SUPP gagal hayati ‘Sa’ati’?

Posted on December 12, 2011

0


SELAMA sekurang-kurangnya seminggu, akhbar tempatan terutama yang menggunakan bahasa Inggeris dan Mandarin, memaparkan kisah menjelang pemilihan barisan baru pemimpin SUPP – sebuah parti komponen Barisan Nasional di Sarawak.

Ada yang bosan melihat pemilihan penyunting akhbar-akhbar terbabit yang asyik menyiarkan berita-berita politik, ada juga pembaca suka disajikan dengan bentuk demikian.

Tetapi bosan atau tidak, itulah hakikat yang terjadi menjelang pemilihan pemimpin parti politik yang merupakan komponen terawal membentuk Barisan Nasional di Sarawak.

Perebutan kuasa memang lumrah dalam politik, sebab politik ialah tentang keghairahan meraih kuasa. Kuasa yang amat diidamkan oleh politikus.

Terlalu bertelahah kerana kuasa juga menunjukkan pemimpin di dalam sesebuah organisasi politik tidak bersatu padu dan gagal berkongsi satu hala tuju dan perjuangan.

Dalam konteks Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), adakah dalam hati para pemimpin mereka yang merebut jawatan presiden tersemat slogan ‘Sa’ati’ yang acapkali dilaungkan mereka pada persidangan atau mesyuarat?

Jawapannya, tidak! Mana mungkin mereka ‘Sa’ati’ jika wujud dua pihak yang sama-sama enggan berkompromi, sama-sama mendabik dada mendakwa mereka-lah yang betul, tindakan mereka betul.

Justeru, apa yang dilaungkan itu gagal dihayati oleh para pemimpin dan turut meresap ke dalam sanubari ahli-ahli di peringkat akar umbi.

Dengan jari telunjuk tangan kanan diangkat, mereka melaung “Sa’ati” dengan penghayatan yang sifar. Adakah itu sesuai dilabelkan sebagai hipokrit? Terpulang dengan tafsiran masing-masing.

Bukan lagi satu rahsia SUPP kini berpecah kepada dua puak. Satu puak diketuai Presiden (baru dipilih 11.12.11) Datuk Seri Peter Chin Fah Kui, satu lagi bekas Timbalan Setiausaha Agung Dato Sri Wong Soon Koh. Masing-masing merupakan menteri di peringkat kabinet persekutuan dan kabinet negeri.

PEMIMPIN BARU...Datuk Seri Peter Chin diapit timbalannya, Datuk Richard Riot dan Setiausaha Agung Dr Sim (kanan sekali).

Peter Chin dan Soon Koh sama-sama menanam hasrat untuk menjadi presiden apabila Tan Sri Dr George Chan Hong Nam bersara atas kerelaannya.

Yang menang ialah Peter Chin – melaungkan usaha pembaharuan bagi mengukuhkan kembali sokongan rakyat terhadap parti yang kini kian rebah.

Peter Chin, sejurus dipilih menjadi presiden, beriltizam menyatupadukan semula parti. Dia memberitahu akan menggerakkan usaha merapatkan hubungan di peringkat cawangan-cawangan parti.

Soon Koh pula dikhabarkan kini masih menunggu keputusan Pendaftar Pertubuhan sama ada mengiktiraf proses pemilihan Peter China atau sebaliknya.

Mereka memboikot pemilihan itu kerana wujud dakwaan penyelewengan ketika proses pemilihan barisan kepimpinan di peringkat cawangan pada November 2011.

Apa jua yang berlaku dengan SUPP selepas ini, mereka wajar bermuhasabah diri. Renungi apakah tujuan sebenar mereka menyertai politik – adakah kerana berjuang demi rakyat, atau memperjuangkan kepentingan individu?

Bersatu-padu dan lupakan segala perbalahan merupakan kata kunci sebenar dalam membangkitkan semula SUPP dari tidur yang agak panjang selama ini.

Prestasi mereka ketara merosot dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak 2006, dan kian teruk pada 16 April 2011.

SUPP kini berhadapan dua musuh, satu dalaman dan lagi satu parti pembangkang. Kesannya dapat kita saksikan menerusi keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 kelak.

 *** Juga baca laporan berkaitan menerusi link

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/PeterChinkiniPresidenSUPP/Article

http://www.malaysiakini.com/news/183815