Dr Tiki tidak pertahan kerusi Parlimen Mas Gading.

Posted on November 26, 2011

0


SUDAH sah! Selama ini dia enggan mengulas apa-apa tentang masa depan karier politik terutama berkaitan pencalonan semulanya di kerusi Parlimen Mas Gading menggunakan tiket Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) pada Pilihan Raya Umum ke-13 yang belum diketahui bila bakal diadakan.

Umpama “sudah jatuh ditimpa tangga”, itulah perumpamaan yang sesuai bagi menggambarkan Datuk Dr Tiki Lafe.  Dia, Anggota Parlimen Mas Gading yang menewaskan tiga calon lain pada Pilihan Raya Umum 2008, kini dilucutkan jawatan sebagai Naib Presiden SPDP.

Keputusan perit yang terpaksa diambil oleh Presiden SPDP, Tan Sri William Mawan Ikom apabila dia bersama empat lagi SDPD 5 tidak hadir mesyuarat Majlis Tertinggi parti sejak awal 2010.

Tetapi itu bukan sebab mengapa dia tidak akan dicalonkan semula  bagi membantu Barisan Nasional mempertahankan kerusi itu. Tan Sri William menjelaskan, Dr Tiki didapati bukan calon yang mampu menang. Itu kriteria utama yang ditetapkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Wujud juga persoalan adakah Dr Tiki akan bertanding atas tiket Bebas? Dr Tiki, setakat ini, tidak memberi apa-apa ulasan kepada akhbar – berdasarkan tidak ada laporan berkaitannya disiarkan di akhbar-akhbar.

Memetik laporan akhbar Utusan Borneo bertarikh 26 November 2011,  Tan Sri William Mawan berkata, SPDP mempunyai lebih dari seorang calon mampu menang bakal menggantikan Dr Tiki di Mas Gading.

“Mereka yang tersenarai merupakan calon berpengalaman dalam politik dan paling utama, berupaya mempertahankan kerusi untuk Barisan Nasional,” kata laporan berkenaan.

Keputusan untuk tidak mengekalkan Dr Tiki dicapai menerusi satu mesyuarat Majlis Tertinggi yang dihadiri 26 anggota pada 25 November 2011 di Kuching.

Selain Mas Gading, SPDP mempunyai kawasan Parlimen Saratok, Baram dan Bintulu.

SPDP telah memutuskan semua penyandang di kerusi-kerusi berkenaan yang masing-masing terdiri daripada Jelaing Mersat, Datuk Jacob Dungau Sagan dan Datuk Seri Tiong King Sing, akan dicalonkan semula.

 

Laporan akhbar The Borneo Post Online tentang Dr Tiki pada Ogos 2011.