SCORE ada, tidak payah keluar Sarawak cari kerja.

Posted on November 25, 2011

0


GOLONGAN belia pastinya paling gembira apabila kerajaan sentiasa berusaha menyediakan peluang pekerjaan di dalam negeri. Tidak perlu ke mana-mana untuk mencari rezeki, jika betul bidang yang dipilih, mereka dapat bekerja di dalam Sarawak.

Jika layak bidang kemahiran dan akademik, mereka akan menjadi sebahagian dari tenaga kerja yang ditawarkan menerusi pelaksanaan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE). Koridor itu dijangka akan menyediakan 58,200 peluang pekerjaan dalam tempoh lima tahun pertama pelaksanaannya iaitu mulai 2010 hingga 2015.

Abdul Taib Mahmud, bijak merancang pembangunan Sarawak.

Berita gembira itu (meskipun sesetengah orang berpendapat ia sudah basi) dinyatakan Ketua Menteri Sarawak Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dalam persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak di Kuching, baru-baru ini.

Abdul Taib, dalam ucapan penggulungannya pada 23 November 2011, memberitahu jumlah tersebut merupakan jangkaan Kajian Guna Tenaga di SCORE yang dilakukan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas).

Ini bermakna 11,600 peluang pekerjaan diwujudkan setiap tahun dalam tempoh lima tahun ini dan daripada jumlah itu 620 tenaga profesional, 1,700 semi-profesional, 700 kumpulan sokongan dan 8,600 pekerja am setiap tahun.

Pada tahun 2015, 980 peluang pekerjaan untuk tenaga professional diwujudkan setiap tahun dan jumlah itu meningkat 1,130 pada tahun 2025 dan 1,620 pada tahun 2030.

Kajian tersebut turut mendapati tenaga buruh Sarawak akan meningkat kira-kira 1.1 juta orang pada 2015 dan daripada jumlah itu kira-kira 200,000 adalah tenaga kerja professional dan semi professional.

Jumlah itu diramal akan terus meningkat kepada 2.2 juta pada 2030 dengan hampir 500,000 merupakan tenaga mahir dan separuh mahir.

Abdul Taib berkata antara matlamat utama SCORE ialah menyediakan sebanyak mungkin peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.

“Rakyat Sarawak tidak perlu ke luar negeri hanya untuk mendapat pendapatan yang tinggi,” jelas beliau.

Justeru, beliau berharap generasi muda pada masa kini memahami aspirasi kerajaan dalam usaha membangunkan negeri Sarawak.

Generasi muda wajar menghayati matlamat kerajaan dengan melengkapkan diri mereka dengan kemahiran yang sesuai dengan kehendak industri.

SCORE merupakan inisiatif kerajaan dalam melonjakkan pembangunan ekonomi dan fizikal Bumi Kenyalang menerusi industri-industri baru yang dijangka membantu mencapai matlamat tersebut. Lantas ia dapat membantu Sarawak mencapai status negeri berpendapatan tinggi.

Kawasan perindustriannya bertumpu di kawasan tengah Sarawak iaitu terbentang dari Samalaju di Bahagian Bintulu hingga ke Tanjung Manis di Bahagian Mukah.

Antara industri terbabit ialah peleburan aluminium, industri hiliran perkayuan dan makanan halal.