SPDP 5: Mengapa Entri sahaja dibuang?

Posted on November 25, 2011

0


SPDP

RAMAI mereka yang mengikuti perkembangan politik Sarawak terutama berkaitan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) menjangkakan hari ini (25 November 2012) Majlis Tertinggi parti berkenaan akan memecat lima pemimpin mereka.

Tetapi untuk tidak menghampakan jangkaan itu, Presiden SPDP, Tan Sri William Mawan Ikom mengumumkan seorang daripada ahli SPDP 5 dipecat. Naib Presiden SPDP, Datuk Sylvester Entri dipecat daripada parti kerana kesalahan menentang parti.

Entri Muran

Mereka yang lain – Naib Presiden Kanan Datuk Peter Nansian Ngusie (ADUN Tasik Biru), Naib Presiden Datuk Dr Tiki Lafe (Anggota Parlimen Mas Gading), Ketua Penerangan Paulus Palu Gumbang (ADUN Batu Danau) dan Ahli Majlis Tertinggi Rosey Yunus (ADUN Bekenu) – kini masih selamat.

Empat mereka terbabit cuma dilucutkan jawatan yang dipegang mereka dalam parti. Mereka diberi peluang agar kembali ke pangkuan parti atau dalam erti kata lain, tidak menentang parti dan kepimpinan Tan Sri Mawan.

SPDP 5 sebelum ini ‘diserahkan’ kepada Jawatankuasa Disiplin SPDP kerana gagal menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi sejak awal tahun 2010.

Tan Sri Mawan pada sidang media di Ibu Pejabat SPDP di Kuching pada 25 November 2011 bagaimanapun menegaskan Entri yang juga menteri muda dalam kabinet negeri Sarawak dipecat bukan semata-mata kerana faktor tidak hadir mesyuarat.

Banyak faktor yang begitu panjang untuk dijelaskan, kata Tan Sri Mawan. Sebagai kesimpulan, Entri dibuang kerana menentang kepimpinan parti. Malahan keputusan itu bukan bersifat peribadi, jelasnya.

Mengenai jawatan dalam kabinet negeri Sarawak yang dipegang Entri (ADUN Marudi), Tan Sri Mawan memberitahu ia merupakan kuasa Ketua Menteri Sarawak Pehin Sri Abdul Taib Mahmud. Apa yang dapat dilakukannya hanya dalam ruang lingkup SPDP.

Meskipun Entri dipecat, Tan Sri Mawan menegaskan kerusi Dewan Undangan Negeri Marudi masih milik SPDP.

Kenyataan akhbar dibacakan oleh Tan Sri William Mawan berhubung pemecatan Sylvester Entri. (klik untuk besar)

Dan kesimpulan yang dapat dikatakan pada masa ini ialah Entri tidak akan dicalonkan semula di kerusi berkenaan pada pilihan raya negeri Sarawak kelak.

Tan Sri William Mawan dalam pada itu berkata beliau akan membantah sebarang langkah oleh Entri untuk menyertai atau diterima sebagai anggota mana-mana BN Sarawak.

Mawan berkata beliau menganggap episod itu sebagai sudah berakhir dan mahu agar SPDP terus melangkah ke hadapan secara bersepadu dan fokus ke arah memastikan kejayaan BN.

“Dalam hal ini, saya ingin memohon maaf kepada pemimpin BN di peringkat negeri dan pusat dan berharap mereka bersabar dan faham kedudukan kami,” katanya.