SNAP tidak bertanding PRU 13?

Posted on November 21, 2011

0


Barisan pemimpin SNAP

BISIK-bisik politik kedai kopi mengatakan SNAP tidak mempunyai semangat tinggi menjelang Pilihan Raya Umum ke-13, apatah lagi hendak menentukan berapa kerusi yang bakal ditandingi.

Tidak apa, SNAP atau dalam bahasa Malaysia, Parti Kebangsaan Sarawak, ternyata tidak hebat mana pun untuk dibincangkan di media, terutama arus perdana. SNAP umpama harimau hilang taring, jauh sekali mengaum untuk menakutkan pesaing.

Dahulu dalam Pilihan Raya Negeri kesembilan pada 2006, SNAP menang kerusi Dewan Undangan Negeri Engkilili pun bukan kerana faktor parti sangat mereka menang. Orang kata berikutan pengaruh Johnical Rayong Ngipa (kini ahli SUPP).

Rayong pada ketika itu bertanding menggunakan tiket SNAP, dan untuk beberapa tempoh selepas itu mengakui perjuangan hanya dasar perjuangan BN berupaya membangunkan kawasan dan penduduk luar bandar.

Dan bukti kukuh bahawa BN dan Rayong berpengaruh di kawasan tersebut ialah beliau kekal sebagai wakil rakyat menerusi Pilihan Raya Negeri pada 16 April 2011.

Berbalik kepada gosip kedai kopi, SNAP dikatakan oleh seorang penglipurlara tidak lagi berkeyakinan dalam menempuhi cabaran pilihan raya akan datang. Mana tidak, pada pilihan raya baru lepas mereka bertanding di 26 kerusi Dewan Undangan Negeri tetapi semua hampa.

Bersandarkan rekod lepas (menang di beberapa kerusi ketika masih dalam BN) SNAP tidak wajar meletakkan sebarang harapan agar rakyat menyokong perjuangan mereka. Apa perjuangan mereka? Tidak ada sesiapa pun dalam pucuk pimpinan SNAP kini yang berbicara tentang hala tuju dan perjuangan parti. Hendak dikatakan mereka ala-BN, jauh sekali. Miripnya parti-parti pembangkang, tetapi juga tidak terlalu hampir.

Wujud persoalan di mana kedudukan SNAP dalam persada politik Sarawak? Ia umpama kapal terumbang-ambing yang menunggu untuk dialun ombak menuju pesisir dan terus tersadai di pantai sampai bila-bila entah.

 

Baru-baru ini SNAP mengumumkan arah mereka dalam dunia politik yang tidak memihak kepada Pakatan Rakyat atau BN. Presidennya, Edwin Dundang Bugak memberitahu SNAP lebih senang dengan jalan sendiri, sekurang-kurangnya buat masa ini.

“Tahun lepas kita dipelawa menyertai Pakatan tetapi tiba di saat akhir nak dekat pilihan raya negeri, sebelum penamaan calon, mereka (PR) menggugurkan kita dari pakatan.

“Sejak itu dan ketika pilihan raya negeri lepas, SNAP tidak memihak pada mana-mana pihak. Kita bukannya penyokong PR atau BN,” jelasnya, dipetik menerusi The Borneo Post.

Berdasarkan statistik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) SNAP cuma mendapat 15,663 undi (2.3 peratus) daripada 672,667 (68 peratus) pengundi.

SNAP dibubarkan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) pada 2002 tetapi pembatalan itu tidak sah apabila Mahkamah Rayuan mengenepikan keputusan tersebut pada tahun lepas.

Posted in: Politik, Sarawak