Keputusan PMR Sarawak 2011.

Posted on December 22, 2011

0


Gambar hiasan

Pencapaian cemerlang (semua A) calon dalam PMR 2011 telah meningkat sebanyak 71 orang (0.14 peratus) iaitu daripada 1,877 orang (4.85 peratus) pada tahun 2010 kepada 1,948 orang (4.99 peratus).

Manakala bilangan calon yang mencapi penguasaan minimum meningkat daripada 25,287 orang (65.36 peratus) pada tahun 2010 kepada 26,946 orang (68.97 peratus) pada tahun 2011, iaitu pertambahan sebanyak 1,659 orang (3.61 peratus).

Pada keseluruhannya, pencapaian calon meningkat apabila diukur daripada nilai GP kerana nilainya menurun sebanyak 0.03 mata iaitu daripada 2.91 pada tahun 2010 kepada 2.88 pada tahun ini.

Perbandingan pencapaian negeri dengan kebangsaan.

Pencapaian penguasaan minimum D dalam semua mata pelajaran yang diambil bagi Sarawak menunjukkan prestasi yang amat memberangsangkan berbanding dengan pencapian di peringkat kebangsaan dalam PMR 2011.

Lapan daripada 15 mata pelajaran yang ditawarkan di negeri Sarawak telah mengatasi atau sama dengan peratus penguasaan minimum D peringkat kebangsaan iaitu Bahasa Melayu sebanyak 0.6 peratus, Bahasa Inggeris sebanyak 11 peratus, Bahasa Cina sebanyak 8.1 peratus, Bahasa Punjabi sebanyak 9.7 peratus, Bahasa Iban dan Matematik sama dengan peringkat kebangsaan, Sains sebanyak 1.1 peratus dan Kemahiran Hidup 1 (Teknologi) sebanyak 0.8 peratus.

Keputusan peringkat kebangsaan.

PUTRAJAYA: Seramai 34,271 pelajar daripada 441,137 yang menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2011 mendapat gred A dalam semua mata pelajaran, berbanding 30,863 pada 2010.

Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Seri Abd Ghafar Mahmud berkata ini merupakan peningkatan 0.75 peratus.

“Pada keseluruhannya, pencapaian calon PMR tahun 2011 dalam 17 mata pelajaran adalah yang terbaik dalam empat tahun berdasarkan Gred Purata Nasional (GPN) iaitu 2.71 mata,” katanya pada sidang media mengumumkan keputusan PMR 2011, di sini hari ini.

Katanya kementerian itu berterima kasih kepada guru dan pelajar serta semua pihak yang berkenaan atas usaha mereka membantu meningkatkan GPN tahun ini.

Abd Ghafar berkata bilangan calon yang mendapat gred E dalam semua mata pelajaran pula menurun daripada 386 orang pada 2010 kepada 346 tahun ini.

Calon yang mendapat minimum D (tidak termasuk semua A) meningkat kepada 272,966 calon (61.88 peratus) berbanding 265,388 calon (60.39 peratus) pada 2010.

Abd Ghafar berkata pencapaian calon luar bandar yang mendapat gred A dalam semua mata pelajaran juga meningkat kepada 6,474 calon (4.28 peratus) berbanding 5,825 calon (3.81 peratus) pada tahun lalu, iaitu peningkatan 0.46 peratus.

Begitu juga dengan pencapaian pelajar bandar yang mendapat gred A dalam semua mata pelajaran terus meningkat 0.86 peratus, daripada 24,084 pelajar (8.86 peratus) pada 2010 kepada 26,189 pelajar(9.72 peratus) tahun ini.

Calon yang mendapat semua E menunjukkan trend penurunan -0.01 peratus bagi kedua-dua kategori iaitu daripada 249 calon (2010) kepada 216 calon (2011) bagi calon bandar dan daripada 132 calon (2010) kepada 121 calon 2011) bagi calon luar bandar.

“Nilai GPN calon bandar menurun sebanyak 0.04 mata berbanding calon luar bandar sebanyak 0.03 mata. Namun pada keseluruhannya, pencapaian calon bandar adalah lebih baik daripada calon luar bandar,” katanya.

Posted in: pendidikan