Prestasi pelancongan Sarawak.

Posted on November 23, 2011

0


Sarawak merekodkan 2,723,964 ketibaan pelawat antara Januari dan September tahun 2011. Ini ialah peningkatan 16.7 peratus berbanding tempoh sama tahun 2010.

Daripada jumlah itu, 1,678,129 (61.5%) merupakan pelawat antarabangsa, manakala baki 1,045,835 (38.5%) dari Semenanjung Malaysia dan Sabah.

Pelawat yang paling ramai ialah dari Brunei (1,094,866), Semenanjung Malaysia (572,727), Sabah (473,108), Indonesia (311,673), Filipina (55,745), Singapura (30,830), China (26,728), United Kingdom (22,231), India (15,111) dan Australia (14,165).

Sehingga Oktober 2011, Kementerian Pelancongan merekodlkan 217 produk pelancongan Sarawak.

Kebudayaan, kembara dan alam sekitar kekal sebagai tarikan utama bagi menarik kemasukan pelancong. Taman Negara, Pusat Hidupan Liar dan Rizab Semulajadi terus menunjukkan tren positif. Sehingga September 2011, Taman Negara mencatatkan kemasukan 354,814 pelawat – peningkatan 16.7% berbanding tempoh sama pada tahun 2010. Pengunjung asing ke Taman Negara ialah 90,116 atau 25.3%.

Pusat Hidupan Liar Semenggoh kekal mencatatkan kemasukan pelawat tertinggi dengan 89,849 orang, disusuli Taman Negara Bako (33,520 orang) dan Pusat Hidupan Liar Matang (28,671). Tiga kawasan tersebut menunjukkan peningkatan jumlah pengunjung.

Sebagai antara usaha Kementerian Pelancongan menggalakkan masyarakat luar bandar menyertai aktiviti-aktiviti berkaitan pelancongan, tujuh pusat inap desa (homestay) baru telah didaftarkan dan disahkan. Ini diterjemahkan dalam bentuk program inap desa sebanyak 26, membabitkan 30 kampung dengan 369 penyertaan. 

Setakat Oktober 2011, inap desa menjana RM637,640 dari 8,793 pelawat yang merangkumi 1,294 pelancong asing dan 7,499 orang tempatan.

Kementerian Pelancongan juga telah berjaya menganjurkan 43 aktiviti berkaitan pelancongan di seluruh negeri.

Acara yang mendapat sambutan memberangsangkan di kalangan pelancong ialah Pesta Kaul, Regatta Sarawak, Festival Layang-layang Borneo, Pesta Benak dan Cabaran Kapal Layar Borneo Antarabangsa.

Sementara itu, Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia (RWMF), aktiviti tahunan yang diadakan di Kampung Budaya Santubong, dekat Kuching. Tahun 2011 merupakan kali ke-14 ia diadakan, dan ia berlangsung mulai 8 Julai hingga 12 Julai, ia turut disifatkan sebagai amat berjaya.

Ia diiktiraf sebagai antara 25 festival terbaik diadakan di seluruh dunia oleh majalah Songlines.

Tahun 2011 RWMF mencatatkan kehadiran 21,254 penonton – peningkatan 9 peratus berbanding tahun 2010.
Secara keseluruhan festival tersebut menunjukkan kehadiran peserta dan penonton dari seluruh dunia. Kajian menunjukkan 73 peratus penonton datang dari luar Sarawak dan 27 peratus warga Sarawak.

Malahan sepanjang tempoh penganjuran RWMF, Semenanjung Damai (termasuk inap desa dan pusat peranginan) mencatatkan 98 peratus kadar penginapan, manakala hotel-hotel di Bandar Raya Kuchin menunjukkan kadar penginapan 85 peratus.

Keseluruhan dana yang dijana menerusi acara ini ialah RM47.8 juta.

 

(Sumber: Penggulungan hujah Kementerian Pelancongan Sarawak pada persidangan Dewan Undangan Negeri ke-17, 22 November 2011 oleh Yang Berhormat Menteri Pelancongan Sarawak Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg)