Manifestasi keprihatinan pemerintah.

Posted on December 23, 2011

0


BIAR apa pun yang digelar pihak-pihak tertentu tentang Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), sama ada ia ‘hadiah’ atau ‘umpan’ pilihan raya, ia tetap mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan rakyat.

Malahan DAP menggesa penyokong agar tidak ketinggalan memohon bantuan kewangan RM500 yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menerusi pembentangan Bajet 2012.

Maka berpusu-pusulah orang-ramai menyerbu pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri di seluruh negara bagi mendapatkan borang permohonan mulai 10 Disember 2011.

Mereka yang layak ialah golongan berpendapatan (isi rumah) RM3,000 ke bawah.

Lantas wujud persoalan mengapa kerajaan begitu prihatin tentang kesukaran hidup rakyat berpendapatan rendah?

Sejak Datuk Seri Najib mengambilalih tampuk pentadbiran negara, menggantikan Tun Abdullah Ahmad Badawi, berbagai-bagai usaha dilaksanakan bagi membantu rakyat.

Ada yang gagal menyelami usaha-usaha pembaharuan itu dan lantas mengatakan Barisan Nasional berbuat demikian kerana cuma ingin menang pilihan raya. Pendek kata, tidak ikhlas dalam membantu rakyat.

Selain BR1M, antara pembaharuan atau usaha Najib yang lain untuk mengatasi kesukaran rakyat ialah Bidang Keberhasilan Utama Negara, Program Transformasi Kerajaan dan Kedai Rakyat 1Malaysia.

Kedai tersebut menjual barangan dengan harga paling berpatutan dengan tujuan meringankan kewangan golongan sasar tanpa mengira latarbelakang.

Ia akan diperluaskan ke Sarawak tidak lama lagi agar penduduk di Bumi Kenyalang menikmati faedah yang disediakan kerajaan.

Memang wajar Sarawak dan Sabah tidak harus diketepikan dalam apa jua program dilaksanakan kerajaan.

Wajar sebab dua negeri tersebut merupakan penyumbang utama dalam pembentukan kerajaan persekutuan menerusi Pilihan Raya Umum ke-12 pada 2008.

Sarawak misalnya menyumbangkan 29 kerusi Parlimen kepada Barisan Nasional. Negeri itu mempunyai 31 kawasan Parlimen. Dua daripadanya – Parlimen Bandar Kuching dan Parlimen Sibu – dimenangi DAP.

Dari perspektif kemajuan, dua negeri ini dikatakan masih memerlukan banyak peruntukan bagi melaksanakan kerja-kerja pembangunan. Banyak jalan raya yang perlu dibina, bekalan elektrik dan air hendak diperluaskan serta sekolah juga diperlukan lebih banyak.

Justeru, kelangsungan pemerintahan Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke-13 kelak amat mustahak di dua negeri itu.

Berdasarkan prestasi menang majoriti lebih dua pertiga pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-10 pada April 2011, Barisan Nasional tidak akan berhadapan masalah untuk memenangi majoriti kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-13 kelak.

Wujud juga persoalan, mampukah rakyat terutama di Bumi Kenyalang menyelami manifestasi usaha yang dilaksanakan kerajaan?

Bukan setakat bantuan kewangan secara langsung, juga wajar direnung dengan mendalam ialah perancangan jangka panjang kerajaan.

Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak atau SCORE, misalnya, merupakan rancangan jangka panjang dan berpandangan jauh Ketua Menteri Sarawak Pehin Sri Abdul Taib Mahmud. Beliau berhasrat menjadikan Sarawak sebagai sebuah negeri berpendapatan tinggi, maju dan rakyat hidup senang.

Perancangan seumpamanya memerlukan sokongan rakyat agar ia berjaya dilaksanakan. Sokongan paling asas ialah memberi mandat untuk memerintah kepada Barisan Nasional menerusi Pilihan Raya Umum ke-13 kelak.