SCORE tidak ketepikan pemeliharaan alam sekitar.

Posted on November 21, 2011

0


Banyak yang telah diperdengarkan dan diperkatakan kepada rakyat Sarawak tentang Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE). Baik dari tenaga kerja, pertumbuhan ekonomi, kesan sosial dan impak pembangunan Sarawak secara keseluruhan.

Jarang kita dengar tentang penekanan terhadap alam sekitar yang bakal menerima kesan langsung berikutan pelaksanaan pelbagai projek fizikal di wilayah tengah Bumi Kenyalang. Dengar cerita banyak syarikat konsultan yang diberi tugas untuk menilai tahap kesan terhadap alam sekitar di Bahagian Bintulu sejak kebelakangan ini.

Khazanah alam wajar dipelihara

Ini satu berita baik yang wajar diberi pujian terhadap kerajaan yang terbukti amat prihatin terhadap alam sekitar meskipun melaksanakan kerja-kerja pembangunan. Syabas.

Sudah pasti Sarawak mempunyai acuan tersendiri dalam merencanakan pembangunan agar generasi akan datang tidak sekadar mendengar cerita dari orang tua mereka tentang keindahan alam ciptaan Tuhan yang musnah akibat pembangunan. Situasi demikian wajar dielakkan.

Warisan alam yang perlu dijaga

Ketua Menteri Sarawak, Pehin Sri Abdul Taib Mahmud seperti yang diketahui umum, amat menitikberatkan soal alam sekitar dalam pembangunan. Beliau tidak mahu wujud ketidakseimbangan antara pembangunan dan alam sekitar. Alam sekitar seperti sungai, gua, gunung dan hutan rimba amat bernilai dan wajar dipelihara.

Dan untuk itu, kerajaan menerusi Jabatan Alam Sekitar (JAS) menubuhkan Unit SCORE bagi memantau pematuhan Kesan Terhadap Alam Sekitar (EIA).

Laporan berikuta dipetik menerusi Borneo Post Online.

30 Oktober 2010

Unit khas ditubuh pantau pematuhan EIA di SCORE

SANTUBONG: Sebuah unit khas, Unit SCORE akan ditubuhkan di Samalaju, Bintulu pada pertengahan tahun depan bagi memastikan pelaksanaan pelbagai projek di wilayah te-ngah tidak melanggar Akta Kualiti Alam Sekeliling.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar Ismail Ithnin memberitahu, Unit SCORE itu akan melengkapkan lagi sistem pemantauan di kawasan seluas 6,000 hektar yang diwartakan untuk industri berat dan perumahan itu agar bersesuaian dengan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA).

“Kita akan tarik kakitangan kita (JAS) dan tempatkan mereka di pejabat Bintulu sekitar pertengahan tahun depan semata-mata untuk memantau kawasan persekitaran projek yang dibangunkan di situ agar ia mematuhi piawaian EIA,” katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian Sambutan Minggu Alam Sekitar, di Kampung Budaya Sarawak, di sini semalam.

Ismail berkata, tindakan sewajarnya akan dikenakan ke atas pesalah mengikut kesalahan yang dilakukan, dengan kompaun minimum sebanyak RM2,000.

Menurutnya, pemantauan itu perlu dijalankan dari awal kerana negeri dijangka akan berdepan dengan isu ke-sihatan alam sekitar yang besar khususnya berhubung buangan berjadual dan pelepasan gas.

JAS setakat ini, katanya, menerima empat cadangan projek untuk kelulusan di mana salah satu daripadanya ialah dari Tokuyama Malaysia Sdn Bhd, Bintulu yang sudah diluluskan dan sedang dalam pembinaan.

“Selain Tokuyama, tiga syarikat lain itu adalah Asian Mineral Ltd (AML), OM Industries dan Press Metal Berhad,” katanya.