Jambatan Batu Kawa – atasi kesesakan dan rancak kegiatan ekonomi.

Posted on December 17, 2011

0


Jambatan Batu Kawa

Bandar Baru Batu Kawa hari ini telah mengalami pembangunan rancak bukan sahaja dari segi fizikal tetapi juga dari sosio-ekonomi.

Pada masa kini, Batu Kawa merupakan pusat pertumbuhan baru dengan projek perumahan dan kawasan perindusttrian yang semakin bertambah.

Pembangunan Bandar Batu Kawa ini adalah selari dengan polisi kerajaan Sarawak untuk menyahpusatkan pembangunan di Kuching yang semakin sesak.

Kerajaan mensasarkan untuk mengubah Batu Kawa kepada sebuah bandar baru yang tersusun dan terancang yang dilengkapi dengan kemudahan moden seperti Samariang, Tabuan Jaya, Petra Jaya dan Matang Jaya.

Adalah dijangkakan dengan siapnya projek Jambatan Batu Kawa (kedua), ia akan merangsang pertumbuhan ekonomi di Bandar Baru Batu Kawa yang lebih rancak.

Dengan demikian jelaslah kerajaan amat prihatin dan mengambil berat tentang masalah kesesakan lalulintas dan kesannya terhadap penduduk Batu Kawa.

Kerajaan akan terus berusaha dan komited menyediakan kemudahan-kemudahan asas bagi melengkapkan jaringan jalan dan seterusnya merancakkan lagi pembangunan ekonomi.

Justeru, kerajaan dalam usaha itu membina Jambatan Batu Kawa (kedua) yang dibahagikan kepada dua fasa.

Skop projek ini adalah untuk menaiktaraf jambatan itu kepada laluan empat lorong dua hala dengan membina jambatan baru selari dengan Jambatan Batu Kawa yang asal, termasuk pelebaran jalan tuju ke Jambatan Batu Kawa yang pada asalnya hanya dua lorong sahaja.

Jambatan Batu Kawa asal ini telah siap pada awal 1990 dan menghubungkan bahagian hulu Sungai Sarawak Kiri ke Bandar Raya Kuching.

Skop projek Fasa I adalah membina jambatan baru dua lorong sepanjang 292 meter bersebelahan dengan jambatan sedia ada. Lebar jambatan turut merangkumi lorong pejalan kaki.

Kemajuan projek Fasa I adalah mengikut jadual dan akan siap sepenuhnya pada 24 Disember 2011 dengan kos RM17.8 juta.

Skop projek Fasa II ialah menaiktaraf jalan tuju jambatan iaitu menaiktaraf jalan sedia ada dua lorong dua hala kepada empat lorong dua hala dan juga untuk membaikpulih Jambatan Batu Kawa yang asalnya supaya setaraf dengan jambatan baru yangh dibina.