Usah fikir masa depan, fikirkan SUPP sekarang.

Posted on December 9, 2011

0


RAMAI, di kalangan yang mengikuti perkembangan menjelang Persidangan Perwakilan Tiga Tahun Sekali (TDC) SUPP, gemar melihat apakah yang akan terjadi dengan sebuah parti komponen Barisan Nasional (BN) itu selepas Ahad ini (11 Disember 2011).

Adakah SUPP akan menjadi kukuh seperti sebelum Pilihan Raya Negeri Sarawak kesembilan pada 2006? Atau sebaliknya, parti itu akan hancur berpunca perebutan kuasa di peringkat pucuk pimpinan – perebutan yang bakal membawa kepada kesinambungan prestasi buruk dalam pilihan raya yang akan datang.

Memetik sebuah buku yang bertajuk “Jangan Bersedih”, sebuah buku motivasi Islam, “usah difikirkan tentang masa depan kerana belum pasti hari itu akan terbit”. Ada benarnya kata buku tersebut.

Mengapa penting memikirkan nasib SUPP sekarang dan bukan kemudian hari? Kerana, masa depan bermula hari ini, dan jika tidak ada apa-apa dilakukan untuk menyelesaikan kemelut perebutan kuasa antara dua puak – Dato Sri Wong Soon Koh dan Datuk Seri Peter Chin Fah Kui – tidak mustahil parti itu berkubur dari arena politik Sarawak.

Selesaikan segera masalah yang tercetus antara dua puak terbabit. Apa yang kumpulan Wong mahukan? Dan apa pula dikehendaki kumpulan Peter Chin? Jika dibiarkan tanpa campurtangan pihak pucuk pimpinan Barisan Nasional, pasti dua puak ini terus akan bertelagah dalam menegakkan benang masing-masing.

Sebab kedua untuk tidak memikirkan masa depan ialah kerana Pilihan Raya Umum ke-13 akan menjelma bila-bila masa. Banyak sudah petanda atau isyarat yang diberikan PM Datuk Seri Najib Razak atau kerajaan pimpinannya menerusi media-media massa.

Buat apa kita fikirkan benda yang masih jauh di depan sedangkan PRU 13 sudah dekat (kononnya)? Soalnya sekarang ialah wujudkah perpaduan dan kepimpinan dalam SUPP ketika berhadapan dengan pilihan raya.

Sarawak perlu menunjukkan mereka sebagai berharga dalam proses pembentukan kerajaan di peringkat persekutuan. Mengapa? Kerana Sarawak memerlukan peruntukan kewangan yang besar dalam usaha membangunkan kemudahan seperti bekalan air, jalan raya dan tenaga elektrik. Sarawak luas dan kedudukan penempatan berselerak menyebabkan kerajaan BN mengambil masa untuk melengkapkan kemudahan asas.

Justeru, sebagai sebuah parti komponen BN di Sarawak, SUPP wajar menonjolkan sumbangan mereka dalam menyumbang kerusi parlimen kepada BN. Sarawak mempunyai 31 kerusi parlimen dengan dua daripadanya – Parlimen Bandar Kuching dan Parlimen Sibu – dimenangi DAP.

Lebih gusar apabila menyingkap sejarah kemerosotan SUPP pada dua pilihan raya negeri iaitu 2006 dan 2011 – parti itu menunjukkan penurunan prestasi, bukannya bertambah baik. Dengan mengambil pemerhatian mudah itu, SUPP dijangka akan berhadapan saingan sengit sekali lagi pada PRU 13 ini kelak.

Paling mustahak jangan biarkan DAP atau parti pembangkang yang lain terus menguasai pemikiran dan hati para pengundi Cina di bandar.

Kita tidak mahu dikatakan BN menang di kerusi-kerusi luar bandar kerana rakyat masih memerlukan pelbagai bentuk bantuan daripada kerajaan. Sebaliknya, kita suka pasang telinga apabila terdengar orang berkata “BN merupakan kerajaan yang bertanggungjawab dalam pembangunan ekonomi dan sosial tidak kita di luar bandar atau di bandar”.

TDC SUPP dikatakan akan membawa hala tuju baru parti tersebut pada Ahad ini (11 Disember 2011).

Tetapi kejutan (adakah ia layak dikatakan kejutan sedangkan ramai mampu meneka apa yang bakal dilakukan Wong Soon Koh) diberikan kepada peminat politik SUPP dan ahli-ahlinya menjelang TDC dengan tindakan memboikot TDC.

Ada yang mendakwa tindakan boikot itu adalah cara terakhir bagi mengelakkan Peter Chin menang (itu pun jika menang).

Wong Soon Koh memberitahu boikot diadakan kerana enggan memberi legitimasi kepada TDC tersebut dalam memilih presiden baru menggantikan Tan Sri Dr George Chan.

Justeru, kita mula tertanya-tanya siapakah yang mampu membawa SUPP ke hala tuju baru dengan harapan berjaya meraih semula keyakinan di kalangan pengundi Cina di bandar terutamanya. Adakah Wong Soon Koh atau Peter Chin?