Sarawak, negeri penjana tenaga.

Posted on November 21, 2011

0


LEVI yang bakal dikutip kerajaan negeri Sarawak dari syarikat pengendali Empangan Hidroelektrik Bakun dikatakan RM7 juta pada 2011, dan ia dijangka terus meningkat kepada RM21 juta pada tahun depan.

Angka tersebut juga bakal diperolehi kerajaan negeri dan angka itu meningkat apabila lebih banyak empangan hidroelektrik dibina kelak.

Pada masa ini, Empangan Bakun dalam peringkat membendung air sebelum ia beroperasi sepenuhnya pada 2013. Apabila ia beroperasi sepenuhnya, Bakun terdiri daripada lapan turbin yang menjana 17,500 GWh tenaga setahun. Awal Ogos 2011, turbin 300 megawat Empangan Bakun telah beroperasi.

Empangan terbesar di bawah Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE), Bakun dijangka mencapai keupayaan maksimum 2,400 megawat pada 2013. Terletak di hulu Sungai Balui, kira-kira 37 kilometer di hulu Belaga, Bakun merupakan empangan dibina menggunakan konkrit batu kedua terbesar di dunia.

Tenaga baharu

Perancangan ekonomi yang bijak oleh kerajaan membolehkannya mempelbagaikan sumber pendapatan pada masa depan berbanding sekarang penyumbang utama pertumbuhan ekonomi Sarawak iaitu minyak dan gas, kayu dan produk hiliran, dan minyak sawit.

Tetapi ia bukan tujuan tunggal kerajaan negeri membina empangan hidroelektrik.

Antara lain ialah membekalkan tenaga elektrik berpatutan dan mencukupi bagi kegunaan industri-industri. Apatah lagi apabila industri-industri berat seperti kilang melebur aluminium bakal muncul menerusi pelaksanaan SCORE.

Sarawak, negeri terbesar di Malaysia, memiliki 11 lembangan sungai yang memadai bagi tujuan pembinaan empangan hidroelektrik selain Bakun. Laporan pembangunan tenaga 1981 mengenalpasti 155 tapak berpotensi dijadikan empangan. Hasil laporan itu sekali gus meletakkan Sarawak dalam kedudukan 70 peratus berpotensi dari keupayaan hidroelektrik berbanding negeri-negeri lain di Malaysia.

Berpandukan angka tersebut, Sarawak berupaya menjana 80,000 megawat tenaga elektrik jika setiap satu empangan dilengkapi dengan turbin 50 megawat. Bagaimanapun angka itu dikecilkan kepada 51 tapak yang berupaya menjana sekurang-kurangnya 20,000 megawat tenaga menjelang 2030.

Empangan kedua selepas Bakun ialah Murum yang terletak lebih hulu berbanding Bakun.

Ia dilaporkan bakal menjana 944 megawat tenaga menerusi empat turbin dan beroperasi pada 2013.

Beberapa empangan hidroelektrik yang lain bakal menyusul dengan penambahan 7,000 megawat terhadap grid negeri. Meskipun masih dalam peringkat perancangan, pihak berkuasa telah menetapkan tempoh tertentu untuk operasi empangan-empangan terbabit.

Empangan 600 megawat di Balingian akan menjana tenaga pada 2015; 110 megawat di Belepeh dan 340 megawat di Baram464 akan beroperasi pada 2016; dan 290 megawat empangan Linau dan 1,212 megawat Baram306 beroperasi pada 2017.

Peluang menerusi SCORE juga mendorong minat pelabur asing termasuk projek pembinaan hidroelektrik. Pada Januari 2010 State Grid Corporation of China (SGCC) menandatangani memorandum persefahaman dengan 1Malaysia Development, sebuah agensi pelaburan kerajaan persekutuan.

SGCC merancang menanam modal RM11 bilion dalam industri melebur aluminium, tiga projek hidroelektrik dan satu sistem transmisi di Sarawak.

Transformasi ekonomi di Sarawak, dari berasaskan pertanian konvensional kepada industri intensif tenaga, memerlukan kerajaan merancang strategi pintar agar bekalan elektrik bertindak sebagai pemangkin bidang tersebut.

Wajar ditekankan, Sarawak perlu mengeksploitasi sumber-sumber semulajadi dengan bijak, sekali gus memberi kesan positif terhadap penduduknya. Kekayaan sumber semula jadi, jika diurus dengan bijak, bakal mendorong ke arah kemajuan lebih tinggi.

SUMBER: The Report, Sarawak 2011.