Syor pembaharuan SUPP – diterima perwakilan atau sebaliknya.

Posted on November 21, 2011

0


PASUKAN transformasi SUPP yang diketuai Setiausaha Penganjur Datuk Seri Peter Chin Fah Kui mempertaruhkan tujuh agenda pembaharuan parti dengan harapan ia akan membawa mereka kemenangan dalam merebut jawatan Presiden pada Persidangan Perwakilan Tiga Tahun Sekali (TDC) Disember 2011.

Umpama pilihan raya yang menyaksikan parti-parti bertanding menawarkan manisfesto masing-masing, agenda-agenda pembaharuan itu dihimpunkan dalam sebuah buku nipis dan diberi nama Pelan Transformasi SUPP.

Buku kecil itu memberi penekanan terhadap :-

1) memberi keutamaan kepada parti
2) meminda beberapa perkara dalam perlembagaan parti
3) tidak takut dan gentar dalam menyuarakan pendapat
4) menyediakan barisan kepimpinan baru
5) membasmi amalan tidak sihat
6) memperkukuhkan kedudukan kewang parti, dan
7) rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan.

Pasukan transformasi SUPP, selain Peter Chin, menghimpunkan Bendahari Datuk David Teng, Ketua Pemuda Shih Hua Tong, Ketua SUPP Kuching Datuk Lily Yong Lee Lee, Setiausaha Agung Datuk Sim Kheng Hui dan Ketua SUPP Kota Sentosa Datuk Alfred Yap Chin Loi.

Nampaknya pasukan tersebut mendahului (dari segi usaha jelas) pasukan Timbalan Setiausaha Agung Dato Sri Wong Soon Koh dan Datuk Lee Kim Shin. Wong Soon Koh berhasrat untuk bertanding jawatan Presiden – jawatan yang hendak dikosongkan Tan Sri Dr George Chan Hong Nam pada TDC ini.

Peter Chin dipetik menerusi Bernama berkata buku tersebut wajar dijadikan garis panduan para perwakilan TDC dalam memandu mereka memilih Presiden baharu.

“SUPP kini terpinggir di mata pengundi-pengundi di bandar terutama di kalangan orang Cina. Ini tidak boleh dibiarkan berterusan kerana SUPP mempunyai sejarah gah,” katanya yang menimbulkan sedikit kejutan apabila mengesahkan akan bertanding jawatan Presiden.

Beliau sebelum ini langsung tidak membayangkan akan berbuat demikian. Yang dalam jangkaan ialah perebutan antara Wong Soon Koh dan David Teng.

Penganalisis politik memberitahu mungkin Peter Chin dapat mengesan kekalahan bakal memihak dengan Wong Soon Koh, lantas beliau memilih untuk tidak membiarkan Wong Soon Koh yang juga Ketua SUPP Sibu menang mudah.

Bagi memberi keyakinan yang lebih terhadap apa ingin dilakukan oleh pasukannya, Peter Chin menabur janji-janji agar para perwakilan mempunyai alasan kukuh memilih beliau sebagai Presiden.

Peter Chin merupakan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air dan Ahli Parlimen Miri. Wong Soon Koh merupakan Menteri Kanan dalam Kabinet Negeri Sarawak yang baru dibentuk Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud pada September 2011. Beliau memegang portfolio kewangan dan kesihatan awam dan kerajaan tempatan.

Ada pihak mengatakan Peter Chin merupakan pilihan terbaik bagi menyaingi Wong Soon Koh memandangkan beliau merupakan menteri di peringkat persekutuan berbanding ‘calon-calon’ lain yang tewas (termasuk David Teng) pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-10 pada 16 April 2011.

Wong Soon Koh yang juga ADUN Bawang Assan, sebuah kerusi pinggir bandar dan komposisi pengundi Bumiputera dan Cina hampir sama bilangannya di Sibu, cuba meraih sebanyak mungkin undi daripada perwakilan Bumiputera.

Justeru,  beliau dan Lee Kim Shin bekerjasama dengan wakil rakyat Bumiputera seperti ADUN Bengoh Dr Jerip Susil, ADUN Opar Ranum Mina, ADUN Simanggang Datuk Francis Harden dan ADUN Engkilili Dr Johnical Rayong Ngipa.

Dalam pemilihan Presiden ini, sudah pasti pihak mana yang mempunyai percaturan terbaik bakal menang. Sukar untuk diramal siapa akan menang memandangkan mesyuarat peringkat cawangan belum selesai.