Harapkan pagar cegah peragut.

Posted on November 30, 2011

0


SERING kita dengar peribahasa “Harapkan pagar, pagar makan padi”. Sebenarnya artikel ini tidak ada kaitan dengan peribahasa berkenaan kerana pengertiannya amat jauh beza dengan topik dibincangkan.

Penulis hairan apa yang menyebabkan mata sesetengah pihak sangat sakit apabila pihak berkuasa tempatan memasang pagar di tepi laluan pejalan kaki, terutama di pusat Bandar Raya Kuching sejak beberapa bulan yang lepas.

Memang benar kata orang, adalah amat sukar untuk memuaskan hati semua pihak. Apabila pagar dipasang, pihak yang lain melenting dan mengkritik. Dan apabila tidak dipasang, kerajaan pula yang dituduh tidak berusaha mengatasi kes ragut.

Mereka (pengkritik pagar) tidak seperti saya yang lebih gemar aspek keselamatan pejalan kaki diutamakan berbanding dengan keindahan bandar raya Kuching.

Pagar yang dikatakan mencacatkan pemandangan Kuching.

Pagar besi itu dipasang di Jalan Tunku Abdul Rahman, Jalan Mathie, Jalan Simpang Tiga, Jalan Ong Thian Cheok dan lain-lain (yang saya tidak tahu).

Pihak berkuasa tempatan seperti Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dan Majlis Perbandaran Padawan (MPP) ditugaskan memasang pagar besi setinggi kira-kira empat kaki.

Ia adalah untuk mencegah kes ragut yang seringnya dilakukan pada masa siam. Adakah niat itu tidak murni?

Bukan sahaja penduduk tempatan yang menjadi sasaran peragut, malah tidak terkecuali pelancong asing. Jika ramai pelancong dari luar negara menjadi mangsa ragut, adakah anda fikir mereka akan kembali ke Kuching? Tidak mungkin kerana mereka serik untuk melancong di Kuching.

Golongan yang membantah pembinaan pagar wajar memberi masa bagi membuktikan keberkesanan dalam mengurangkan kes ragut.

Datuk Bandar MBKS, James Chan memberitahu beliau difahamkan ramai golongan muda khususnya dalam Facebook menyuarakan rasa tidak senang dengan pembinaan pagar kerana mencacatkan kecantikan bandar raya ini.

Datuk Bandar MBKS James Chan

“Kerajaan tidak akan membelanjakan duit begitu sahaja kerana kos pembinaan pagar ini agak tinggi, ia dibina atas sebab iaitu untuk mengurangkan kes ragut. Kalau anda tanya mangsa ragut, saya rasa mereka akan bersetuju (dengan pelaksanaan pagar itu),” katanya dipetik menerusi sebuah akhbar tempatan Sarawak, baru-baru ini.

James Chan berkata banyak aduan diterima khususnya mengenai pagar itu dikatakan mengganggu pandangan pemandu kereta di persimpangan jalan.

“MBKS akan merendahkan sedikit pagar agar tidak membahayakan pengguna jalan raya,” jelas beliau.
 

 

 

 

Posted in: Masalah Umum