Apabila Kencing Manis jadi pahit.

Posted on November 28, 2011

0


SARAWAK dijangka bakal menggunakan tenaga belia yang ramai dalam proses pembangunan negeri, tidak mungkin rela melihat rakyatnya sendiri meninggal dunia dalam usia yang masih muda. Tenaga kerja merupakan pemangkin penting dalam melaksanakan idea-idea pembangunan.

Justeru kesedaran mengenai penjagaan kesihatan wajar diberi perhatian serius di kalangan remaja. Jaga kesihatan agar tidak menghidap penyakit tidak berjangkit seperti Kencing Manis (Diabetes), Darah Tinggi, sakit jantung, sakit buah pinggang dan lain-lain.

Penyakit tidak berjangkit menjadi satu kerisauan di kalangan pengamal perubatan apabila jumlah golongan berkenaan kian meningkat saban tahun.

Kencing Manis misalnya, jumlah penghidapnya boleh dielakkan agar tidak meningkat jika mengamalkan gaya hidup dan pemakanan yang sihat.

Tidak menghairankan, pada masa ini, jika seseorang pesakit Diabetes itu berumur awal 30-an. Bukan kes terpencil tetapi kian banyak ditemui dalam masyarakat kita.

Pengerusi Persatuan Diabetes Malaysia Sarawak Dr William Voon memberitahu penyakit berkenaan boleh menimbulkan pelbagai implikasi terhadap anggota tubuh manusia, antaranya kegagalan fungsi buah pinggang, buta dan angin ahmar.

Beliau mengakui tahap kesedaran di kalangan masyarakat umum masih rendah dan ia amat mustahak ditingkatkan demi mengelakkan lebih ramai penghidap Diabetes di Sarawak.

Hampir 1.2 juta orang rakyat Malaysia merupakan penghidap Diabetes.

Kesan Diabetes (anda perlu takut).

  • Letih dan lesu. Ia berlaku apabila glukosa tidak dapat masuk ke dalam sel berterusan maka tenaga yang mencukupi tidak dapat dihasilkan. Akibatnya pesakit akan mula berasa letih-lesu.
  •  Kerap kencing. Kadar glukosa terlalu tinggi dalam darah tidak akan daoat ditapis semuanya oleh buah pinggang. Sebahagian glukosa akan dikeluarkan ke dalam air kencing. Jumlah glukosa yang besar di dalam air kencing memudahkan berlakunya gatal-gatal di sekitar kemaluan disebabkan infeksi fungus.
  • Haus. Pesakit Diabetes akan mengalami kekerapan kencing. Kehilangan air tubuh dalam jumlah yang banyak akan menyebabkan pesakit merasa haus.
  • Kerosakan mata. Kadar glukosa tinggi dalam jangka masa lama dapat merosakkan pembuluh darah beberapa bahagian dalam tubuh. Kerosakan ini sering berlaku pada mata, saraf dan buah pinggang. Kadar glukosa darah yang tinggi akan merubah bentuk kanta mata dan mengganggu penglihatan, malah boleh menyebabkan katarak.
  • Strok. Pembuluh darah besar menjadi tebal, keras dan sempit. Ini akan menghalang aliran darah ke organ-organ terutamanya otak. Apabila pembuluh darah di otak tersumbat, strok akan berlaku.
  • Darah tinggi. Pesakit diabetes mudah mendapat penyakit darah tinggi kerana pembuluh darah tubuh mengalami penebalan dan menjadi keras. Tekanan darah akan naik kerana pembuluh darah tidak dapat mengembang tatkala jantung mengepam darah.
  • Kerosakan buah pinggang. Kerosakan pembuluh darah menyebabkan penapisan buah pinggang tidak lancar, protein bocor keluar ke dalam air kencing. Boleh menyebabkan kegagalan buah pingang dan memerlukan rawaran dialisis.
  • Kerosakan saraf. Hampir 70 peratus pesakit Diabetes mengalami kerosakan saraf. Kadar glukosa darah yang tinggi dalam tempoh yang lama akan merosakkan urat dan pembalutnya, mengakibatkan kegagalan penghantaran isyarat ke bahagian pusat kawalan saraf dan terjadi kehilangan deria sentuhan atau sakit.Kerosakan saraf di kalangan pesakit Diabetes juga antara penyebab mati pucuk.
  • Susut berat badan. Akibat kekurangan tenaga yang tidak dapat dihasilkan daripada glukosa, tubuh akan

menggunakan simpanan lemak untuk menghasilkan tenaga. Ini mengakibatkan pengurangan berat badan tanpa

hilang selera makan.