Hab Halal Tanjung Manis rancakkan aktiviti ekonomi Sarawak.

Posted on December 1, 2011

0


INDUSTRI makanan halal merupakan satu industri yang makin pesat dan Sarawak mempunyai potensi menjadi pusat makanan halal yang bernilai RM190 billion berikutan Malaysia merupakan salah satu negara pengeluar makanan halal dunia.

Berdasarkan kajian yang dijalankan oleh Unipeq (Unit Penyelidikan Kualiti Makanan, UKM), industri halal berpotensi untuk berkembang berdasarkan permintaan dan keperluan dua billion pengguna Muslim seluruh dunia.

Pasaran makanan antarabangsa bagi makanan halal bernilai USD50 billion (RM190 billion) dan dijangka meningkat setiap tahun. Potensi pasaran bagi makan halal adalah besar sama ada domestik mahupun antarabangsa. Permintaan pengguna Muslim terhadap makanan halal telah meningkatkan lagi industri ini bukan hanya di Malaysia bahkan di serata dunia.

Pasaran bagi makanan halal secara global adalah amat luas. Permintaan makanan halal dunia dianggarkan bernilai USD80 billion (RM304 billion) setahun (Babji, 1998). Populasi muslim yang besar di Timur Tengah, Amerika Utara, Asia Tenggara, Soviet Union dan China menyediakan pasaran yang lumayan kepada industri makanan halal.

Tiada perangkaan menyeluruh diperolehi mengenai prestasi perdagangan makanan halal Malaysia di peringkat antarabangsa. Bagaimanapun bagi tempoh Januari-September 2001, Malaysia mengeksport sejumlah RM2,843.4 juta produk makanan ke luar negara.

Dari jumlah tersebut sebanyak RM1,532.5 juta atau 53.9% dieksport ke negara-negara di ASEAN dan Timur Tengah yang merupakan kawasan paling ramai penduduk Islam dan pengguna terbesar produk makanan halal di dunia. Destinasi eksport utama negara ialah Singapura, Indonesia, Brunei, Emiriyah Arab Bersatu dan Saudi Arabia.

Menyedari prospek yang cerah dalam industri makanan halal, kerajaan negeri Sarawak kini dalam pelaksanaan ke arah menjayakan matlamat menjadikan Tanjung Manis sebagai hab halal. Ia dijangka memainkan peranan besar dalam membangunkan ekonomi negeri.

Setakat awal tahun 2011, kerajaan negeri Sarawak telah melabur sehingga RM1.3 bilion di Tanjung Manis untuk membangunkan dan memodenkan infrastruktur jaringan awamnya, yang menarik kepada komuniti pelabur Timur Tengah.

Ia merupakan satu projek impak ekonomi yang tinggi bagi keselamatan makanan dan telah diberi sokongan penuh kerajaan negeri, yang menyifatkannya sebagai projek keutamaan. Pada masa yang sama, ia akan menempatkan Sarawak sebagai salah satu destinasi halal paling menarik di dunia.

Hab Halal Tanjung Manis merupakan satu projek di bawah Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) diilhamkan untuk memastikan Sarawak mencapai status negeri maju menjelang 2020, sejajar dengan wawasan dan sasaran program Transformasi ekonomi (ETP) negara.

Sebagai pusat sehenti hab halal pertama di Malaysia Timur bagi kegiatan pengeluaran dan makanan halal hiliran dan huluan, ia dijangka memenuhi keperluan akuakultur, poultri, kilang makanan haiwan, ayam organik dan pengeluaran telur, industri menternak belut selain menyediakan sokongan kepada pembangunan jelapang padi di kawasan berhampiran.