Sokongan sementara DAP di bandar.

Posted on November 24, 2011

0


Parti Tindakan Demokratik (DAP) yang kini dikatakan semakih gah dengan sokongan diraih daripada para pengundi di bandar-bandar, terutama di kalangan pengundi kaum Cina, mungkin tidak selama-lamanya berada di tampuk keselesaan.

Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Alfred Jabu Numpang menjelaskan DAP mungkin mendapat sokongan sementara di kawasan-kawasan bandar, tetapi ia ditolak oleh penduduk di luar bandar yang kebanyakannya Bumiputera.

Tan Sri Alfred Jabu Numpang

Bumiputera terus-menerus menjadi penyokong setia perjuangan Barisan Nasional (BN) yang mencintai situasi politik stabil, perpaduan antara kaum, kemakmuran ekonomi dan pembangunan fizikal dan insan yang kian memperlihatkan kesan positif.

“Bumiputera telah menilai dan mengkaji taktik politik kotor DAP, justeru mereka amat takut matlamat politik DAP yang menjurus terhadap penolakan masyarakat di luar bandar terhadap DAP,” kata Tan Sri Jabu.

DAP yang merupakan sebahagian daripada Pakatan Rakyat tidak memiliki kredibiliti di Sarawak kerana warganya mencintai keadaan harmoni dan bukannya seperti pemimpin pembangkang yang kurang memahami budaya dan adat tempatan.

“Pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat yang kebanyakannya datang dari  Semenanjung Malaysia telah dicop sebagai hanya pandai cakap besar dan tidak mengotakan janji,” tegas beliau lagi.

DAP kini semakin ketara ingin meluaskan pengaruh di luar bandar dan akan menguji sokongan di kalangan kaum Iban dan Bidayuh menerusi pilihan raya umum kelak.

Parti yang diketuai YB Wong Ho Leng di peringkat Sarawak itu, selepas Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-10, 16 April 2011, dilihat semakin yakin dengan perjuangan mereka lantas semakin berusaha meluaskan ’empayar’ di luar bandar.

Tan Sri Jabu turut berkata DAP dilihat sebagai musuh penduduk di luar bandar.

Musuh kerana menentang konsep pembangunan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) yang diilhamkan kerajaan Barisan Nasional.

“DAP telah menafikan peluang pemilik tanah NCR daripada menyertai program pembasmian kemiskinan yang diusahakan kerajaan negeri Barisan Nasional.

“Pemilik-pemilik NCR dan rakyat Sarawak tidak akan memaafkan DAP berikutan sikap mementingkan diri sendiri. Kehadiran DAP hanya sebagai batu penghalang program pembasmian kemiskinan di kalangan komuniti luar bandar di Sarawak,” kata Tan Sri Jabu.

Sedangkan menurut Tan Sri Jabu, pembangkang yang hanya meraih 22.5 peratus perwakilan berdasarkan keputusan Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-10 pada 16 April 2011, bersikap seolah-olah gila kuasa.

“Pembangkang kurang hormat dengan mandat diberikan warga Sarawak yang mencintai keamanan dan menterjemahkannya dengan 77.5 peratus perwakilan terhadap Barisan Nasional,” jelas beliau.

DAP atau Pakatan Rakyat juga dilihat sebagai gagal dalam pentadbiran dan pembangunan.

Tan Sri Jabu memberitahu belanjawan yang diperuntukkan bagi tujuan pembangunan di negeri ditadbir pembangkang, Pulau Pinang, Selangor, Kedah dan Kelantan bagi tahun 2012 amat kecil jika dibandingkan dengan Sarawak.

Sarawak yang ditadbir Barisan Nasional dengan diketuai Ketua Menteri, Pehin Sri Abdul Taib Mahmud menyediakan RM2.55 bilion bagi tujuan pembangunan pada tahun 2012.

Sedangkan empat negeri tersebut, meskipun peruntukan mereka digabungkan hanya RM1.61 bilion. Jarak yang umpama langit dan bumi.

(Sumber: Penggulungan hujah Kementerian Pemodenan Pertanian Sarawak pada persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak, 23 November 2011)