Buang bayi: Kembali ke ajaran agama.

Posted on December 21, 2011

0


Bayi perempuan yang dijumpai dalam tong sampah di tandas stesen petrol Petronas, Jalan Astana.

RAMAI di kalangan kita marah dan geram apabila mendengar bayi dibuang di tong sampah atau di mana-mana.

Insiden terbaharu di Kuching, 20 Disember 2011, seorang bayi perempuan yang dipercayai baru berusia beberapa hari, dijumpai di dalam tong sampah di stesen minyak Petronas, Jalan Astana kira-kira pada pukul 5.30 petang.

Tetapi tidak ramai yang menyelami sedalam-dalamnya permasalahan ini. Mengapa ia berlaku? Apakah resepi untuk menghindarkan dari berlakunya lagi? Apa punca sebenar?

Apabila terdengar masalah buang bayi, lantas minda kita terus terbayang ia adalah hasil hubungan seks luar nikah. Khuatir dirinya dan keluarganya malu dan dicerca masyarakat, bayi yang tidak berdosa dan mengerti apa-apa, dibuang umpama memperlakukan sampah.

Jika si pelaku itu beragama Islam, dia sudah melakukan dua dosa besar. Pertama berzina, dan kedua membuang bayi.

Selidik masalah – itulah yang paling wajar.

 

Sekarang masanya untuk kita duduk bersama, bermuhasabah dan membincangkan ketempangan akhlak dan moral yang semakin meruncing dan mengambil tindakan lanjutan untuk menanganinya.

Siapa daripada kita yang dapat menyangkal mengenai kepentingan institusi keluarga itu sendiri?

Imam Al-Ghazali berkata: “Anak-anak adalah amanah atas ibu bapa, jika dia terbiasa dengan benda yang baik, dia akan membesar dalam kebaikan dan biasa dengannya. Dan jika dibesarkan dalam suasana yang tidak baik, maka menderitalah dia dan binasa.”

Justeru, penting sekali untuk diingatkan kepada ibu bapa agar mendidik anak-anak dengan baik.

Bukanlah isunya “membalas dendam” – sekiranya sewaktu kecil dahulu kita tidak dibesarkan dalam keluarga yang sejahtera – namun berkaitan dengan soal pilihan.

Pilihan justeru ada di tangan kita. Pilihlah yang baik dan sejahtera untuk kehidupan kita dan generasi kita selepas ini.

Apakah suluhan yang lebih baik daripada cahaya dan panduan agama itu sendiri? Justeru, rujuklah kembali penyelesaian agama dalam membangun sebuah keluarga yang sakinah.

Demikian juga tanggungjawab pemerintah dan pihak berwajib. Janganlah kerana terlalu taksub dan teruja dengan situasi politik yang ada sekarang sehingga mengabaikan tugas asasi yang terpikul di bahu masing-masing.

Agenda pembangunan ummah dan kebajikan perkara nombor satu yang harus diutamakan.

Tentulah yang paling dipertanggungjawabkan dan harus cakna mengenai isu ini Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Malah badan-badan bukan kerajaan (NGO), dan persatuan-persatuan yang banyak tumbuh di laman kampus juga harus menggalas tanggungjawab ini – mendidik masyarakat dan juga mahasiswa mengenai bahayanya gejala-gejala sosial seumpama ini.

Kami insaf dengan tanggungjawab kami, dan dengan itu kami akan menyokong penuh dan membantu segala cadangan dan gerak kerja yang baik oleh kerajaan dan pihak berwajib.

Bagaimanapun, kesedaran seseorang individu tetaplah yang paling utama. Kami menggesa semua pihak, khususnya seluruh wanita Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama, agar sama-sama beringat-ingat dan berjaga-jaga.

Jangan lagi sebagai wanita, kita rela dan mudah diperlakukan sewenang-wenangnya. Bukan sedikit kes yang timbul akibat sifat terlalu “mudah percaya” kepada individu-individu yang tidak bertanggungjawab.

Kukuhkanlah diri dengan jati diri wanita yang baik dan terpelihara. Kembalilah kepada ajaran agama, nescaya semuanya akan bahagia dan sejahtera.