Ramai pohon sukat tanah NCR: Adenan.

Posted on November 23, 2011

0


PROGRAM menyukat sempadan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) di Sarawak semakin mendapat sambutan menggalakkan dan ia perkembangan yang memberangsangkan terhadap inisiatif kerajaan negeri dan persekutuan dalam mengelakkan pertindihan tuntutan antara tanah NCR dan tanah kerajaan negeri.

Menurut Tan Sri Adenan Satem, Menteri Tugas-tugas Khas Sarawak, setakat 31 Oktober 2011, sebanyak 205 kawasan merangkumi 403,136 hektar telah diluluskan untuk disukat. Selain itu, Jabatan Tanah dan Survei menerima 697 permohonan baru dari seluruh negeri.

Kerja-kerja menyukat telah selesai di 90 kawasan yang membabitkan 73,226 hektar. Dari jumlah itu, 47 kawasan atau 24,398 hektar telah diwartakan di bawah Sekyen 6, Kanun Tanah Sarawak.

Adenan ketika menggulung hujah pada persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak, 22 November 2011 di Kuching, memberitahu Jabatan Tanah dan Survei menyasarkan 300,000 hektar tanah NCR disukat pada tahun 2012.

Sebelum ini, kerajaan menyasar untuk menjalankan kerja-kerja menyukat sempadan di 250,000 hektar tanah NCR di seluruh Sarawak pada penghujung tahun ini.

Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber Kedua, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata untuk tahun 2011 kerajaan persekutuan telah memperuntukkan RM30 juta bagi tujuan itu.

Beliau memberitahu bagi tahun ini kementeriannya telah meluluskan lebih 100 kawasan tanah NCR dengan keluasan tanah lebih 200,000 hektar untuk disukat secara ukur keliling.

Tahun lepas Sarawak mendapat peruntukan RM20 juta dan menyukat 28 kawasan melibatkan beberapa ribu hektar tanah NCR.

Usaha itu menunjukkan kerajaan benar-benar komited mempertahankan hak dan kepentingan masyarakat Bumiputera lebih-lebih lagi berhubung kait dengan NCR.

Tanah NCR yang tidak mempunyai surat hak milik sering dijadikan isu oleh parti-parti pembangkang dan ia merupakan antara modal utama mereka menyerang Barisan Nasional (BN) pada musim pilihan raya. Ia merupakan isu malar hijau di kalangan ahli politik.

Bagi mengekang manipulasi oleh pembangkang dalam isu terbabit, kerajaan negeri dan persekutuan mengambil inisiatif menyukat sempadan tanah NCR.

Kerja-kerja penyukatan sempadan itu merupakan permulaan bagi menyukat tanah milik perseorangan. Selepas disukat sempadan tanah NCR, kerajaan mengeluarkan warta yang menandakan kawasan tersebut sah sebagai tanah NCR.

Apa yang mustahak, dengan adanya tanda sempadan antara tanah NCR dan tanah kerajaan negeri, pihak yang terbabit tidak dapat memanipulasikan agenda tanah sebagai antara usaha mereka meraih sokongan rakyat dalam pilihan raya.

(Sumber: Ucapan penggulungan hujah pada persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak ke-17, 22 November 2011)