SCORE, penarik tenaga mahir kembali ke tanah air.

Posted on November 21, 2011

0


KORIDOR Tenaga Diperbaharui Sarawak atau lebih dikenali sebagai SCORE dijangka mempunyai keupayaan dalam mengembalikan keyakinan pekerja mahir dari kalangan warganegara Malaysia untuk kembali berkhidmat di negara ini.

SCORE dikatakan bakal menawarkan gaji lebih tinggi dan kehidupan lebih selesa, selain perubahan gaya hidup yang lebih digemari dan sesuai dengan citarasa golongan pekerja kelas atasan. Ini berikutan peningkatan taraf kemudahan di Sarawak, terutama di wilayah tengah, selepas industri-industri SCORE beroperasi sepenuhnya.

Tenaga kerja mahir dan separa mahir yang mencukupi, acapkali dilaung-laungkan oleh kerajaan, terutama Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud. Mesej beliau adalah jelas – beliau mahu golongan muda merebut peluang pekerjaan yang menjamin masa depan menerusi pelaksanaan SCORE.

Ada pihak mengatakan pekerja mahir dari Sarawak kini kebanyakannya bekerja di luar negara yang menyediakan gaji tinggi dalam bidang gas dan minyak. Ramai golongan ini bekerja di negara-negara Timur Tengah seperti Qatar.

Pekerja mahir di luar negara juga diperlukan dalam mencapai matlamat negara berstatus maju dan berpendapatan tinggi. Kerajaan negeri Sarawak berupaya meyakinkan para pelabur asing untuk menanam modal di SCORE dan ia tidak memadai jika tidak wujud sokongan padu generasi muda dalam menyediakan tenaga kerja berkemahiran sesuai dengan keperluan industri bakal wujud.

Menurut kajian, 1.6 juta kerja yang wujud di SCORE menjelang tahun 2030 merupakan pekerja mahir.

SCORE wajar dilihat dari perspektif yang lebih serius memandangkan masa depan Sarawak bergantung dengan kejayaannya.

Sebagai satu daripada wilayah pembangunan yang dilaksanakan di seluruh negara, SCORE merupakan satu koridor pembangunan di wilayah tengah Sarawak, yang dilancarkan pada 11 Feb 2008. Koridor ini bertujuan memacu pertumbuhan ekonomi Sarawak serta mempertingkatkan kualiti dan taraf kehidupan rakyat Sarawak.

SCORE merupakan usaha kerajaan dan ilham Tan Sri Abdul Taib untuk mentransformasikan Sarawak menjadi sebuah negeri maju menjelang 2030 daripada segi per kapita KDNK, peluang pekerjaan dan pertumbuhan KDNK.

SCORE yang akan direalisasikan sepenuhnya pada 2030, dijangka dapat mempertingkatkan KDNK negeri itu lima kali ganda dan diunjurkan berkembang daripada RM23 bilion pada 2006 kepada RM118 bilion pada 2030.

Sebagai tambahan, pendapatan per kapita KDNK akan meningkat daripada RM23,193 kepada RM84,077 manakala bilangan peluang pekerjaan bertambah daripada 900,000 kepada 2.5 juta bagi tempoh sama.

Selain pertumbuhan ekonomi, Sarawak akan menyaksikan pembangunan pesat dalam infrastruktur seperti jalan raya dan prasarana awam, tambahan pula pelaksanaan SCORE akan menarik pelaburan ke Bumi Kenyalang selepas menerima jaminan pelaburan RM13 bilion.

Antara industri yang bakal wujud ialah peleburan aluminium, tenaga, makanan halal, industri hiliran sawit dan balak, dan pelbagai lagi. Semua ini bakal mengubah landskap Bumi Kenyalang yang kini masih berhadapan dengan kekurangan dari aspek kemudahan perhubungan seperti jalan raya, dan kemudahan asas seperti bekalan air bersih dan elektrik.

Semua usaha yang dilaksanakan kerajaan bersama dengan kerajaan negeri bukan hanya membawa kemakmuran kepada Sarawak, tetapi juga pada masa sama generasi muda akan mempunyai peluang pendidikan berkualiti tinggi.