Penerbangan yang lemah, pembunuh pembangunan pelancongan.

Posted on December 19, 2011

0


NAMPAK gaya dari segi apa yang diperkatakan oleh Menteri Pelancongan Sarawak, Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg, seperti yang dipetik menerusi The Star Edisi Sarawak 19 Disember 2011, industri pelancongan di Bumi Kenyalang berpotensi untuk lebih berkembang.

Tetapi boleh dikatakan malang apabila usaha promosi di luar negara dan domestik seakan-akan terhalang dalam mencapai matlamat dek kerana masalah penerbangan yang acapkali bertukar-tukar pengendali.

Dan baru-baru ini pertukaran syer saham antara MAS dan AirAsia menyebabkan wujud gangguan dari aspek jadual penerbangan dan destinasi.

Sektor penerbangan berperanan penting membangunkan industri pelancongan.

Sedangkan menurut Datuk Amar Abang Johari, Sarawak kini bukan sahaja memberi tumpuan terhadap promosi produk pelancongan berteraskan eko-pelancongan, tetapi juga giat memperkenalkan negeri ini sebagai destinasi untuk aktiviti lasak, sejarah dan destinasi bulan madu.

Malahan berikutan masalah penerbangan, Kementerian Pelancongan Sarawak juga berhadapan kesukaran dalam menetapkan sasaran bilangan pelawat tiba ke negeri ini pada tahun 2012. ‘

Kekalutan dalam sektor penerbangan turut dijangka sebagai penurunan jumlah pelancong domestik – Sabah dan Semenanjung Malaysia – ke Sarawak.

Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg.

Dalam usaha kerajaan meningkatkan jumlah kedatangan pelancong asing, pelancongan domestik tidak boleh diketepikan. Pelancong dari Semenanjung Malaysia masih lagi penyumbang penting terhadap jumlah kedatangan pelancong ke Sarawak. Oleh itu masalah aksesibiliti pengangkutan udara perlu diselesaikan segera.

Sehingga Oktober tahun ini, Sarawak mencatat bilangan kemasukan pelancong seramai tiga juta orang menerusi 217 produk pelancongan.

Kebudayaan, kembara dan alam sekitar kekal sebagai tarikan utama bagi menarik kemasukan pelancong. Taman Negara, Pusat Hidupan Liar dan Rizab Semulajadi terus menunjukkan tren positif. Sehingga September 2011, Taman Negara mencatatkan kemasukan 354,814 pelawat – peningkatan 16.7% berbanding tempoh sama pada tahun 2010.

Pengunjung asing ke Taman Negara ialah 90,116 atau 25.3%.

Orang Utan di Pusat Hidupan Liar Matang, Kuching.

Pusat Hidupan Liar Semenggoh kekal mencatatkan kemasukan pelawat tertinggi dengan 89,849 orang, disusuli Taman Negara Bako (33,520 orang) dan Pusat Hidupan Liar Matang (28,671). Tiga kawasan tersebut menunjukkan peningkatan jumlah pengunjung.

Acara tempatan yang mendapat sambutan memberangsangkan di kalangan pelancong ialah Pesta Kaul, Regatta Sarawak, Festival Layang-layang Borneo, Pesta Benak dan Cabaran Kapal Layar Borneo Antarabangsa.

Bangunan bersejarah turut jadi tarikan pelancong.

Sementara itu, Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia (RWMF), aktiviti tahunan yang diadakan di Kampung Budaya Santubong, dekat Kuching. Tahun 2011 merupakan kali ke-14 ia diadakan, dan ia berlangsung mulai 8 Julai hingga 12 Julai, ia turut disifatkan sebagai amat berjaya.

Produk pelancongan Sarawak bakal bertambah apabila potensi keindahan Empangan Bakun, Batang Air dan Murum dibangunkan sepenuhnya oleh kerajaan.

Kewujudan pulau-pulau di Empangan Bakun, Batang Ai dan Murum berpotensi untuk menjadi tarikan baru kepada produk eko-pelancongan di Sarawak khasnya kepada pelancong yang gemarkan aktiviti lasak.

Tidak juga mustahil jika tempat itu dijadikan sebagai lokasi penggambaran filem oleh pengarah-pengarah terkemuka dunia seperti dari industri filem  Hollywood dan Bollywood.

Sarawak juga berpotensi untuk menjadi pusat penganjuran konvensyen bertaraf antarabangsa dengan adanya unit khas iaitu Biro Konvensyen Sarawak (SCB) untuk mempromosikan segmen Mesyuarat, Insentif, Konvensyen dan Pameran (MICE) di Sarawak dengan kemudahan yang ada seperti di BCCK.

Semua itu berkaitan keupayaan sektor penerbangan!