Wujud integrasi di sebalik paip gas?

Posted on November 21, 2011

0


AGAK sukar untuk menyelami persamaan kesan sampingan pelaksanaan projek Saluran Paip Gas Sabah-Sarawak (SSGP) dan Projek Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS).

Tetapi wajar dipercayai bahawa ahli akademik merangkap penyelidik SSGP tahu bagaimana proses integrasi bakal muncul dari pelaksanaan projek sejauh 512km itu dari Kimanis di Sabah ke kompleks gas cecair asli di Bintulu.

Puas diteliti apakah wujud persamaan saluran gas dan jalan raya. SSGP menyalurkan gas, manakala PLUS digunakan sebagai pengangkutan manusia.

Baca dua artikel di bawah:-

Artikel 1

PROJEK saluran gas merentasi Kimanis di Sabah ke Bintulu di Sarawak bernilai RM4.6 bilion yang dijangka siap penghujung 2013 akan membuahkan kejayaan seperti Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) yang menghubungi negeri di Semenanjung, menurut seorang profesor dari Universiti Putra Malaysia (UPM).

Timbalan Dekan Fakulti Ekologi Manusia, Prof Dr Jayum Jawan, berkata saluran sepanjang 512 kilometer yang akan menyalurkan gas dari Terminal Minyak dan Gas Sabah di Kimanis ke pelbagai pelanggan di Sabah dan Kompleks Gas Asli Cecair (LNG) PETRONAS di Bintulu itu adalah contoh terbaik satu projek nasional yang akan merapatkan pelbagai peringkat rakyat dan komuniti perniagaan di Sabah dan Sarawak dengan Semenanjung.

Saya melihat projek saluran gas ini memang tepat semacam lebuh raya untuk menggiatkan lagi pembangunan dan menghubungi pelbagai wilayah di Sarawak dan Sabah. Pendek kata, ia akan merapatkan pelbagai komuniti yang dilalui oleh saluran gas yang panjang itu.

“Ia satu usaha yang saya rasa menepati konsep yang selalu kita hendak majukan iaitu integrasi nasional dan perpaduan antara wilayah. Projek ini bakal memenuhi matlamat ini,” katanya.

Jayum yang berasal dari Sarawak berkata, perbandingan projek gas itu dengan Lebuh Raya PLUS adalah satu ‘analogi yang bagus’ kerana ia bakal membuka peluang yang begitu luas dalam bidang sosioekonomi.

“Saya melihat projek saluran gas ini memang tepat semacam lebuh raya untuk menggiatkan lagi pembangunan dan menghubungi pelbagai wilayah di Sarawak dan Sabah. Pendek kata, ia akan merapatkan pelbagai komuniti yang dilalui oleh saluran gas yang panjang itu,” katanya.

Jayum juga berkata, adalah wajar aktiviti PETRONAS di Sarawak dilihat dari pendekatan lebih menyeluruh daripada semata-mata dari sudut isu royalti lima peratus setahun yang dibayar syarikat petroleum nasional itu kepada kerajaan negeri.
 
Beliau berkata, selain daripada mendapat royalti lima peratus, Sarawak juga memperoleh pelaburan secara langsung apabila berlaku penemuan lapangan minyak dan gas baru di samping sumbangan besar PETRONAS terhadap pembangunan sumber manusia untuk membangun sumber minyak dan gas berkenaan.

“Jadi, kadang-kadang bila ada sesetengah pihak menuntut royalti yang lebih tinggi, seolah-olah mereka tidak dapat melihat sumbangan PETRONAS di tempat lain seperti pembangunan ekonomi secara langsung yang dilakukannya kerana menjumpai sumber baru seperti itu.

“Kalau kita darabkan semua ini, kita ambil kira semua ini, ia lebih daripada lima peratus,” tambahnya.

Jayum juga berkata, oleh kerana petroleum dan gas adalah bidang yang amat kompetitif yang memerlukan kemahiran yang khusus, PETRONAS dan kerajaan Sarawak perlu menyediakan tenaga manusia bagi menghadapi cabaran bekerja dalam bidang itu.

“Kita faham bahawa PETRONAS sebagai sebuah syarikat mementingkan misalnya soal meritokrasi semata-mata. Ia tidak terikat dengan kekangan politik atau lain-lain,” katanya

Artikel 2

SALURAN Paip Gas Sabah-Sarawak (SSGP) yang menelan belanja RM4.6 bilion, akan menjana pelbagai hasil ekonomi sampingan kepada penduduk kedua-dua negeri itu termasuk kepada mereka yang di luar bandar, kata seorang ahli akademik Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) yang menjalankan kajian sosial mengenai projek itu.

Dekan Fakulti Sains Kognitif dan Pembangunan Sumber Manusia Dr Shahren Ahmad Zaidi Adruce berkata projek SSGP itu yang dibina oleh Petronas akan menghasilkan banyak aktiviti ekonomi baru di kawasan luar bandar.

Saluran paip sejauh 512km itu dari Kimanis di Sabah ke kompleks gas cecair asli di Bintulu akan siap penghujung 2013.

Shahren berkata pembinaan saluran paip itu bermakna penduduk di sepanjang laluannya akan menikmati banyak peluang pekerjaan.

Pada masa yang sama, ia akan mewujudkan kemudahan asas seperti jalan raya dan telekomunikasi di kawasan-kawasan luar bandar.

Hasil sampingan SSGP menyerupai manfaat yang wujud daripada pembinaan Lebuh Raya Utara Selatan di Semenanjung Malaysia khususnya pertumbuhan ekonomi dan pembangunan infrastruktur dan teknologi bagi meningkatkan taraf kehidupan rakyat.

Mereka yang tinggal dalam lingkungan tiga kilometer dari saluran paip itu akan menikmati manfaat yang lebih.

“Projek ini membawa banyak perubahan kepada kawasan pedalaman terutamanya daripada segi infrastruktur bagi memenuhi keperluan asas penduduk dan meningkatkan taraf hidup mereka,” kata Shahren, yang mengetuai satu kajian kesan terhadap masyarakat yang tinggal berdekatan saluran paip itu yang meliputi Bintulu melalui Miri, Limbang, Lawas ke Kimanis di Sabah.

Kajian yang dimulakan pada 2007 ditumpukan pada 48 kawasan penempatan selain melibatkan input daripada pertubuhan bukan kerajaan.

Shahren berkata bahawa satu ketika beberapa penduduk peribumi tidak me-nyokong SSGP tetapi kemudiannya menukar fikiran selepas mereka mendapati Petronas tidak mencerobohi kawasan-kawasan sensitif.

“Beberapa kawasan sangat suci kepada penduduk tempatan. Saya yakin Petronas dan kerajaan negeri mengambil kira perkara ini.

“Namun, secara keseluruhannya, penduduk di sepanjang saluran paip itu memberi sokongan positif kepada projek ini,” kata Shahren.

SSGP adalah sebahagian daripada Projek Bersepadu Minyak dan Gas Petronas bagi mendapatkan sumber minyak dan gas dari kawasan-kawasan di Sabah dan Sarawak.