Sarawak sasar 70 % beras guna sendiri.

Posted on November 24, 2011

0


SARAWAK yang merupakan sebuah negeri terbesar di kalangan negeri-negeri lain dalam Malaysia kini mempunyai tahap kemampuan mengeluarkan beras untuk kegunaan sendiri pada tahap 53 peratus.

Kadar kebergantungan terhadap produk pertanian dihasilkan sendiri wajar dipertingkatkan dari masa ke semasa bagi mengurangkan nilai import dari negara-negara luar.

Justeru, kerajaan negeri menyasarkan 70 peratus tahap guna sendiri beras pada tahun 2020.

Tan Sri Alfred Jabu Numpang, Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Permodenan Pertanian  berkata dua projek di bawah Bidang Ekonomi Utama Negara telah dikenalpasti ke arah merealisasikan matlamat itu.

Satu daripada projek itu ialah di Batang Lupar.

Membabitkan kos RM214 juta, projek itu akan membabitkan pembangunan struktur perparitan dan saliran utama dan sekunder.

Projek yang melibatkan 5,100 hektar tanaman padi itu seterusnya akan disusuli dengan pengeluaran padi di bawah pengurusan syarikat utama.

Kerja-kerja pelaksanaan projek dibahagikan kepada kawasan Bijat-Stumbin meliputi 3,200 hektar dan Lingga Banting dengan 1,900 hektar.

Projek NKEA padi kedua pula terletak di tanah tinggi Bario yang cukup sinonim dengan pengeluaran beras bario.

Meliputi 200 hektar ia dianggarkan menelan kos RM18 juta.

Usaha mencapai sasaran juga akan disokong dengan meningkatkan pengeluaran dari kawasan penanaman padi sedia ada.

“Kerajaan komited dalam membantu para pesawah dengan maklumat pertanian, mekanisasi, bioteknologi, kawalan serangga dan baja agar membantu meningkatkan pengeluaran tanaman mereka,” kata Tan Sri Jabu.

Sebelum ini kerajaan meletakkan sasaran 70 peratus guna sendiri beras pada 2010.

Tan Sri Jabu memberitahu ia gagal dicapai berikutan kekurangan dana bagi membangunkan sepenuhnya 16 sawah padi yang dicadangkan untuk dibangunkan di Sarawak.

(Sumber: Penggulungan hujah Kementerian Permodenan Pertanian Sarawak pada persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak, 23 November 2011)