Bidayuh merupakan penyokong kuat BN. Sebagai balasan, kawasan Bidayuh dan wakil-wakil rakyatnya diberikan jawatan-jawatan dalam kabinet negeri dan persekutuan.

*** Ini merupakan berita yang diperolehi dari The Borneo Post Online berhubung isu terbabit.

 11 Oktober 2011.

 DAP dinasihati lupakan hasrat bawa jenama politik mereka ke luar bandar.

KUCHING: Pemimpin Barisan Nasional (BN) Negeri semalam menasihatkan Parti Tindakan Demokratik Negeri (DAP) agar melupakan hasrat untuk membawa jenama politik mereka ke kawasan luar bandar.

Isyaratnya amat jelas apabila hanya sebilangan orang menghadiri seminar tajaan DAP di Restoran Wei Thien Siburan di sini tengah hari Ahad lepas. Seminar tersebut menyaksikan Pengerusi Majlis Konsultatif Dayak (DDC) Dr John Brian Anthony dan Pengerusi DAP Negeri Wong Ho Leng sebagai penceramah utama dan Setiausaha DAP Negeri Chong Chieng Jen sebagai penceramah tambahan.

Turut hadir memberikan sokongan moral ialah ahli DCC Edward Luak dan Ben Diomedes. Disebabkan kehadiran hampir kosong, pihak DAP menukar seminar tersebut kepada sidang media yang dihadiri oleh enam pemberita kebanyakannya daripada akhbar Cina.

Turut difahamkan, John Brian tiba dari Kuala Lumpur berharap dapat menyampaikan ceramahnya di hadapan penonton yang hadir memenuhi ruang restoran tersebut. Bahkan, Ho Leng yang juga Ahli Parlimen Sibu dan ADUN Bukit Asek terdesak untuk menjelaskan bahawa masyarakat di Siburan mempunyai komitmen sendiri sehingga tidak dapat hadir.

ADUN Bengoh merangkap Menteri Muda Kesihatan Dr Jerip Susil ketika diminta mengulas mengenai perkara ini berkata: “Mereka (DAP) cuba menembusi Bengoh tetapi masyarakat tidak tunduk kepada jenama politik mereka.”

Ahli jawatankuasa kerja pusat Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) ini turut disokong oleh seorang lagi wakil yang dipilih dari kawasan luar bandar Ahli Parlimen Lubok Antu William Nyalau Badak.

Naib Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) ini berkata: “Ini bermaksud majoriti masyarakat Dayak tidak ada keyakinan dengan DCC yang ditubuhkan oleh DAP.”

“Mereka tidak seperti kerajaan BN yang berterusan membantu rakyat. Belanjawan 2012 yang lepas adalah satu indikator yang baik bahawa BN boleh menawarkan banyak hadiah kepada rakyat,” tambahnya.

Sementara itu, Setiausaha BN Negeri Datuk Dr Stephen Rundi berkata DAP tidak sepatutnya memandang rendah kematangan politik Dayak. Beliau berpendapat DAP hanya berminat dalam menggunakan Dayak untuk mencapai impian mereka untuk memerintah Sarawak.

“Saya amat pasti tiada keikhlasan dalam mereka untuk membawa kemajuan kepada masyarakat Dayak.

“Pembatalan seminar tersebut disebabkan maklum balas yang lemah daripada Dayak adalah petunjuk ‘No Go’ untuk DAP ke kawasan Dayak,” kata ADUN Kemena dan Setiausaha Agung Parti Pesaka Bumiputera (PBB) ini.

Dalam pada itu, Pengerusi PBB Batu Kawah Datuk Ahmad Ibrahim berkata rakyat Sarawak secara amnya telah matang, sedar dan mengetahui bahawa pembangkang hanya tahu mencari kesalahan BN atau hanya bagus dalam memberi maklum balas tetapi tidak menyediakan penyelesaian realistik.

“Setiap kali BN tampil dengan inisiatif yang baik kepada rakyat, mereka akan kata ia kerana inisiatif, cadangan dan tekanan daripada mereka (pembangkang) untuk dilakukan oleh BN.

“Mereka kadang-kadang dengan mudah mengatakan ia tidak baik, idea yang teruk, sebagai contoh Belanjawan 2012 baru-baru ini. “Kita sebagai rakyat tahu belanjawan tersebut adalah baik kepada kita semua,” katanya.

Bercakap mengenai pembatalan seminar tersebut Ahmad berkata berikutan kehadiran yang kurang adalah disebabkan Bidayuh tidak berminat dengan propaganda DAP.

Kawasan tersebut (Padawan/Tarat) mempunyai Timbalan Menteri Persekutuan iaitu Datuk Dr James Dawos dan Menteri Muda Negeri Dr Jerip Susil di Bengoh.

Di Serian pula, Bidayuh diwakili oleh seorang lagi Menteri Persekutuan iaitu Datuk Richard Riot. “Sudah pasti, cukup wakil untuk memastikan kemajuan dan penyampaian program serta projek kerajaan.

“Bidayuh bertuah. Jadi mereka menolak dan meminta pembangkang menjauhkan diri dan tinggalkan mereka,” tegas Ahmad.