Bersih demi pelanggan.

Posted on November 30, 2011

0


SIAPA tidak suka makan di tempat bersih dan selesa? Jika ada sekalipun otak orang itu sudah mereng. Premis makanan memang wajar menjaga kebersihan secara total. Bukan sahaja dari aspek penyediaan makanan, malah ia turut merangkumi kebersihan dan kekemasan kedai.

Justeru tidak mustahil pihak berkuasa tempatan seperti Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dan Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) memperkenalkan sistem pemberian gred terhadap premis-premis makanan dan minuman sejak sekian lama.

Bukan sekadar untuk menjadikan Bandar Raya Kuching sebagai bandar bersih, tetapi turut menyumbang keuntungan dalam perniagaan mereka. Apabila kedai atau restoran bersih, sudah pasti ia disusuli dengan kehadiran ramai pelanggan.

Gambar hiasan: Premis yang bersih dan kemas menambahkan kelazatan makanan.

Bagi memastikan kebersihan makanan dan premis perniagaan berada pada tahap yang memuaskan, kerajaan menerusi pihak berkuasa tempatan (PBT) mula memperkenalkan langkah penggredan premis pada tahun 2006.

Penggredan itu dibuat mengikut markah yang dinilai oleh bahagian kesihatan PBT di setiap bahagian sebelum ditetapkan status kebersihan kedai tersebut berdasarkan gred A (amat baik), B (baik) dan C (memuaskan).

Bagi penilaian gred A, sesuatu kedai itu perlu mendapat markah dari 85 sehingga 100, gred B (70-84) dan gred C (60-69).

Manakala kedai yang mendapat jumlah markah yang tidak mencukupi akan diberikan notis untuk mempertingkatkan mutu kebersihan kedai mereka dan sekiranya gagal, kedai itu akan diarahkan tutup.

Pemarkahan pula dibuat secara berkala iaitu bergantung kepada status yang diberikan PBT itu sendiri. Bagi kedai yang diklasifikasikan sebagai A, pemeriksaan akan dibuat sekali dalam setahun dan gred B dua kali setahun manakala gerai yang dikelaskan sebagai C pula pemeriksaan dibuat sebanyak tiga kali dalam setahun.

Gambar hiasan: Segenap ruang dalam premis makanan yang bersih.

Sementara itu, penilaian terhadap sesebuah premis itu pula dibuat berdasarkan beberapa faktor yang ditetapkan kerajaan.

Antara faktor yang dititik beratkan semasa penggredan itu ialah kawasan penyediaan makanan, kebersihan tandas dan tabiat pengendali makanan.

Selain itu, pengiraan markah juga dibuat berdasarkan keadaan kebersihan premis dan cara penyediaan makanan.

Sejak sistem penggredan restoran diperkenalkan pada tahun 2006, kesedaran pemilik premis terhadap kebersihan kedai dikatakan menunjukkan peningkatan memberangsangkan.

Berikut ialah laporan berita Utusan Borneo yang disiarkan menerusi www.theborneopost.com.

Penggredan premis bantu pengguna buat pilihan bijak
Posted on November 30, 2011.


KUCHING: Penganugerahan Premis Makanan Gred ‘A’ Terbaik kepada pre-mis pengendali makanan merupakan langkah jelas pihak Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) membantu pengguna membuat pilihan bijak.

Datuk Bandar DBKU, Datuk Abang Wahap Julai berkata, pihaknya menggalakkan langkah proaktif itu dijalankan berterusan bagi mewujudkan suasana selamat serta kebersihan makanan terjamin.

“DBKU telah menganjurkan pertandingan yang sama sejak tahun lalu dan ingin memupuk kesedaran serta amalan kebersihan premis makanan bagi membantu memperkembangkan industri pelancongan negeri.

“Pada masa yang sama, membantu pengguna membuat pilihan bijak,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Anugerah Premis Makanan Gred ‘A’ Terbaik 2011 di sini, semalam.

Abang Wahap berkata, Bahagian Pelesenan DBKU akan terus aktif dalam memantau pengusaha premis makanan, keselesaan dan perkhidmatan kepada pelanggan dan pengunjung sekitar kawasan DBKU.

Katanya, pertandingan diadakan susulan perlaksanaan sistem penggredan premis makanan yang diperkenal dan diimplimentasikan di setiap premis makanan sejak November 2006.

Pemilihan, katanya, dibuat oleh panel DBKU dengan kerjasama Pejabat kesihatan kuching, Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak, Chinese Chamber of Commerce, Kementerian Pelancongan dan Warisan, Persatuan Kedai Kopi Sarawak, Jabatan Agama Islam Sarawak dan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Bumiputera Sarawak.

Sebanyak 13 premis makanan telah disenaraikan daripada 76 premis dalam kategori restoran, premis makanan segera dan kedai kopi.

Anugerah Premis Makanan Gred A di menangi oleh Secret Recipe (restoran), Kaya & Toast (kedai kopi) dan Pizza Hut Restaurant (makanan segera).

Mango Tree dan Singapore Chicken Rice Xpress (restoran), Deli Cafe, Hardy Dahlia Cafe (kedai kopi) dan Kentucky Fried Chicken (KFC), Satok serta Marry Brown (makanan segera) masing-masing memenangi tempat kedua dan ketiga semalam.

“Bagi premis yang mendapat gred A, tahniah dan kekalkanlah momentum ini,” katanya.