Abdul Taib: Rakyat perlu cari manfaat SCORE.

Posted on November 28, 2011

1


SATU soalan yang sering wujud apabila membincangkan sesuatu pembangunan yang diusahakan kerajaan ialah “bagaimana ia memberi manfaat kepada rakyat”. Dalam konteks ini persoalan itu dikupas menerusi perspektif Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE).

SCORE diilhamkan berikutan kerajaan amat prihatin dengan keperluan pembangunan yang amat diidam-idamkan rakyat. Rakyat Sarawak sudah pasti tidak gembira jika pembangunan negeri ini sekadar kekal di takuk sekarang ini. Malahan bilangan rakyat yang kian bertambah saban tahun memerlukan peluang pekerjaan mencukupi.

Manfaat Koridor tersebut akan dinikmati semua lapisan masyarakat. Sama ada tinggal di kawasan pelaksanaannya atau di luar lingkungan wilayah tengah Sarawak – antara Samalaju di Bintulu dan Tanjung Manis, Mukah.

Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak

Ketua Menteri Sarawak, Pehin Sri Abdul Taib Mahmud tidak pernah jemu menjelaskan kepada rakyat dalam pelbagai majlis yang dihadirinya tentang manfaat dan tujuan SCORE diilhamkan. Harapan beliau adalah jelas – beliau mahu rakyat mengambil peluang yang tersedia dalam SCORE. Dengan bijak merebut peluang, rakyat akan memperoleh manfaat secara langsung.

SCORE diilhamkan demi memajukan Sarawak yang dahulunya tertinggal dari aspek pembangunan berbanding negeri-negeri lain dalam Persekutuan Malaysia. Syukur sekarang apabila Bumi Kenyalang di bawah pemerintahan kerajaan Barisan Nasional pimpinan Ketua Menteri Sarawak Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak kian maju.

Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dalam persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak baru-baru ini menjelaskan:

“Sarawak mungkin ketinggalan di belakang Semenanjung Malaysia dalam pembangunan perindustrian kerana, seperti yang saya katakan, bilangan penduduk yang sedikit dan penempatan berselerak luas.

“Tetapi dengan kekuatan hala tuju rakyat Sarawak, dan insya-Allah kita akan dapat menyamakan kedudukan dan membangunkan Sarawak secara yang akan dibanggakan oleh semua rakyat”.

Ketua Menteri Sarawak menjelaskan lagi, manfaat dari SCORE bukannya datang dari awang-awangan. Ia diperolehi sebagai pulangan kepada pelaburan, sebagai gaji untuk pekerja berkemahiran, sebagai keuntungan bagi golongan yang menyiapkan projek-projek tepat pada masa ditetapkan, sebagai faedah bagi mereka yang menyimpan wang, sebagai sewaan bagi mereka yang menyimpan wang dalam bentuk hartanah, sebagai dividen bagi mereka yang melabur dalam saham syarikat.

Apa yang pasti manfaat katanya tidak akan datang bergolek. Rakyat harus berusaha mendapatkan manfaat yang dijanjikan menerusi pelaksanaan SCORE.

“Sebagai rakyat Sarawak yang berhasrat untuk menikmati pendatan tinggi kita mestilah bersedia untuk memperolehi latihan, disiplin, bekerja keras dan bertindak bijak, menyusun diri sebagai masyarakat produktif, bertanggungjawab kepada diri sendiri dan keluarga.

Abdul Taib Mahmud

Dalam persidangan yang sama, Abdul Taib dalam pada itu menempelak wakil rakyat daripada parti pembangkang kerana sering mempersoalkan SCORE kerana akan wujud terlalu banyak peluang pekerjaan.

“Kita tidak harus takut mewujudkan terlalu banyak pekerjaan. Keutamaan kita ialah untuk memastikan ada banyak pilihan bagi mereka supaya, apabila kita berkembang, kita tidak memangsakan mereka tidak menerima perubahan.

“Lebih banyak pekerjaan yang kita wujudkan lebih besar peluang bagi rakyat biasa, terutama golongan dari luar bandar, dapat gaji sewajarnya dan menikmati hidup yang lebih baik,” jelasnya.