SPDP 5: Kerusi tetap SPDP punya.

Posted on November 22, 2011

0


APABILA presiden bersuara dalam nada amaran, mereka berkenaan adakah gentar mendengarnya atau semakin galak untuk mencabar?

Dengan itu Presiden SPDP Tan Sri William Mawan Ikom membayangkan tidak ada masalah jika anggota SPDP 5 keluar parti.

Itu juga mungkin membawa makna William Mawan tidak akan menyingkirkan lima wakil rakyat itu tetapi lebih gemar menyaksikan mereka sendiri meletak jawatan.

SPDP 5 ialah gelaran umum diberi kepada Naib Presiden Kanan, Datuk Peter Nansian Ngusie, Naib Presiden Datuk Sylvester Entrie, Rosey Yunus dan Datuk Dr Tiki Lafe, dan Ketua Penerangan Paulus Palu Gumbang.

Mereka sebelum ini dirujuk kepada jawatankuasa disiplin parti berikutan kegagalan mereka hadir ke beberapa mesyuarat Majlis Tertinggi.

Justeru, kumpulan terbabit seolah-olah memberontak dan menyebabkan William Mawan berusaha gigih meraih sokongan ahli dan pemimpin di peringkat bahagian.

Malahan William Mawan kecewa dengan tindakan SPDP 5 yang menggunakan media sebagai saluran memberitahu masalah parti.

Sebelum ini Peter Nansian mencabar William Mawan agar memecat dia dan rakan-rakannya yang lain.

Gertakan itu sebaliknya tidak menyebabkan William Mawan gentar. Malahan dalam majlis makan malam penghargaan di Dewan Suarah Bau baru-baru ini, beliau mempunyai nada suara tegas dalam ketenangannya.

William Mawan, seperti yang didakwa sesetengah pihak yang rapat dengannya, amat bersabar dalam usaha menyelesaikan masalah dalaman parti.

Sikap profesional beliau dalam menangani isu tersebut jelas kelihatan apabila Rosey Yunus dilantik sebagai menteri muda dalam kabinet baru-baru ini.

Adakah ia tidak memadai bagi SPDP 5?

Posted in: Politik, Sarawak, SPDP