Dipecat SPDP: Reaksi Sylvester Entri.

Posted on November 27, 2011

0


Sylvester Entri

“Saya tidak tahu apa yang salah telah saya lakukan terhadap parti?”, demikian kata Datuk Sylvester Entri Muran yang pada Jumaat (25/11/2011) dipecat daripada Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP).

Malahan Entri yang merupakan bekas Naib Presiden SPDP terkilan apabila beliau adalah antara orang yang mengasas penubuhan SPDP, hasil perpecahan Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) diperlakukan demikian.

Menteri muda dalam kabinet negeri Sarawak itu bagaimanapun berikrar akan berdiri teguh dalam Barisan Nasional (BN) di bawah kepimpinan Ketua Menteri Sarawak, Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meskipun kini tidak menjadi ahli kepada mana-mana parti komponen BN.

Dipetik menerusi akhbar The Borneo Post edisi 27/11/2011, Entri yang juga ADUN Marudi membayangkan beliau akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri Marudi sungguhpun bukan lagi ahli SPDP – meskipun terlalu awal untuk memperkatakannya selepas Sarawak baru sahaja selesai mengadakan Pilihan Raya Negeri ke-10 pada 16 April 2011.

Ini dapat ditafsir apabila ramai penduduk dalam kawasan Marudi hadir pada majlis meraikan penganugerahan gelaran ‘Datuk’ oleh TYT Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng baru-baru ini. Hadirin antara lain, mempersoalkan tindakan memecat Entri.

Presiden SPDP, Tan Sri William Mawan Ikom dalam perkembangan terdahulu, dalam sidang media bagi mengumumkan pemecatan Entri, menegaskan kerusi Dewan Undangan Negeri Marudi adalah milik SPDP. Beliau mengambil contoh apabila Larry Sng yang dipecat daripada Parti Rakyat Sarawak (PRS) satu ketika dahulu.

SPDP

Menurutnya, Larry yang sebelum ini merupakan ADUN Pelagus tidak dicalonkan semula dalam mempertahankan kerusi tersebut kerana bukan ahli PRS. Presiden PRS, Tan Sri Dr James Masing bertegas partinya ada pengganti Larry. Malangnya calon PRS (BN) tewas di tangan calon Bebas, George Lagong, dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-10.

Tetapi dalam politik tidak ada formula yang sama ketika menyelesaikan satu-satu masalah – politik ialah seni serba kemungkinan. Ia tidak statik, ia sering berubah-ubah dan apa sahaja boleh berlaku.

Wujud juga spekulasi liar susulan pemecatan itu apabila Entri dan rakan-rakannya yang digelar SPDP 5 dikaitkan dengan penubuhan Parti Peace. Parti ini pada tahun 2010 pernah kedengaran namanya dan jawatankuasa penaja. Ia sedikit demi sedikit tenggelam menjelang pilihan raya negeri lepas.

Menurut laporan pertubuhan berita tempatan BERNAMA pada 25/11/2011, Mawan memecat Entri kerana menentang parti. Empat lagi rakannya – Naib Presiden Kanan Datuk Peter Nansian Ngusie, Naib Presiden Datuk Dr Tiki Lafe, Ketua Penerangan Paulus Palu Gumbang dan Ahli Majlis Tertinggi Rosey Yunus – dilucutkan jawatan dalam parti. 

 Mawan juga dipetik menerusi laporan BERNAMA sebagai berkata, akan menentang usaha Entri menyertai parti-parti komponen BN yang lain. SPDP juga membantah jika terdapat parti-parti lain menerima masuk Entri.

Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), awal-awal lagi menyatakan pendirian mereka enggan masuk campur krisis SPDP. Timbalan Presiden PBB, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg memberitahu PBB menghormati keputusan Mawan.

Barisan Nasional

Dalam pada itu, ada penganalisis politik dengan nada begitu yakin  menyatakan pergolakan dalam SPDP tidak akan menggoyahkan sokongan rakyat terhadap BN.  Hujahnya penganalisis itu ketika berkata demikian ialah penduduk di luar bandar masih setia dengan BN. Harap-harap begitulah hendaknya.

SPDP mempunyai empat kerusi Parlimen. Ia terdiri daripada Mas Gading, Saratok, Bintulu dan Baram.

Penyandang kerusi Parlimen Mas Gading, Dr Tiki sudah diumumkan oleh Mawan tidak akan dicalonkan semula pada Pilihan Raya Umum ke-13 akan datang, manakala Saratok kini dipegang oleh Jelaing Mersat, Datuk Seri Tiong King Sing di Bintulu dan Datuk Jacob Dungau Sagan wakil rakyat di Baram.

The Star